04 January 2010

Ringkasan Hidup Imam Abu Hassan al Asy'ari RA

Nama sebenar beliau ialah Abu al Hassan Ali bin Ismail bin Abi Bisyr Ishak bin Salim bin Ismail bin Abdullah bin Musa bin Amir al Basrah Bilal bin Abi Burdah bin Abi Musa Abdullah bin bin Qis (sahabat Baginda SAW). Beliau dilahirkan pada 260 Hijrah.[1]

Ayahnya ialah Ismail bin Ishak, merupakan muhaddith dan berpegan dengan Mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Sebelum kematiannya, beliau mewasiatkan anaknya kepada Zakaria bin Yahya as Saji, yang merupakan seorang faqih dan hebat dalam ilmu Hadis.

Beliau juga berketurunan daripada Abu Musa al Asy’ari yang merupakan Sahabat Nabi SAW, dan terlibat dalam peristiwa Tahkim, yang menyebabkan munculnya Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Beliau hidup sederhana dengan mengusahakan tanah milik keturunannya. Dengan wang inilah beliau menyara kehidupannya.[2]

Setelah kematian ayahnya, ibunya berkahwin dengan Imam Abu Ali al Juba’i seorang ulama dalam Mazhab Muktazilah. Beliau mempelajari ilmu daripadanya sehinggalah beliau berada di dalam Mazhab Muktazilah dalam tempoh yang lama[3], sehingga menjadi salah seorang ulama di dalam Mazhab tersebut.[4]

Setelah beberapa lama di dalam Mazhab tersebut, beliau masih belum yakin dengan keshihan mazhab tersebut. Beliau banyak berdebat dengan bapa tirinya, dan banyak perkara telah menyebabkan beliau menang di dalam perdebatan tersebut. Setelah beberapa kali berbincang dan berfikir, akhirnya beliau dapat mengetahui tentang kesilapan dan kesalahan dalam Muktazilah.

Lalu beliau bangun berucap di dalam satu khutbah menyatakan bahawa beliau sudah tidak lagi bermazhab Muktazilah. Bermula peristiwa inilah beliau mengemukakan Mazhab baru iaitu Mazhab Asya’irah yang berpandukan dengan aliran Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang berpegan dengan al Quran dan As Sunnah. Beliau wafat di Baghdad pada 320 Hijrah[5]


Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Usuluddin, Kuliah Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
______________________________________________________

[1] Imam Zahabi Siar A’lam an Nubala – ada pandangan yang mengatakan bahawa beliau lahir pada 270 Hijrah.
[2] Ahmad Mahmud Subhi Fi Ilmil Kalam : al Asya’irah ms 44-45. Sila Lihat Mahyuddin bin Haji Hasyim Imam Asy’ari, Pengasas Mazhab Asya’irah ms 9.
[3] Ada yang mengatakan selama 40 tahun, tetapi pandangan ini ditolak ibid
[4] Ibid ms 10
[5] Pendapat yang lain mengatakan beliau wafat pada 324, 330 atau lebih daripada 330 Hijrah ibid.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal