27 October 2009

Kisah-kisah Yang Menggembirakan Hati Nabi SAW

Semaikanlah cinta kepada Nabi Muhammad SAW, dan ahli bait Baginda SAW

Kisah Pertama
(Shahih Bukhari : 6164)

Seorang lelaki yang faqir datang kepada Nabi SAW mengadu tentang kesalahannya yang besar, iaitu berjimak dengan isterinya ketika siang hari di Bulan Ramadhan.

Lalu Baginda SAW bertanya kepadanya, adakah dia memiliki hamba untuk dibebaskan? Dia mengatakan bahawa dia tidak memilikinya.

Baginda SAW bertanya lagi, adakah dia mampu untuk berpuasa 2 bulan berturut-turut? Dia mengatakan bahawa dia tidak mampu untuk melakukan demikian.

(Ibnu Hajar al Asqolani menukilkan daripada Ibnu Daqiqil Aid di dalam Fathul Bari bahawa pemuda tersebut tidak mampu untuk menahan dirinya selama dua bulan untuk tidak menghampiri isterinya. Ini berdasarkan riwayat Ibnu Ishaq. Wallahua’lam)

Lalu Baginda SAW mengeluarkan seberkas Buah Tamar, lalu diberi kepada lelaki tersebut. Baginda SAW menyuruhnya supaya mensedekahkan kesemua Buah Tamar tersebut kepada penduduk disekitar Madinah.

Lelaki tersebut bertanya lagi “Hendak diberi kepada siapa?, Demi Allah, tiada seorang pun yang tinggal di persekitaran Madinah, lebih faqir daripada kami”

Apabila mendengar kata-kata lelaki tersebut Nabi SAW tersenyum sehingga menampakkan giginya. Lalu Baginda menyuruhnya supaya memberi ahli keluarganya sendiri untuk makan buah tersebut.

Pengajaran daripada kisah

1. Diharamkan berjimak dengan isteri ketika siang hari di Bulan Ramadhan
2. Sesiapa yang melakukannya dikenakan kifarah, iaitu :
a. Membebaskan hamba atau
b. Berpuasa selama dua bulan atau
c. Memberi makan 60 orang miskin
(berdasarkan tertib mengikut pandangan Jumhur)
3. Berlembut dengan manusia yang ingin memperbetulkan kesalahan
4. Islam itu mudah dan jalan penyelesaian


Kisah Kedua
(Abu Daud : 3768)

Nabi SAW diberi kelebihan, mampu untuk melihat makhluk yang tidak dapat dilihat oleh sahabat-sahabat lain. Contohnya syaitan.

Satu ketika Nabi SAW sedang duduk dan dalam masa yang sama terdapat seorang lelaki yang sedang makan. Lelaki tersebut terlupa untuk membaca bismillah, sehinggalah makanan yang dimakannya tinggal sesuap sahaja lagi.

Ketika suapan terakhir itu hendak dimasukkan ke mulutnya, lelaki tersebut teringat bahawa dia masih belum membacakan bismillah. Lalu dia pun menyebut,

بسم الله أوله وآخره

Sejurus selepas dia membacanya, Nabi SAW tertawa sedikit lalu Baginda SAW menyatakan bahawa ketika lelaki tersebut sedang makan, syaitan juga turut makan bersamanya.

Tetapi setelah dia membacakan ayat tersebut, syaitan yang makan bersamanya muntah keluar segala yang dimakannya tadi bersama lelaki tersebut. Perkara ini membuatkan Baginda tertawa kecil melihat rupa syaitan apabila muntah.

Pengajaran daripada kisah

1. Mulakan makan anda dengan membaca doa
2. Sekiranya terlupa, maka bacalah ayat yang dinyatakan tersebut
3. Ingatlah Allah di setiap ketika dan waktu, insya Allah akan terpelihara daripada syaitan


Kisah Ketiga
(Ibnu Majah : 3219)

Suwaibit dan Nu’aiman adalah dua orang sahabat Baginda SAW yang kerap membuatkan Baginda SAW tertawa dengan kelakuan mereka yang melucukan dan menggembirakan hati.

Kedua-dua sahabat ini di antara tentera Perang Badar dan peristiwa lucu ini berlaku setahun sebelum kewafatan Baginda SAW.

Satu ketika kedua-dua sahabat ini pergi mengikuti Saidina Abu Bakar as Siddiq berniaga di Busra. Ketika itu, Nu’aiman membawa bekalan makanan. Lalu Suwaibit menyuruh Nu’aiman memberikan bekalan tersebut kepadanya untuk dimakan.

Nu’aiman memberitahunya bahawa dia akan mengeluarkan bekalan tersebut apabila Saidina Abu Bakar sampai kepada mereka.

Ketika itu, berlalu segerombolan manusia berhampiran mereka. Suwaibit mengambil kesempatan dengan bertanya kepada mereka, “adakah kamu hendak membeli hamba (Nu’aiman) daripadaku?”

Lalu kumpulan tersebut bersetuju untuk membeli hamba daripada Suwaibit, dan dia telah berpesan bahawa hambanya akan berkata “saya merdeka (bukan hamba)”. Oleh itu, apabila dia berkata demikian, tinggalkan dan biarkan dia.

Lalu mereka membeli hamba Suwaibit itu dengan seekor unta muda. Suwaibit pun mengalungkan tali unta tersebut ke leher Nu’aiman (hamba). Lalu mereka pergi dengan membawa Nu’aiman dengan tali unta tersebut.

Nu’aiman segera berkata kepada mereka, bahawa dia bukanlah hamba, dan ini hanyalah gurau senda Suwaibit semata-mata. Lalu mereka melepas Nu’aiman kerana hamba tersebut telah berkata “aku merdeka”. Setelah itu, dia segera menemui Suwaibit dan menceritakan hal tersebut kepada Saidina Abu Bakar.

Lalu Saidina Abu Bakar menyuruh Suwaibit mengembalikan semula unta muda tersebut kepada segerombolan manusia tersebut. Apabila cerita ini disampaikan kepada Nabi SAW, baginda tertawa kerana kelucuannya.

Pengajaran daripada Kisah

1. Persahabatan Suwaibit dan Nu’aiman sangat rapat sehinggakan dia tidak memarahinya kerana memper”kena”kannya.
2. Jual beli hamba sudah tidak berlaku pada hari ini. Wallaua’lam.


Kisah Empat
(Tarikh al Islam, Imam az Zahabi)

Satu ketika, seorang sahabat bernama Safinah (di dalam Bahasa Melayu bermaksud “kapal”) berjalan dengan Nabi SAW.

Lalu mereka terlihat segerombolan manusia yang memikul barang yang banyak, lalu Baginda SAW bersama-sama Safinah pergi membantu bersama-sama mengangkat barang tersebut.

Baginda berkata kepadanya,

“Angkutlah barang tersebut, kamu adalah kapal (safinah)”

Safinah menjawab, kalau kamu (Nabi SAW) mampu menggendong seumpama kemampuan seekor unta, dua, tiga sehinggalah tujuh, maka tidak lagi aku merasa berat.

Pengajaran daripada Kisah

1. Maksud “safinah” ialah kapal, iaitu pengangkutan yang mampu membawa banyak barang.
2. Persahabatan Nabi SAW dengan sahabatnya sangat akrab. Mereka saling bergurau senda dan berlawak.


Kisah Kelima
(Syarh as Sunnah, al Baghwi : 3607)

Nabi SAW mempunyai seorang sahabat yang bernama Abu al Warad yang bermaksud Bapa Bunga di dalam Bahasa Melayu.

Satu ketika Nabi SAW melihat Abu al Warad dan setelah itu Baginda SAW terlihat pula seorang lelaki yang kemerah-merahan warna kulitnya.

Lalu Baginda SAW bertanya kepada lelaki tersebut, adakah lelaki yang kulit kemerah-merahan tersebut ialah Abu al Warad? Sedangkan Baginda SAW tahu bahawa Abu al Warad berada di sebelahnya.

Bukankah warna bunga itu merah?

Pengajaran daripada kisah

1. Nabi SAW juga manusia seperti manusia-manusia yang lain.
2. Sifat kemanusiaan yang ada pada Nabi SAW membuatkan umatnya sentiasa merasa cinta kepada Baginda SAW.


Kesimpulan... Semaikanlah cinta kepada Nabi Muhammad SAW

Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Universiti al Azhar
mujahidazhar.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal