Sebelum ini, saya telah postkan tentang berita di dalam Harian Metro yang menggunakan tajuk "Curi-curi Masuk Kelas", jelas seperti ingin menunding jari kepada mangsa disebabkan masalah ini. (link)
Baru pagi ini, berita ini dimasukkan di dalam web Harian Metro. Malam tadi, ia hanya disiarkan secara pdf yang boleh dilayari di dalam mawifc. Baca, dan sila beri pandangan.. Sila kenali mana satu "mangsa" dan "penipu".. Dan perlu kenal juga "orang yang melaga-lagakan".. Sepertimana yang ana sebutkan, "Mangsa akan dianggap sebagai pesalah.."
Curi-curi Masuk Kelas
KUALA LUMPUR: Sekumpulan pelajar Malaysia yang menggunakan khidmat ejen bagi mengikuti pengajian perubatan di Mesir, kini dalam dilema kerana masih belum boleh menduduki peperiksaan, malah sesetengahnya teraniaya kerana tidak mendapat tempat, sedangkan ribuan ringgit sudah lebur.
Menurut sumber, di kalangan pelajar baru yang ingin mendapat tempat itu, ada yang curi-curi belajar di universiti, malah tidak kurang yang nekad kembali ke tanah air kerana tidak tahan dengan kerenah ejen terbabit dan tidak mahu terus menjadi mangsa keadaan di negara berkenaan.
Sesetengah pelajar katanya, melalui ejen terbabit bukan saja tidak memiliki kelayakan sewajarnya, malah tidak mendapat Sijil Sokongan Luar (NOC) yang digunakan untuk memohon biasiswa dan pekerjaan pada masa depan menyebabkan mereka ‘terbiar’ di negara berkenaan. Masalah terbabit dikatakan berpunca daripada ejen sendiri yang turut menghantar pelajar tidak menepati syarat minimum seperti ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi.
Dianggarkan 900 daripada 1,500 pelajar baru dari Malaysia masuk ke Mesir untuk mengikuti pengajian perubatan melalui ejen secara terus ke universiti di negara itu.
Ketika ini sekurang-kurangnya tujuh ejen dikesan bergiat aktif menguruskan pelajar Malaysia untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda perubatan di universiti terkemuka di Mesir termasuk membabitkan seorang bergelar ‘Datuk.’ Mangsa, Syarifah Syaerah Syed Safian, 22, yang dihubungi berkata, dia masih tidak mendapat tempat di Universiti Al-Azhar, walaupun sudah tinggal di Mesir sejak Oktober tahun lalu.
“Saya datang pada Oktober tahun lalu dan sempat belajar di Mansoorah sebulan, namun ejen keluarkan saya dari sana.
“Kemudian, saya belajar pula di Universiti Al-Azhar dan sepatutnya menduduki peperiksaan pada Januari lalu, tetapi saya tidak dapat menduduki peperiksaan berkenaan kerana fail maklumat mengenai saya lambat sampai.
Selepas gagal menduduki peperiksaan dan gagal mendapat tempat, katanya, dia kini hanya berbekalkan semangat dan keberanian untuk mengikuti pembelajaran.
“Saya masuk kelas pun secara curi-curi,” katanya yang juga bekas pelajar Asasi Kejuruteraan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) sesi 2006-2007 dan pernah belajar di Management & Science University (MSU).
Berasal dari Kuala Krai, Kelantan, Syarifah mendakwa sudah menghabiskan RM6,000 menggunakan khidmat ejen untuk memasuki universiti di Mesir kerana dia menggunakan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2005.
“Sekarang saya pun tidak pasti bila akan mendapat tempat, tetapi ada penyelaras program mengatakan Ogos depan saya boleh memasuki peperiksaan,” katanya, yang mengambil keputusan berkahwin dengan seorang pelajar tahun akhir jurusan syariah, Februari lalu. Dia mendakwa, sudah menghabiskan banyak wang untuk mengikuti pengajian terbabit, termasuk kos belajar tahun pertama di universiti sebanyak RM6,000, namun di kalangan rakannya ada yang lebih banyak mengeluarkan belanja.
“Ada lagi rakan saya yang mengalami nasib serupa, termasuk pelajar lelaki, tetapi seorang daripadanya sudah pulang ke tanah air.
“Setahu saya ada juga rakan yang membayar sehingga RM10,000 bagi peringkat permulaan termasuk kepada ejen, cuma saya yang belum membuat bayaran kepada pihak terbabit, hanya bayar yuran pengajian,” katanya.
Katanya, dia mendapat peluang belajar di Mesir melalui rakannya yang belajar di negara berkenaan melalui ejen.
“Saya datang melalui ejen kerana SPM saya melebihi dua tahun dan KPT menetapkan sijil itu (sah laku) dua tahun saja,” katanya. Nik Mahabbah Khairiyah Nik Dir, 22, yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan, berkata dia juga menghadapi nasib yang hampir sama kerana tidak dapat menduduki peperiksaan pada Januari lalu.
“Saya tak tahu bila dapat memasuki peperiksaan, tetapi saya menghadiri kelas. Saya juga diberitahu ada rundingan untuk menyelesaikan perkara ini pada pertengahan Jun nanti,” kata bekas pelajar Ma’had Muhammadi (P), Kota Bharu dan Program Sains Kesihatan Bersekutu, Matrikulasi UIAM 2007-2009.
0 comments:
Post a Comment