KAHERAH, 19 Mei - "Malang tidak berbau. Semua ini adalah ujian Allah s.w.t". Itulah ungkapan yang keluar daripada mulut 2 orang pelajar Malaysia yang mengalami kemalangan berdekatan simpang masuk ke Masjid Musa An-Nusairi.
Mereka yang menaiki motosikal menuju ke Rumah Johor Raba'ah itu terkejut apabila sebuah kereta yang dipandu oleh seorang perempuan warga tempatan keluar daripada simpang dengan tiba-tiba tanpa memberikan sebarang isyarat.
Jelas salah seorang mangsa kemalangan "Kami nak ke Rumah Johor Raba'ah untuk hantar buku Suara Kampus. Bila sampai di simpang 4 berdekatan Masjid Musa, tiba-tiba sebuah kereta keluar dari simpang. Saya hanya sempat tekan brek saja. Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Ust. Salehuddn dan Ust. Al-Hidayat kerana telah membawa kami ke klinik".
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6 petang itu menyebabkan Saudara Hisyam bin Zakaria dan Saudara Mohamad Adly bin Mohamad Bukhori dikejarkan ke klinik 'Markaz Taisir' yang berdekatan. Beberapa orang Badan Pengurus diketuai oleh Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime hadir untuk melihat keadaan mangsa.
Turut hadir Timbalan Presiden Saudara Mohd Zuhaili bin Saiman, Naib Presiden II Saudara Mohd Azlan bin Hj. Alias dan Naib Presiden III Saudara Mohd Farkhan bin Md Zain. Saudara Hisyam dikenakan 17 jahitan akibat mengalami luka di bahu dan kepala. Manakala Saudara Adly hanya mengalami luka kecil di tangan dan kaki akibat terkena serpihan cermin kereta yang pecah.
Ujar Naib Presiden III Saudara Mohd Farkhan bin Md Zain "Terdapat 2 kemalangan pada hari ini. Pagi tadi kemalangan berlaku di Mansurah yang melibatkan 3 mahasiswi qiraat. Petang ni pula kemalangan berlaku di Kaherah. PMRAM mengharapkan semua mahasiswa lebih berhati-hati ketika di jalanraya lebih-lebih lagi ketika suasana peperiksaan sekarang ini".
Sehingga kini, mangsa kemalangan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
0 comments:
Post a Comment