28 May 2010

Jauhkan Diri Daripada Memfitnah Para Ulama' - MANHAL


Oleh : Us Khairul Anuar (link)

Antara perkara-perkara yang amat disukai oleh musuh-musuh Islam adalah berlakunya fitnah menfitnah, kafir mengkafir atau tuduh menuduh, sesat-menyesat antara satu sama lain tanpa asas yang kukuh dikalangan umat Islam sendiri. Perbuatan ini amat ditunggu-tunggu oleh mereka kerana bila umat Islam sudah berpecah, mereka akan jadi lemah. Dengan itu mudahlah mereka menjajah umat Islam.

Perkara yang lebih teruk daripada itu ialah perbuatan menfitnah para ulama atau menerima bulat-bulat perkataan mereka yang menfitnah insan-insan yang bertaraf wali yang mana zahir kepada mereka karamah yang nampak jelas dan nyata. Perkara ini pada hakikatnya telah berlaku zaman berzaman sejak zaman sahabat, tabien, tabi’ tabien sehingga pada hari ini. Mereka yang selamat daripada perbuatan ini hanyalah mereka yang dijaga lisan dan hati mereka oleh Allah s.w.t.

Perbutan fitnah ini kebiasaannya timbul apabila adanya hasad dengki melihat orang lain lebih tinggi ilmunya, lebih alim, lebih berpengaruh atau lebih 'ulama' daripadanya. Maka datanglah syaitan menghasut supaya mencari lubang-lubang fitnah, memutar belit kenyataan dan lain-lain yang boleh menjayakan usahanya itu.

Imam As-Syafie dituduh sebagai Syiah Rafidhiyy

Sekiranya kita membaca sejarah para ulama dan Imam-Imam besar, maka kita akan menemui peristiwa mereka diuji dengan pelbagai fitnah. Antara mereka yang paling dekat dengan kita ialah Imamuna Al-Akbar Al-Imam As-Syafei Al-Muttalibi.

Al-Imam Al-Faqihul Kabiir Imam Muhammad Abu Zuhrah Radiallahu ‘Anhu menyebut, fitnah yang dilontarkan kepada Al-Imam Al-Syafie ialah tuduhan beliau bersama golongan Alawiyyin (sebahagian daripada golongan syiah) yang ingin menjatuhkan Khalifah Abbasiyyah, Harun Ar-Rasyid pada ketika itu.

Mereka mentohmah Imam As-Syafie semata-mata Imam As-Syafie menzahirkan rasa cinta kepada ahlu bait Rasulullah s.a.w sedangkan perasaan cintanya itu tidak sedikit pun mempunyai unsur-unsur syiah. Maka beliau dituduh sesat kerana telah menjadi rafidhiyy. Beliau pada hakikatnya suci daripada tuduhan itu.

Oleh kerana fitnah tersebut bila diheret ke Baghdad dengan rantai besi. Itulah tuduhan pertama kepada beliau. Peristiwa tersebut berlaku pada tahun 184 hijrah ketika beliau berumur 34 tahun. Namun dengan kefasihan lisan beliau dan penyaksian Imam Muhammad Bin Hassan As-Syaibani terhadapnya beliau mampu bebas daripada hukuman Khalifah. (rujuk tarikh al-mazahib al-Islamiyyah m.s 429)

Imam al-Harith Al-Muhasibi dituduh sesat.

Al-Allamah As-Syeikhul Muhaddith Abdul Fattah Abu Ghuddah radiallahu ‘Anhu menyebutkan, antara fitnah yang terjadi kepada para ulama ialah tuduhan sesat kepada Imam Al-harith Al-Muhasibi. Sebab berlakunya tuduhan adalah kerana beliau membawa aliran tasawwuf dan menyebarkan ilmu tasawwuf di tengah-tengah masyarakat yang mana sedang tenggelam dalam pengajian hadis baginda s.a.w.

Belum ada ketika itu mereka yang betul-betul berani menampilkan diri membuka satu madrasah sufi ketika zaman tersebut sebagaimana beliau. Ramai dikalangan ulama sezaman dengan beliau menuduhnya sesat dan ahli bid’ah kerana tidak menyebarkan ilmu berkaitan hadis-hadis baginda sebaliknya sibuk dengan ilmu kalam dan ilmu yang berasaskan ‘zauq’. Bagi mereka pada ketika itu, hadis baginda s.a.w sudah mencukupi untuk membicara soal penyucian jiwa. Sebab itulah bila ditanyakan kepada Imam Al-Hafiz Abu Zur’ah al-Iraqi tentang beliau dan buku-bukunya maka beliau berkata:

“Jangan kamu baca kitab-kitabnya. Semua adalah sesat dan bid’ah!! Berpeganglah kepada athar. Nescaya kamu akan mendapatinya mencukupi buatmu berbanding kitab-kitabnya!”(Muqaddimah tahqiq Risalah al-Mustarsyidin, m/s 47)

Imam Taajududdin As-Subki menyebutkan di dalam ‘Qaedah Jarh Wa Ta’dil’ m.s 54 dengan menukilkan kalam Imam Ibnu Daqiq Al-‘Eid:

“Di antara perkara yang perlu dielakkan dalam proses al-jarh (menghukum seseorang dengan tidak adil) ialah perselisihan yang berlaku di antara kebanyakan ahli hadis dan dolongan sufi kerana celaan yang berlaku antara satu sama lain sebagaimana mereka mencela Imam Al-Harith al-Muhasibi”

Imam Muhammad Abduh dituduh Wahabi dan menyeleweng daripada agama Islam

Bekas mufti mesir sekitar awal tahun 1900 Imam Muhammad Abduh, seorang yang amat berjasa kepada Universiti Al-azhar juga tidak terlepas daripada dituduh sesat kerana fatwa-fatwa beliau. Ada di kalangan pemerintah pada zaman beliau yang amat bencikan beliau kerana fatwa-fatwa barunya yang tidak selari dengan hawa nafsu mereka.

Mereka mengupah beberapa ulama untuk mencela dan menyesatkan Imam Muhammad Abduh dengan pelbagai fitnah dan tuduhan. Ada dikalangan mereka mengatakan beliau menghalalkan makan bangkai, pengikut ajaran sesat oreantalis barat dan lain-lain sehingga mengatakan beliau mati dalam keadaan lidah terjulur satu hasta panjangnya. (rujuk sejarah Muhammad Abduh dalam buku Ayahku oleh Prof. Dr. Hamka)

Muhammad Abdul Wahab juga kena fitnah

Pengasas gerakan Wahabi, Muhammad Abdul Wahab juga difitnah. Bukan hendak mengatakan bahawa penulis menyokong atau bersetuju dengan wahabi tetapi isi yang dimaksudkan ialah mendakwa hendaklah mempunyai asas kukuh walaupun mereka adalah musuh atau seteru kita.

Seorang ulama besar yang amat masyhur dan juga telah mengijazah sanad umumnya kepada seluruh masyarakat Islam semasa hidup beliau, guru kepada masyaeikh kami, Sayyidi Al-Imam As-Sayyid Dr. Muhammad Bin ‘Alawiy al-Makki Al-Maliki Al-Hasaniy, wali Allah yang masyhur pada abad ni yang digelar Muwatto’ yang berjalan kerana beliau mengahafal kitab Al-Muwatto’, yang juga pernah melawat Al-Fadhil Al-Allamah Tuan Guru Nik Abdul Aziz (kerana keilmuan dan dakwah Tok Guru) beserta ulama-ulama lain seperti anaknya sendiri, Habib Umar, telah menulis dalam kitab beliau bertajuk ‘Mafahim Yajib an Tusahhah’ (kefahaman yang perlu diperbetulkan) m.s 17 :

“Sesungguhnya As-syeikh Muhammad Abdul Wahhab berpegang dengan satu pendirian yang hebat dalam soal ini (kafir-mengkafir). Kemungkinan ramai yang mendakwa perkara ini dinisbahkan kepadanya mengingkari soal ini. Kemudian mengeluarkan hukum kafir secara mudah kepada setiapa mereka yang menyalahi jalannya.”
“Ini dia Syeikh Muhammad Abdul wahhab mengingkari setiap perkara yang dinisbahkan kepadanya daripada tomahan karut dan kata-kata kosong serta tuduhan dengan kata beliau dalam surat yang mengandungi isi akidah beliau kepada ahli Qaisham.”

Tuduhan itu sebagaimana suratnya adalah:

1. Aku membatalkan kitab-kitab empat mazhab
2. Mereka yang hidup 600 tahun sebelumku tidak beriman
3. Aku seorang mujtahid
4. Aku terkeluar daripada taklid
5. Perselisihan ulama adalah bala
6. Aku mengkafirkan mereka yang bertawassul dengan orang yang solih
7. Aku mengkafirkan Imam Bushairi kerana mengatakan: Wahai semulia-mulia makhluk
8. Kalau aku mampu menghancurkan kubah Rasulullah nescaya akan akan hancurkan
9. Kalau aku mampu tukarkan mizab kaabah dengan kayu nescaya aku lakukannya.
10. Aku mengharamkan ziarah Kubur nabi
11. Aku melarang ziarah kubur kedua ibu bapa dan selainnya
12. Aku mengkafirkan mereka yang bersumpah selain Allah
13. Aku Mengkafirkan Umar al-faridh dan Ibnu arabi
14. Aku membakar kitab dalail khairat dan raud Rayahin dan aku namakan sebagai raud shayatiin

Jawapan Muhammad Abdul Wahhab (dengan menafikannya):

“Jawapan aku tentang persoalan-persoalan ini: Aku berkata, Maha suci Allah, Ini adalah pendustaan yang besar..”

Al-Allamah Sayyid Sabiq digelar Wahabi kerana Fiqh Sunnahnya

Antara perkara yang menjadi buah mulut manusia adalah menggelarkan Sayyid Sabiq sebagai Wahabi kerana kitab Fiqh Sunnahnya. Al-Imam Nuruddin Syeikh Ali Jumuah mufti Mesir, dalam pengajian beliau telah menjelaskan hal ini. Mereka yang pernah bertallaqi dengan beliau akan mengetahui perkara ini.

Beliau telah menerangkan dalam salah satu pengajian beliau, kitab Fiqh Sunnah adalah seperti kitab-kitab fiqh yang lain. Cuma yang membezakannya adalah uslubnya. Ianya tidak memuatkan pemikiran seorang faqih. Tetapi beliau merupakan seorang wali Allah yang pernah melihat nabi secara yaqozoh (secara sedar bukan dalam mimpi, yang merupakan keramat besar yang jarang diberikan melainkan kepada wali-wali besar). Perkara tersebut berlaku semasa Syeikh Sayyid Sabiq berada dalam penjara.

Bersambung....

p/s : Artikel saya tentang penghinaan terhadap ulama' di akhir zaman, sila klik di sini (link) - Ibnu Ir Fadzil

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal