19 October 2009

Kadangkala, Tidur Itu Lebih Baik


“Tidur dalam keadaan berilmu lebih baik daripada solat dalam keadaan jahil” (Jami’ Saghir : 9294)

Inilah realiti yang terjadi, dan sesuatu yang perlu diterima. Orang yang tidur dalam keadaan berilmu lebih baik daripada orang yang bersolat dalam keadaan jahil. Adakah hadis ini menggalakkan kita tidur? Sebelum menjawab soalan ini, sila jawab soalan yang kedua dahulu, adakah kita ini sudah dikatakan berilmu?

Tidur dalam keadaan berilmu ialah seseorang yang tidur, dalam keadaan dia tahu bahawa tidur itu adalah yang terbaik. Bukanlah tidur 24 jam. Contohnya orang yang tidur ketika waktu yang sesuai, dan sepatutnya. Atau orang yang tidur awal untuk bangun berqiamullail, atau orang yang tidur sunat sebelum waktu zohor untuk mengikut sunnah Nabi SAW.

Maka, tidurlah selagi mana tidur itu membawa manfaat dan selagi mana ia adalah yang terbaik. Manakala orang yang kuat tidur itu adalah orang yang bodoh. Ini kerana dia tahu bahawa di dunia ini adalah tempat untuk hidup, bukannya tempat untuk mati! Dr A’idh al Qarni menukilkan sebuah syair di dalam La Tahzan :

Wahai penggemar katil, banyaknya kamu tidur,
Sesungguhnya selepas kehidupan adalah tidur yang panjang!!

Bagaimana pula dengan si jahil? Orang jahil pula adalah orang yang tidak tahu. Mereka yang bersolat dalam keadaan tidak tahu, akhirnya solatnya itu hanya sia-sia. Bagaimanakah solat itu mampu memberi manfaat kepada orang si jahil? Seolah-olah seperti seorang yang menaiki kereta, dalam keadaan dia tidak tahu mengendalikannya. Akhirnya kereta tersebut tidak juga bergerak.

Manakala orang yang paling keji pula ialah orang yang sudah tahu solat itu wajib, tetapi sengaja meninggalkannya. Maka, orang ini adalah orang yang lebih teruk daripada si jahil yang meninggalkan solat kerana dia tidak tahu kewajipannya!

Maka, janganlah kita sengaja melabelkan diri kita tergolong dalam golongan tersebut. Kita juga janganlah melabelkan diri kita sebagai seorang hidup yang mati! Iaitu mereka yang lebih banyak masa tidurnya daripada masanya berjaga, sedangkan ke”hidup”an di dunia bukanlah untuk mati!

Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Universiti al Azhar
http://mujahidazhar.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal