24 May 2010

Kenyataan Rasmi Berhubung Isu BKAN Perak


BISMILLAH ARRAHMAN ARRAHIM
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH

Bersyukur ke hadrat Illahi kerana masih diberikan nikmat Islam dan Iman kepada kita semua. Moga-moga nikmat yang diberikan ini kekal ke akhir hayat.. Amin Ya Rabbal A’lamin… Dan bersyukur dipanjatkan sekali lagi kerana diberi peluang oleh Pencipta Rabbul ‘izzati untuk saya bertemu dengan sahabat semua melalui kecanggihan dunia moden. Tidak dinafikan dalam kekangan masa yang sempit untuk membuat persediaan peperiksaan yang bakal menjelma, kita tidak terlepas untuk sama-sama mengikuti isu yang berlaku di sekeliling kita terutamanya dalam persatuan Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) yang kita dokongi dan sayangi ini.

Sejak akhir-akhir ini, kita kerap menerima kejutan berkaitan dengan masalah KPIPM yang melibatkan ahli, pimpinan dan sebagainnya. Isu ini telah menarik perhatian ramai blogger luar juga termasuk dikalangan ahli KPIPM sendiri. Saya yakin dan percaya sahabat semua sudah membaca, mendengar, memerhati dan menilai daripada apa yang telah berlaku. Pelbagai aduan, kritikan dan komentar daripada banyak pihak telah diterima oleh pimpinan KPIPM. Saya selaku Yang DiPertua KPIPM rasa terpanggil untuk menjelaskan kedudukan yang sebenarnya.

Seperti yang sahabat semua sedia maklum, KPIPM baru sahaja menerima kedatangan seorang bakal pengawai yang dihantar oleh Kerajaan Negeri Perak. Bagi pihak KPIPM, kita mengalu-alukan kedatangan beliau dengan hati yang terbuka, kami dari pihak kepimpinan sama sekali tidak menolak kehadiran beliau ke bumi Mesir ini dengan tujuan untuk menjaga kebajikan anak-anak Perak yang menuntut di Perlembahan Nil.

Untuk pengetahuan ahli KPIPM yang disayangi,

KPIPM masih menunggu surat penempatan pegawai Perak Timur Tengah secara rasmi, kerana pada 27 April lalu kita menerima surat daripada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) yang banyak menimbulkan ralat. Oleh itu kita masih menunggu surat berkenaan bagi mengesahkan kedudukan beliau disini. Pimpinan KPIPM telah mengadakan perjumpaan bersama beliau dan kita memutuskan untuk menunggu surat tersebut sebelum beliau melaksanakan tugas secara rasmi.

Beliau juga diminta untuk melampirkan bidang tugas sebagai Pegawai Perak Mesir bagi memudahkan pengurusan berkaitan anak-anak Perak disini dan harapan kita agar lantikan ini mengikut prosuder yang betul seperti pegawai di BKAN-BKAN yang lain.

Oleh yang demikian, KPIPM masih melaksanakan tugas seperti biasa mengikut bidang tugas yang diamanahkan. Sebarang keputusan diperingkat KPIPM masih dibawah bidangkuasa pimpinan KPIPM.

Berkenaan kes pukul yang melibatkan ahli Perak, kes ini berlaku sehingga menimbulkan kekecohan dikalangan ahli, disini ingin saya jelaskan bahawasanya kes tersebut telah pun selesai. Kami telah menyiasat dan bertemu dengan individu-individu yang terlibat. Saya mengharapkan agar kes ini tidak berulang lagi, dan ia perlu dijadikan sebagai pengajaran buat semua.

Akhir kalam, saya selaku Yang DiPertua KPIPM berharap agar seluruh ahli KPIPM supaya bersabar dan belapang dada. Justeru, ahli KPIPM perlu bertanya jika ada sebarang kemusykilan atau kesamaran kepada saya atau pimpinan bagi mendapat penjelasan yang lebih jelas tentang apa yang berlaku. Selaku mahasiswa Islam tidak sepatutnya menerima sesuatu perkara tanpa berfikir dan menelitinya. Jangan cepat membuat spekulasi salah terhadap sesuatu perkara kerana tindakan ini boleh mengundang perpecahan dikalangan ahli KPIPM. Wallahu a’lam……

Siiru ala barakatillah….

Kemantapan Fikrah, Membina Syakhsiah

KHAIRUL ASHRAF BIN MOHD KHIR
Yang Dipertua Keluarga pelajar-pelajar Islam Perak Mesir
Sesi 2009/2010

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal