20 January 2011

Mengubati Fikrah Yang Luka Dalam Gerakan Islam

Insya Allah, kali ini suka untuk saya mengulas tentang beberapa perkara yang ditimbulkan oleh masyarakat. Iaitu

kenapa dok sibuk-sibuk bincang tentang berbilang-bilang jemaah, sepatutnya kita dok fikirkan bagaimana yang hapuskan syiah di Malaysia.. masalah murtad begitu tersebar.. gejala sosial itu dan ini.. Kenapa kita tidak berusaha untuk menyelesaikan masalah tersebut, sedangkan kita dok sibuk masalah perbezaan jemaah.. Kita perlu berlapang dada dengan perbezaan ini..

Di dalam menjelaskan “penyelesaian” bagi ayat ini, suka untuk saya kaitkan dengan penulisan seorang tokoh gerakan, Dr Sadiq Amin di dalam kitabnya ad Dakwah al Islamiah, Faridhatun Syar’iyyah Wa Dharuratun Basyariah (pengarang asal ialah asy Syahid Abdullah Azzam).

Di dalam “bahagian pertama, fasal pertama” buku tersebut, beliau telah menyenaraikan beberapa kerosakan yang sedang berlaku di sekitar kita. Antara kerosakan yang berlaku ialah dari sudut pendidikan, pemikiran, ekonomi dan sebagainya. Kerosakan demi kerosakan ini hasil daripada perancangan Zionis untuk merosakkan Islam di muka bumi.

Sama seperti tahanair kita, Malaysia yang sarat dengan kerosakan-kerosakan setiap hari. Kes pembunuhan, ajaran sesat, rogol, hiburan melampau, penafian hukum hudud, dan sebagainya. Ekonomi yang penuh dengan sumber haram dan riba, pemikiran yang kotor dengan sekularisme dan nasionalisme, pendidikan yang jauh dari manhaj yang sebenar, dan sebagainya.

Bagaimanakah Penyelesaiannya?

Dr Sadiq Amin menyatakan bahawa penyelesaian daripada semua kerosakan ini ialah, menubuhkan gerakan Islam yang mengikut manhaj perjuangan nabi-nabi. Perkara ini adalah perkara “pokok” dalam mengkaji penyelesaian terhadap masalah umat. Perkara ini telah disebut di dalam fasal kedua (bahagian pertama).

Kemudian beliau menekankan pula tentang kepentingan untuk beriltizam dengan gerakan Islam ini. Beliau meletakkan bahawa terdapat 2 elemen utama dalam jemaah ini, iaitu :

1. Pimpinan yang ditaati
2. Pengikut yang taat

Sandaran beliau berdasarkan beberapa ayat al Quran, antaranya firman Allah SWT yang mengajak supaya umat Islam ini menjadi satu gerakan yang satu, yang memperjuangkan kebaikan dan menghapuskan kejahatan.

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُوْلَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (Surah Ali Imran : 104)

Ayat ini disambung pula dengan larangan daripada berpecah belah sepertimana yang terjadi di kalangan Yahudi dan Nasrani. FirmanNya lagi

وَلاَ تَكُونُواْ كَالَّذِينَ تَفَرَّقُواْ وَاخْتَلَفُواْ مِن بَعْدِ مَا جَاءهُمُ الْبَيِّنَاتُ وَأُوْلَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam ugama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar. (Surah Ali Imran : 105)

Apa yang ingin disampaikan oleh Dr Sadiq Amin ialah kewujudan gerakan Islam yang bersatu, dari sudut prinsip, matlamat, walaupun berlainan wasilah. Gerakan ini dianggotai oleh para pendakwah yang memahami konsep perjuangan nabi-nabi. (Bahagian 1, Fasal 2, Mabhas 3)

Pemimpin Yang Ditaati Dan Pengikut Yang Taat

Di dalam sebuah gerakan Islam, 2 ciri-ciri ini cukup penting dalam menjelaskan istilah “jemaah-jemaah yang rapuh”. Maksud saya, jemaah yang berbilang-bilang, tetapi mempunyai kekuatan yang dilihat kuat, tetapi rapuh.

Di sana, terdapat perbezaan ulama’ dalam masalah berbilang jemaah :

1. Mengharuskan berbilang jemaah dengan bersyarat, antaranya :

a. Ustaz Mustafa Masyhur di dalam karangannya, Wehdatul Amal Fil Qatril Wahid
b. Dr Solah Sowi di dalam karangannya, Ath Thawabit Wal Mutaghayyirat Fi Masiratil Amal al Islami al Mu’asir
c. Dr Yusof al Qaradhawi di dalam karangannya, Min Fiqhid Daulah Fil Islam

2. Tidak membenarkan berbilang jemaah, antaranya :

a. Ustaz Fathi Yakan di dalam karangannya Ihzaru al Aids al Haraki
b. Husin bin Mohsen Ali al Jabir di dalam karangannya at Thariq Ila Jama’atil Muslimin

Berdasarkan pandangan mereka, pandangan pertama membenarkan berlakunya berbilang jemaah dengan “bersyarat”. Antara syarat-syarat yang mereka letakkan secara umum ialah :

1. Matlamat yang satu, tidak melanggar etika jemaah asal.
2. Harmoni dan kasih sayang sesama jemaah.
3. Mampu menyelaraskan sistem gerakan.

Dan lain-lain. Cuma, pada pandangan saya, perbezaan di antara pandangan pertama dan pandangan kedua ialah “sistem”. Pandangan pertama membolehkan jemaah kedua ditubuhkan sekiranya ia membantu menyelaraskan sistem dan penambah baikan gerakan Islam di sesebuah negara.

Manakala pandangan kedua yang mengharamkan penubuhan jemaah kedua, disebabkan mencelarukan sistem gerakan Islam, melihat kepada realiti setempat. Maka, sekiranya jemaah kedua ditubuhkan selepas penubuhan jemaah pertama mampu menyelaraskan sistem gerakan Islam, silakan. Sekiranya mencelarukan sistem, maka haram hukumnya.

Dalilnya berdasarkan tafsiran bagi ayat Surah al Anbiya ayat 92, Surah Ali Imran ayat 105 dan lain-lain.

Ulasan Dan Kesimpulan

Pada permulaan tadi, saya menceritakan serba ringkas tentang kerosakan yang berlaku di sekeliling kita, yang juga telah diulas oleh Dr Sadiq Amin di dalam kitabnya. Ada golongan yang mempersoalkan :

“Kenapa kita sibuk-sibuk masalah berbilang jemaah, sedangkan masalah usul tidak dihiraukan? Murtad berleluasa, kita dok sibuk masalah jemaah itu ini..”

Maka, ingin saya tekankan bahawa kerosakan demi kerosakan ini hanya mampu diselesaikan dengan penubuhan gerakan Islam. Penubuhan gerakan Islam ini hendaklah bersatu, bermatlamat, bersistem dan sebagainya.

Maka, dalam menjelaskan tentang sistem, kesatuan dan matlamat ini, timbul masalah yang kedua. Iaitu penubuhan jemaah-jemaah yang banyak, masing-masing mengutarakan agenda masing-masing, buat kepala sendiri, bercanggah dengan keputusan mesyuarat dan sebagainya.

Maka, penyelesaian bagi masalah kedua ini telah dihuraikan selepas itu. Iaitu setelah menerangkan kewajipan bersama gerakan Islam. Seseorang bertanya :

“Yang mana satukah lebih aulawiyat (prioriti)?”

Maka, boleh saya senaraikan beberapa aulawiyat di bawah :

1. Berlaku kerosakan di muka bumi, maka lebih utama bagi kita untuk menangani masalah usul berbanding furu’.

2. Bagaimanakah untuk menanganinya? Mampukah kita menyelesaikan seorang? Maka, lebih utama kita bersama dengan gerakan Islam untuk melaksanakan kebaikan dan menghapuskan kemungkaran (amar makruf nahi mungkar)

3. Bagaimanakah gerakan Islam itu dapat melaksanakan amar makruf nahi mungkar sekiranya gerakan-gerakan Islam saling bercelaru? Maka lebih utama untuk kita menyatukan kesatuan gerakan Islam. (maksud saya gerakan Islam di sesebuah tempat)

4. Bagaimanakah gerakan-gerakan Islam ini boleh bersatu? Maka lebih utama untuk kita memperbetulkan sistem gerakan Islam, dan memahamkan tentang masalah berbilang jemaah,

... supaya gerakan-gerakan Islam ini bersatu, tidak buat kepala sendiri, tidak jadi gunting dalam lipatan.. supaya gerak kerja amar makruf nahi mungkar berjaya diselesaikan.. supaya kerosakan di tanahair kita boleh diperbaiki..

Prioriti ini saya jelaskan secara umum. Sekiranya terdapat perbincangan, sila nyatakan di ruangan komen dengan “penuh kasih sayang”. :)

Insya Allah, artikel selepas ini, saya akan jelaskan tentang tuduhan “PAS hanya parti politik semata-mata.. jatuh menjatuh.. kurang tarbiah.. dan sebagainya.” Doakan.

Artikel berkaitan berbilang jemaah (SILA KLIK)

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

1 comments:

Mohd Faizzudin bin Ghazali on January 20, 2011 at 7:35 PM said...

ulasan yang mantap...teruskan menulis...

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal