Siri kelima Ringkasan Kitab Syarah Mawaqif kelima, marshad pertama, dan maqsad pertama. Cuma, bab kali ini adalah "maslak hukama'" yang merupakan maslak kedua. Sebelum ini, adalah "maslak mutakallimin", dan di sana terdapat 3 jenis mutakallimin yang disenaraikan.
Siri sebelum ini
sambungannya di bawah ini...
Kelima : Hukama’
Tidak diketahui, siapakah yang dimaksudkan dengan “hukama’” mengikut pandangan Syeikh Idhoduddin al Ijie. Namun, kebanyakan ahli falsafah, menggunakan dua elemen di bawah ini untuk membuktikan kewujudan Allah, iaitu :
a. Wajib - Pencipta
b. Mungkin – Yang Dicipta
Dalil ahli falsafah secara umum ialah :
“Sesuatu yang wujud samada wajib, ataupun mungkin (sepertimana pembahagian di atas). Sekiranya kita mengatakan bahawa Wajib Wujud itu wujud, itulah yang kita ingini. Sekiranya Wajib Wujud ini tiada, maka makhluk (mungkin wujud) yang wujud ini diwujudkan oleh makhluk (mungkin wujud) yang lain.
Sudah pasti ia akan diakhiri juga dengan Wajib Wujud sebagai Pencipta. Sekiranya ia tidak diakhiri dengan Pencipta Mutlak ini, maka, ia akan menyebabkan berlakunya “daur” dan “tasalsul”, sedangkan kedua-duanya mustahil”
Contohnya, kereta. Ia dicipta oleh manusia, tetapi hakikatnya adalah Allah. Sekiranya kita menafikan Allah yang mencipta, sudah pasti kita akan mengatakan bahawa bapa kepada pencipta kereta itu yang mencipta kereta. Maka, ia akan berterusan sehinggalah “tiada kesudahan”, maka ia dikatakan sebagai daur dan tasalsul.
Persoalannya, siapa yang cipta kereta? Jawapan : Manusia. Siapa yang cipta manusia? Jawapan : Ibu bapa manusia tersebut. Siapa pula yang mencipta ibu bapanya? Jawapan : Ibu bapa, kepada ibu bapa manusia tersebut. Maka ia akan berterusan sehinggalah membentuk daur dan tasalsul.
Maka, hasilnya ialah, setiap makhluk (mungkin wujud), dicipta oleh Pencipta yang Wajib Wujud. Sekiranya tidak, ia akan menyebabkan daur dan tasalsul, sedangkan kedua-duanya adalah mustahil.
Dalil Hukama’ Tentang Kewujudan Allah
1. Dalil Wajib Wujud
Sebelum itu, kita perlu mengetahui bahawa terdapat 2 jenis wujud, yang tidak sama dengan pembahagian sebelum ini, iaitu :
a. Wujud dengan zatNya, iaitu Allah SWT
b. Wujud dengan bukan zatnya, iaitu selain daripada Allah SWT, iaitu makhluk atau alam
Maka, dalil Wajib Wujud ialah :
“Sekiranya Allah itu wujud, maka kewujudannya samada wujud dengan zatNya, atau wujud dengan bukan zatNya. Sekiranya wujud dengan zatNya, maka itulah yang kita ingini. Sekiranya Allah wujud bukan dengan zatNya, maka kewujudan Allah bersifat mungkin, sama seperti makhluk. Maka, tidak mungkin Pencipta sama dengan makhluk yang dicipta”.
Atau dengan kata lain, mana mungkin manusia sama dengan biskut, yang dicipta oleh manusia sendiri. Mana mungkin manusia sama dengan kereta yang dicipta oleh manusia. Maka, pencipta tidak sama dengan benda yang dicipta, apatah lagi Allah SWT yang tidak mungkin sama dengan makhluk.
Maka, jelas membuktikan kewujudan Allah SWT yang Wajib Wujud, dengan kewujudan makhluk ciptaanNya yang mungkin wujud. Apabila wujudnya makhluk (mungkin wujud), pasti wujud Pencipta yang Wajib Wujud. Sekiranya tidak, akan terjadinya “daur” dan “tasalsul”.
2. Dalil Mungkin Wujud
Sebelum itu, kita perlu tahu bahawa Dalil Mungkin Wujud terbentuk di atas dua paksi :
a. Wujudnya Wajib Wujud (Tuhan)
b. Wujudnya mungkin wujud (makhluk)
Maka, apabila kita mengatakan bahawa Allah itu Wajib Wujud, itulah yang kita ingini. Sekiranya kita mengatakan makhluk (mungkin wujud) itu wujud, sudah pasti ia bersandar dengan Wajib Wujud yang bukan bersifat mungkin. Mustahil kita mengatakan “mungkin” itu wujud dengan sendirinya.
Maka, dengan wujudnya semua makhluk membuktikan kewujudan Wajib Wujud, yang menjadi Pencipta bagi semua makhluk yang bersifat “mungkin” ini. Atau dengan kata lain, wujudnya makhluk, membuktikan wujudkan Pencipta.
Secara umum, dalil mungkin Ahli Falsafah, tidak sama dengan Ulama Ilmu Kalam (Mutakallimin). Ini kerana :
a. Ahli Falsafah membahagikan kepada “wajib” dan “mungkin”
b. Ulama Ilmu Kalam membahagikan kepada “kemungkinan jauhar” dan “kemungkinan aradh”.
3. Dalil Saling Berinteraksi
Beberapa persoalan yang mampu menghuraikan perkara ini ialah, bagaimanakah langit dan bumi boleh “bersepakat” dalam menghasilkan proses hujan? Bagaimanakah 4 musim dan semua tumbuhan boleh seiring untuk menghasilkan perubahan musim yang begitu tersusun?
Bagaimanakah oksigen mudah didapati di kawasan rendah seiring dengan kewujudan manusia yang pesat? Bagaimanakah siang dan malam boleh bertukar begitu tersusun? Bagaimanakah hidupan laut dan hidupan sungai boleh seiring dan selari dengan kehidupan masing-masing?
Semua persoalan ini membuktikan kewujudan Allah SWT, yang menyusun dan mengatur sistem alam ini. Bagaimanakah seekor ibu ayam begitu garang memelihara telurnya? Siapakah yang mengajar ibu ayam yang tiada akal itu, supaya menyayangi telurnya? Jawapannya ialah, Allah itu wujud!
4. Dalil Keajaiban Ciptaan
Keajaiban ciptaan di muka bumi dan di langit jelas menunjukkan kewujudan Allah SWT. Perkara ini telah dijelaskan panjang lebar sebelum ini berdasarkan ayat-ayat al Quran.
Antara keajaiban ciptaan Allah ialah, sistem pernafasan manusia, pengaliran darah, sistem perkumuhan, sistem pembiakan dan sebagainya. Selain itu, sistem siratan makanan pada tumbuhan dan haiwan juga membuktikan kewujudan sistem ini. Sistem peredaran awan, dan menghidupakan bumi yang mati, sistem sayap yang ada pada burung dan sebagainya.
Bahkan perkembangan tubuh badan manusia daripada sperma menjadi bayi, juga diceritakan secara terperinci di dalam al Quran, membuktikan bahawa Allah itu wujud, dan Dialah yang mencipta manusia.
Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
0 comments:
Post a Comment