31 May 2010

Apabila Kesusahan Itu Dianggap Besar, Maka Tidak Kelihatanlah Penyelesaian - HAMKA


sumber : Syeikh Mujahid (link)

Assalamualaikum Warahmatullah…

Sidang pengikut, pendengar yang budiman…

Di dalam sebuah riwayat, ketika Rasulullah S.A.W sedang keluar daripada kamar baginda menuju ke masjid, yang mana waktu itu matahari berada sepenggalah. Kebiasaanya, para sahabat Baginda akan berada di luar untuk bekerja, cumanya terdapat beberapa orang sahaja yang menunaikan solat Dhuha dan sebagainya. Lalu, Baginda S.A.W ternampak seorang anak muda yang sedang duduk di tepi sebuah tiang masjid dalam keadaan yang muram.

Lalu rasulullah S.A.W mendekatinya dan bertanya

“Wahai anak muda, mengapa kamu berada di sini dan mengapa wajahmu di dalam keadaan sebegini”

Lalu dijawab olenya,

“Wahai Rasulullah S.A.W, susunguhnya aku dibelenggu masalah hutang. Aku masih belum mampu membayarnya, sedang waktu perjanjianku sudah hampir dekat”

Maka, rasulullah S.A.W memberitahu kepadanya

“Wahai anak muda, mahuukah kamu sekiranya aku memberikan satu doa agar kamu baca di waktu pagi dan petang, dan ia akan menyelesaikan segala hutangmu”

Maka, anak muda tadi tersenyum gembira dan meminta agar dibaca doa tersebut kepadanya.

Lalu, Rasulullah S.A.W membaca doa di bawah ini:

اللهم إني أعوذ بك من الهم والحزن , وأعوذبك من ألعجز والكسل , وأعوذ بك من البخل والجبن , وأعوذ بك من غلبة الدين وقهر الرجال .

Maksudnya:

“Ya Allah, aku berlindung kepada-mu daripada kesusahan dan dukacita, dan aku berlindung daripada-Mu daripada sifat lemah dan malas,aku berlindung daripada-Mu daripada bakhil dan pengecut,dan aku berlindung daripada-Mu daripada pengaruh berhutang dan penguasaan orang lain ke atas diri”

Lapan Penyakit inilah perlu kita mohon agar dijauhkan daripada diri kita, kerana ia menjadikan kehidupan kita sentiasa dilanda masalah dan jalan yang kita lalui sentiasa gelap.

Kesusahan

Apabila telah susah, fikiran akan terasa gelap dan buntu. Fitrah dunia ini, kita tidak hanya mendaki jalan yang datar, tetapi kadang-kadang kita berenang, kita melompat, kita menyeberang dan sebagainya.

Perkara ini merupakan jalan yang perlu ditempuhi oleh setiap orang. Jika, ia merasa besar soal kesusahan itu maka ia pastinya tidak akan nampak jalan di depannya. Yakinlah bahawa setiap perkara ada jalan penyelesaiannya.

Dukacita

Berlindunglah daripada Allah S.W.T daripada sifat dukacita seperti kehilangan barang yang dikusai, kematian orang yang disenangi, bahaya yang datang tiba-tiba, barang yang hilang dan sebagainya. Kalau kesusahan telah sebabkan fikiran kita kusut, maka jalan yang kita tempuhi pastinya gelap.

Lemah

Iaitu lemah fikiran, tiada kekuatan lagi. TIada inisiatif lagi untuk melakukan sesuatu, hanya berserah. Belum lagi melakukan sesuatu hati telahpun kusut, sedangkan jika cuba diselesaikan, Insyaallah.

Malas

Kalau sudah malas, apa yang boleh dikatakan lagi. Ingin itu dan ini, tetapi ikhtiar tidak ada. Ada pepatah orang tua-tua ketika zaman penjajahan dahulu

“Mati Belanda kerana pangkat, mati Cina kerana kaya, maka Kelin kerana makanan, mati Melayu atau Indonesia kerana angan-angan”

Berangan-angan, tetapi malas. Orang yang malas itu longlai saja jalannya, suram saja pandangannya, tak jauh memandang.. itu penyakit yang perlu dijauhi.

Bakhil

Ini lebih berbahaya lagi. Dikumpulnya harta banyak-banyak, dengan maksud untuk menguasai hata itu, hakikatnya harta itu telah menguasainya. Siang dan malam hanya duduk mengumpul harta, akhirnya tiada faedah yang didapatinya. Seingat saya, dalam tahun 40-an, ketika saya masih tinggal di Medan, ada seorang kaya yang suka mengumpul harta.

Terkenal kaya di medan dengan puluhan rumah yang disewakannnya. Dia berjalan di jalan dengan payung satu, sedangkan orang lain telah pun pakai mobil (kereta). Maka, anaknya ambil pelung daripada kekayaan ayahnya.

Lalu ditanya orang

“Tuan, anak tuan telahpun pakai mobil (kereta), sedangkan tuan masih berjalan kaki.”

Lalu dijawab oleh si bakhil tadi,

“Saya anak orang miskin, anak saya anak orang kaya”.

Begitulah, dia bukan mencari harta untuk keperluannya, tetapi adalah untuk dikuasai oleh hartanya.

Pengecut

Yang ini lebih teruk. Pengecut ini menjadikan separuh daripada kehidupan manusia dalam kebimbangan. Ada pepatah menyebutkan

“kalau dikau berniaga, kalaupun engkau tiada modal, maka berani itulah modal terbesar”

Sesuai dengan pepatah Melayu atau pepatah Indonesia lama,

“Putuslah tali layang-layang, robek kertas tentang bingkai, hidup jangan mengepalang (tanggung-tanggung), tidak kaya, berani pakai"

Keberanian itu adalah modal. Sebab itu, kalau orang rugi berniaga, itu belum bermakna rugi, yang penting berani, kerana kadang-kadang perniagaan itu rugi. Tetapi. Kalau keberanian hilang, maka separuh daripada perniagaan sudah hilang.

Kalau kekayaan besar, tetapi kepercayaan tiada, maka seluruhnya telah hilang. Walaupun berjuta yang tinggal dalam tangan, kalau orang tidak percaya, apa lagi ertinya. Sebab itu yang pertama sekali keberanian menghadapi hidup.

Pengaruh Hutang

Itulah yang melanda anak muda yang duduk di anjung masjid tadi. Sebab itulah rasulullah bersabda

“Berwaspadalah agar jangan berhutang, hutang itu menjadi kesusahan pada malam hari, kehinaan pada siang hari”

Boleh itu memang boleh juga berhutang, tetapi kalau keberanian tidak ada, keberanian itu membuka jalan untuk membayar hutang. Tetapi kalau pengecut, susah untuk bayar hutang. Sebab itulah nabi mengingatkan agar berjaga-jaga dengan hutang, kerana susah memikirkan hutang dan mata tak mahu tidur.

Maka jadilah kehinaan pada siang hari, badan berasa hina, tak berani keluar daripada rumah. Bandar Jakarta yang begitu besar, dengan jalan yang pelbagai, tetapi kerana hutangnya, maka tersekat jalannya kerana hutangnya. Sebab itulah, hutang itu menjadikan kesusahan untuk tidur, dan malu apabila siang hari, takut ditanya oleh orang.

Pengaruh orang lain ke atas diri

Iaitu tidak punyai kemerdekaan diri kerana terlalu banyak terhutang budi kepada orang, sehingga mulut tidak boleh bercakap lagi dan ditekan oleh terhutang budi kepada orang lain. Inilah yang disebut kepada anak muda yang duduk di masjid tadi.

Maka, dapatlah kita mengambil pedoman dalam kehidupan kita sendiri,bahawa yang lebih penting adalah kemerdekaan jiwa. Kalau sekiranya, di dalam Negara yang telah merdeka, kita melaungkan kemerdekaan di mana sahaja kita pergi, namun ramai orang yang lupa, negaranya telah merdeka, dirinya sendiri yang terjajah, bukan Belanda kerana ia sudah lama beredar daripada Negara kita, bukan juga bangsa yang lain, tetapi penjajahan yang datang daripada sifat yang lemah yang kita katakan tadi.

Kalau kesusahan yang kita turutkan, maka jalan kita akan menjadi buntu. Sentiasa susah pagi, petang dan malam. Padahal, pangkal dari kesusahan itu bukan dari luar, tetapi dari dalam jiwa kita sendiri.

Yang kedua, dukacita. Saya teringat pantun Melayu atau Indonesia yang berbunyi “Kalau berbiduk jangan bermenung, kalau bermenung riak pun tiba, kalau duduk termenung, kalau termenung hati pun hiba”. Kalau hati telah hiba, jalan pun kusut. Ada juga pepatah orang tua kita “Hati yang marah mendorongkan, hati yang hiba menjauhkan”. Sebab itu, haruslah kita bersedia untuk membesarkan jiwa kita sendiri.

“مرفوع الراس , موفور الكرامة “

Kepala terangkat, harga diri terjaga.

Seterusnya, malas dan lemah. Kenapa lemah sahaja? Kelemahan ini ada juga kerana penyakit. Kalau perlu, pergilah kepada doktor, Psikitari. Kerana kelemahan ,jiwa, kemalasan, yang mana pangkalnya daripada jiwa, maka ahli-ahli ilmu yang mendalam pengetahuannya yang tahu tantang hubungan rohani dan jasmani, sehingga timbul ilmu yang dinamakan Psikoterapi, yang menganalisis jiwa daripada puncanya sehingga timbul malas dan lemah.

Kita perlukan kuatnya pemikiran, kerana apabila adanya jiwa yang besar, maka segala pekerjaan dilihat kecil, tetapi jika jiwanya kecil, maka segala pekerjaan yang kecil dilihat besar.

Seterusnya, kita berlindung daripada sifat Bakhil. Menerima mahu banyak, mengeluarkan paling sedikit. Dia anggap sebagaimana saya katakan tadi, menguasai harta. Akhirnya tidak dia sedari, bahawa harta itu menguasainya. Kerjanya hanya kumpul harta. Apabila dia meninggal, tinggalkan semua harta, dan si anak mulalah berebut hartanya. Nikmatnya orang lain yang rasai, dia sengsara.

Apatah lagi orang yang pengecut, disangka pohon yang bergerak di malam hari itu hantu, dan pengsan kerana berlari terlalu kuat sebab pengecut. Padahal di dalam keterangan Agama, orang yang beriman kepada Allah itu ialah sebagaimana firman-Nya

“Jangan engkau merasa lemah, jangan merasa dukacita, jangan merasa pengecut, dan kamu tinggi di sisi Allah jika kamu beriman kepada Allah S.W.T”.

Dengan iman kepada Allah S.W.T, kita melihat alam, dan dalam kekecilan alam itu, Allah S.W.t yang Maha Besar. Inilah pokoknya.

Kemudian pada nombor tujuh, kita berlindung kepada Allah daripada pengaruh hutang. Alangkah kecilnya jiwa orang apabila telah berhutang, maka apabila tidak mampu membayar hutang, timbullah kecil hati kerana malu.

Yang kelapan, sebagaimana telah kita huraikan tadi, adalah pengaruh orang lain kepada diri kita, sehingga tidak berani lagi menyatakan kebenaran, tidak berani menyebut yang hak. Kita tidak berani kerana banyaknya terhutang budi pada orang. Walaupun telah jelas perbuatan orang itu salah, kita tidak berani lagi menyebutnya.

Maka, timbullah dalam masyarakat apa yang disebut di dalam bahasa arab sebagai “Munafiq” iaitu lain di mulut, lain di hati. Di hati mengatakan salah, tetapi di mulut mengatakan perbuatan orang yang salah itu betul. Ini kecelakaan yang nombor lapan. Kita berlindung daripada Allah S.W.T supaya kita dilepaskan daripada pengaruh orang sehingga tidak berani lagi mengatakan kebenaran padahal di dalam hadith disebutkan:

“ قل الحق ولو كان مرا “

maksudnya katakanlah yang benar itu walaupun ianya pahit.

Di bibir memang mudah menuturkan, tetapi jika hati sudah tertutup, tidak berani menyebutkannya lagi.

Para pengikut sekelian, itulah lapan perkara yang diingatkan, diajarkan, dan disuruh hafal oleh Nabi kepada pemuda yang duduk termenung di tepi masjid itu tadi. Lalu, dia fahami, dibaca setiap pagi dan petang, lalu timbul semangat dan kekuatan yang baru. Langit kelihatan bercahaya, bintang berkelip-kelip, dan beliau nampak kehidupannya. Maka, beliau kembali kepada Nabi dan mengucapkan syukur kerana hutangnya telah berjaya dipulihkan.

Moga-moga ianya jadi pedoman bagi kita kaum Muslimin. Jika terjadi salah satu daripada perkara yang lapan di atas, maka bacalah doa ini pagi dan petang. Jangan lupa berusaha, tidak cukup dengan hanya berdoa. Berusaha dan berdoa, Allah S.W.T akan membuka pintu Rahmat-Nya, memberikan nikmat yang berlipat ganda, sehingga sesuatu di kiri dan kanan kita akan menjadi inspirasi dan motivasi untuk maju ke depan.

Saudara-saudara yang saya muliakan, moga-moga pengaruh daripada doa ini masuk ke dalam diri saudara dan saudara menjadi orang Muslim yang merdeka dan sejati. Sekianlah pandangan saya, moga-moga ada manafaatnya bagi para pendengar yang tercinta.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..

Diadaptasikan oleh penulis daripada rakaman pengajian Prof Hamka yang bertajuk “Pegangan Hidup”

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal