Manusia telah diberikan oleh Allah SWT, tubuh badan yang membolehkannya bergerak, beribadah dan sebagainya. Malangnya tubuh ini tidak digunakan untuk kebaikan. Bahkan kebanyakan manusia sengaja merosakkan tubuh yang diberikan percuma ini. Tubuh badan yang dicipta untuk mengabdikan diri kepada Allah ini lah yang digunakan untuk mengingkari arahan Allah SWT.
Sekiranya tubuh ini mampu berkata, sudah pasti ia tidak sanggup ber”tuan”kan orang yang degil dengan perintah Allah. Mereka ini sihat dari segi luarannya, tetapi di dalam badannya berjuta-juta kulat dosa sedang bercambah. Mereka sihat, tetapi sakit. Terdapat penyakit dalam tubuh mereka yang sihat itu.
Manusia hari ini hanya dididik supaya menjaga kesihatan badan dari segi luaran sahaja. Si pencuri juga dinasihatkan supaya menjaga kesihatan dirinya. Apabila kita melihat si pembina badan, hanya spender sahaja yang dipakainya. Badan cukup sihat, tetapi banyak penyakit rupanya. Demikian juga si pelacur, yang turut dinasihatkan supaya mengamalkan penzinaan secara “bersih”. Mana mungkin zina itu bersih!!
Bahkan, doktor perubatan pun sudah ramai yang merokok, sedangkan mereka yang mengingatkan orang ramai supaya menjaga kesihatan. Kontraktok pembina bangunan pun sudah ramai yang mengurangkan kadar simen dalam pembinaan bangunan sedangkan mereka itu bertanggungjawab membina bangunan yang kukuh. Akhirnya mereka sendiri yang menyebabkan bangunan itu runtuh.
Tidak ahiran juga, orang yang mendakwa dirinya ustaz, sedangkan ada di antara mereka ini yang menjadi “lesen” kepada orang lain untuk melakukan maksiat. Dari segi luaran, mereka semua ini bergelar doktor, kontrator dan ustaz, sedangkan mereka hanya memakai namanya sahaja. Mereka bukanlah doktor, kontraktor dan ustaz yang sebenar.
Tidak hairanlah, akan wujud seorang pencuri, yang mencuri untuk memberi sedekah kepada orang ramai. Ataupun wujudnya orang yang berzina, tetapi mereka berzina dengan niat yang “ikhlas” kerana Allah SWT. Ataupun wujudnya orang yang menipu dalam perniagaan, tetapi mereka berbuat demikian untuk menyara hidup anak isteri.
Pelik bukan? Mana mungkin harta yang dicuri itu halal baginya untuk dijadikan sedekah. Mana mungkin zina itu “ikhlas” kerana Allah SWT. Mana mungkin keuntungan daripada penipuan itu dijadikan sumber untuk menyara anak isteri. Tetapi sekiranya di dalam tubuh yang sihat itu terdapat penyakit, maka inilah jadinya.
0 comments:
Post a Comment