Di sini akan dijelaskan beberapa kaedah fiqh dalam menghilangkan keraguan. Gunakan kaedah ini untuk menghilangkan keraguan anda. Hakikatnya keraguan itu daripada syaitan, dan jangan hiraukan syaitan itu.
1. Yakin pada sesuatu yang patut diyakini
Iaitu, meyakini sesuatu yang diwajibkan bagi kita untuk meyakini dengannya. Iaitu Rukun Iman, Rukun Islam dan sebagainya sepertimana yang telah diketahui. Apabila kita cuba mencari keyakinan dalam perkara yang tidak perlu, maka ia akan menambahkan keraguan. Contohnya mengkaji tentang zat Allah, yang tidak mungkin dapat diketahui oleh manusia. Manusia jenis ini akan terus bergelumang dengan keraguan.
( ‘Alauddin al Hindi, Kanzul Ummal Fi Sunanil Aqwal Wal Af’al, cet. 5 - 1405 H, Mu’assasah ar Risalah, tahqiq Bakri Hayyani, Bah. 3, ms 106, no.5704-5708 / Hannad al Kufi, az Zuhd, cet. 1, 1406 H, Darul Khulafa’ Lil Kitab al Islami Kuwait, tahqiq Abdul Rahman Abdul Jabbar, Bah. 2, ms 469 )
2. Setelah yakin, jangan diragukan semula keyakinan itu
Sesuatu yang telah diyakini, jangan diragukan semula keyakinan tersebut. Setelah kita yakin kewujudan Allah, jangan diragui pula. Ini kerana keraguan setelah keyakinan itu adalah hasutan syaitan. Perlu diketahui, kita tidak akan dapat yakin dengan apa yang kita ragukan itu. Keraguan tersebut akan berterusan.
( Mahir Yasin al Fahl, Athar Ikhtilaf al Mutun Wal Asanid Fi Ikhtilaf al Fuqaha’, terbitan Multaqa Ahlul Hadis, Bah. 1, ms 341 / Athar Ilal Hadis Fi Ikhtilaf al Fuqaha’, terbitan Mauqi’ Saidul Fawa’id, Bah. 6 ms 20 / Uthman bin Abdul Rahman Asy Syahruzi, Adabul Mufti Wal Mustafti, cet. 1 - 1407 H, Maktabah al Ulum Wal Hukm, tahqiq Dr Muafiq Abd Qadir Bah.2, ms 602 )
3. Jangan memilih sesuatu yang boleh meragukan
Apabila terdapat sesuatu yang boleh meragukan anda, tinggalkan ia. Contohnya apabila kita meragui samada cincin perak bercampur emas dipakai oleh lelaki. Sekiranya kita meragui samada boleh atau tidak, lebih baik tidak memakainya langsung. Ia bukan keperluan. Setelah kita bertanya kepada ustaz, barulah kita yakin bahawa ia boleh atau tidak. Maka, ikutlah keyakinan itu.
(al Hakim, Mustadrak Ala As Shahihain, cet 1 - 1990, Darul Kutub Ilmiah Beirut, Tahqiq Mustafa Abdul Qadir, Bah. 2, ms 15, nombor hadis 2169 / Musnad Abi Ya’la, cet. 1, 1984, Darul Ma’mun Lit Turath, Bah. 12, ms 132 nombor 6762 / Musnad Imam Ahmad, cet Mu’assasah Qurtubah Kaherah, Bah. 1, ms 200 no. 1723, 1727, Bah. 3, ms 112, no.12120 )
4. Apabila ragu-ragu, kembali kepada sebelumnya
Apabila kita sudah “terjebak” dalam kawasan yang meragukan, kembalilah kepada asalnya. Contohnya kita ragu-ragu samada sudah berwudhu atau belum. Maka, kembalilah kepada asal, pernahkah anda berwudhu sebelum itu? Sekiranya kita yakin, sebelum itu pernah berwudhu, cuma ragu-ragu samada sudah terbatal atau belum, maka anda dikira berwudhu. Sekiranya kita meragui, adakah aku sudah berwudhu tadi? Maka, anda dikira belum berwudhu.
( As Sakhrasi, Usul as Sakhrasi, cet. 1 - 1993, Darul Kitab Ilmiah Beirut, Bahagian 1, ms 226 / Dr Iadh bin Nami as Silmi, Usul Fiqh Allazi La Yasa’ul Faqiha Jahluhu, Bah. 1, ms 143 / al Amidi, al Ihkam Lil Amidi, cet. 1 – 1404 H, Darul Kitab al Arabi, Tahqiq Dr Said al Jumaili, Bah. 2, ms 87 )
Muhammad Mujahid bin Ir Hj Mohammad Fadzil
Kuliah Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah,
Universiti al Azhar
0 comments:
Post a Comment