Siri Risalah Buat Mahasiswa Islam (Siri 1)
Oleh : Us Adlan Mokhtaruddin (link)
"Dunia ini adalah milik anak muda dan tanpa mereka dunia tidak akan berubah!"
Ungkapan ini pernah dilaung-laungkan pada zaman 1960an dahulu. Ungkapan ini juga membuktikan mahasiswa pada zaman tersebut cukup berperanan dalam mengubah sosiopolitik setempat. Lipatan sejarah telah membuktikan bahawa mahasiswa mempunyai kepentingan mereka dalam menjadi agen perubah.
Pepatah arab ada menyatakan
"Pemuda hari ini adalah pemimpin masa depan"
Saya suka untuk mengungkapkan pemuda dengan kalimah mahasiswa..
Islam dan Mahasiswa
Islam meletakkan pemuda di tempat yang tinggi. Barisan pemuda, sejak dahulu hingga sekarang, tetap merupakan tiang pasak bagi kebangkitan sesuatu umat. Mereka merupakan rahsia kekuatan mana-mana kebangkitan. Malahan angkatan pemuda jugalah yang menjadi barisan penjulang panji-panji bagi sesuatu fikrah perjuangan.
Allah berfirman;
إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى
Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka. (Kahfi:13)
Keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan adalah merupakan ciri-ciri utama pemuda. Ini disebabkan pemuda bakal berhadapan dengan kewajipan yang maha banyak, tugas yang semakin besar, tuntutan-tuntutan umat yang kian berlipatganda, malah di zaman muda ini jugalah amanah yang dipikulkan ke atas bahu mereka itu akan menjadi bertambah berat.
Jika disingkap kembali sejarah, Rasulullah saw dibangkitkan dengan anak-anak muda yang berani menentang arus jahiliyah. Bahkan Baginda saw juga adalah pemuda yang memimpin perubahan. Mereka sanggup menyingsing lengan dan berhadapan dengan penguasa yang zalim. Madrasah Nabi Muhammad saw telah melahirkan ramai pemuda-pemuda dakwah.
Diantaranya Mus`ab bin `Umair, Talhah bin `Ubaidillah, Zubair bin Al Awwam, Saidina Abu Bakar, Uthman bin `Affan dan Arqam bin Abi Arqam. Mereka adalah anak-anak muda yang terasuh dengan semangat kental oleh baginda saw.
Diantara nikmat yang perlu dijaga sebagaimana yang disebutkan oleh baginda saw di dalam hadith adalah nikmat muda. Sabda nabi saw yang bermaksud :
“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama, masa sihat sebelum sakit. Kedua, masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga, masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat, masa muda sebelum datang masa tua, dan kelima, masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).
Pemuda juga adalah golongan yang sentiasa berdampingan dengan Nabi Muhammad SAW..
Kebangkitan Mahasiwa seluruh dunia
Sejarah dunia ini dilakarkan warnanya oleh anak-anak muda. Mereka mempunyai kekuatan semangat, cita-cita, keazaman, dan idealisma untuk merubah dan menjadi agen perubah. Jose Rizal lewat karyanya `Noli Me Tangere` (1887) menjadi ikon perjuangan menentang penjajah di Filipina sehingga membawa kepada pembunuhan beliau secara tragis.
Di Cina, tokoh-tokoh kampus seperti Mao Tze Tung, Li Ta Chao dan Cen Tu Shiu menjadi penggerak kepada Peristiwa 4 Mei 1919. Ia berjaya meledakkan kebangkitan komunsime sehingga tertegaknya Republik Rakyat Komunis pada tahun 1949. Begitu juga di Rusia, anak-anak muda kampus melakar sejarah apabila menggerakkan Revolusi Bolshevik 1917 kesan dipengaruhi doktrin komunis.
Negara jiran Malaysia, iaitu Indonesia turut tidak ketinggalan. Anak-anak muda melatari perjuangan menentang penjajah Belanda. Diketuai oleh Raden Anjeng Kartini dengan gerakan sosialnya, malahan beliau meninggal dunia pada umur yang sangat muda.
Siapa yang tidak mengenali, Soekarno merupakan pemimpin mahasiswa dinamis keluaran Kolej Teknologi Bandung. Pidatonya yang memukau telah membangkitkan semangat anak-anak muda untuk berjuang dan berkorban di bawah panji `sang saka Merah putih` seterusnya memimpin perang Revolusi 1945 sehingga membawa kepada kemerdekaan Indonesia. Satu lagi gerakan yang dominasi di Indonesia ialah angkatan muda dalam Majlis Syura Muslimin (MASYUMI) yang meniupkan semangat jihad kepada anak-anak muda untuk menentang penjajah dan menegakkan syariat Islam di Indonesia.
Di Mesir, tokoh seperti Syeikh Muhammad Abduh yang berlatarkan Universiti Al Azhar mengembangkan idea `Pan Islamisme` berhadapan dengan pemecatan beliau dari Universiti tersebut akibat aura Pan Islamisme yang mengancam hegemoni Barat yang sedang menguasai Mesir.
Hassan Al Banna (1906-1949) juga masih muda ketika menubuhkan gerakan Ikhwanul Muslimin di Ismailiah pada 1928 sehingga ianya sangat fenomenal pada abad ke 20. Pada tahun 1933, pusat gerakan IM dipindahkan ke Kaherah untuk menyebarkan pengaruh kepada seluruh mahasiswa seluruh dunia yang menuntut di Al Azhar. Ternyata ianya berhasil apabila fikrah Ikhwan dan idea perjuangan mereka dibawa ke negara masing-masing.
Bumi bertuah Malaysia turut melalui zaman kegemilangan tersebut. Lepasan Al Azhar yang pulang ke tanah air menjadi nadi utama dalam membebaskan Tanah Melayu pada ketika itu dari penjajah.
Syed Syeikh Al Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin dan Abbas Kali diantara yang mempelopori gerakan pada masa itu. Dr Burhanuddin Al Helmi turut mewarnai politik Malaysia apabila melonjakkan momentum perjuangan kemerdekaan Tanah melayu. Kepulangan beliau dari India membawa bersama idealisme tokoh-tokoh nasionalis di sana. Kritikan bernas beliau terhadap Inggeris menerusi akhbar Taman Bahagia menyebabkan belia dipenjara pada tahun 1937.
Di beberapa negara lain seperti Thailand, Burma, Afghanistan dan Algeria, masing-masing menyaksikan peranan mahasiswa yang cukup besar dalam membentuk sosio politik sesebuah negara. Apabila ada pihak yang cuba menafikan peranan mahasiswa, barangkali mereka ini buta sejarah.
Akan bersambung....
0 comments:
Post a Comment