Banyak isu-isu yang telah melanda umat Islam dewasa kini. Tidak kira isu di peringkat dunia seperti isu Palestin, ataupun isu umat Islam di Patani mahupun dengan isu yang berlaku di peringkat negara Malaysia.
Di Malaysia kini, isu judi bola yang menjadi isu hangat diperkatakan oleh setiap lapisan masyarakat, isu ini perlu dipandang serius oleh kita selaku mahasiswa Islam sebagai menyahut sabda nabi :
“Sesiapa yang tidak mengambil berat tentang permasalahan ummat, mereka bukan dari kalangan kami”. (Hadis Nabawi)
Allah Taala telah jelas meyebut didalam al-Quran tentang hukum yang qat’ie berkenaan pengharaman judi,sebagaimana firmanNya:
Maksudnya : ”Wahai orang-orang yang beriman,sesungguhnya minuman keras, berjudi, (bekorban untuk) berhala dan mengundi nasib dengan anak panah adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilan perbuatan-perbuatan itu agar kamu beruntung”. (Surah al-Maidah : 90)
Ayat di atas merupakan dalil yang jelas menunjukkan bahawa perbuatan judi merupakan perkara yang dilarang secara qot’ie disisi syarak. Imam Al-Qurtubi menjelaskan bahawa Allah s.w.t telah mengharamkan perbuatan judi berdasarkan firman-Nya : “Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu”.
Selain itu juga ulama’ secara ijma’ telah mengeluarkan hukum pengharaman judi bagi ummat Islam. Hal ini kerana, judi memberi banyak kesan buruknya kepada pembentukan institusi ummah dan menyebakan tidak mendapat keberkatan daripada Allah.
Oleh yang demikian, BKKS PMRAM ingin mengajak mahasiswa Islam mesir khususnya memahami bahawa isu judi dan isu bola adalah merupakan dua isu yang perlu kita fahami dengan baik. Bukan bermakna Islam melarang judi menunjukkan bahawa islam juga melarang umatnya untuk bersukan.
Islam menggalakkan umatnya untuk bersukan, hal ini kerana dengan bersukan dapat melahirkan umat yang cergas dan sihat. Dengan bersukan juga menunjukkan Islam mengajar umatnya agar mengimbangkan antara aspek jasmani dan rohani dalam membina seorang insan acuan Islam.
Cuma apa yang perlu kita fahami adalah apabila perkara halal bercampur dengan haram maka secara automatiknya perkara tersebut akan menjadi haram dan perlu kita jauhi. Hal ini perlu kita fahami dengan sebaiknya agar ia tidak menimbulkan salah faham yang akan menyebabkan persepsi terhadap Islam disalah ertikan oleh masyarakat awam khusunya.
BKKS PMRAM juga ingin menimbulkan persoalan tentang tahap kecaknaan kita sebagai mahasiswa Islam di Mesir khususnya tentang hal-hal sebegini. Mahasiswa perlu menjuarai isu, samada isu yang berkaitan dengan ummah dunia mahupun isu yang berlaku di tanah air.
Ramai yang beranggapan mahasiswa yang berada di Timur Tengah kadangkala ketinggalan dengan isu-isu dalam negara dengan meletakkan alasan jauh dari negara. Namun sebenarnya ini adalah alasan yang tidak munasabah terutamanya dalam zaman IT seperti sekarang. Hakikatnya kita sebenarnya meletakkan diri kita di dalam zon selesa.
Sebagai golongan mahasiswa Islam yang intelek sewajarnya kita lebih matang dalam menangani isu yang berlaku pada ummah secara ilmiah.
Mahasiswa Islam sebenarnya memikul tanggungjawab memimpin orang ramai malah sehingga tahap membangunkan bangsa dan negara. Cuba kita renungi, kenapa dalam mengejar pembangunan di mana-mana negara, di samping mereka meningkatkan kemodenan, mereka juga terpaksa memantapkan dan menyediakan lebih banyak pusat pengajian tinggi. Jika tiada golongan mahasiswa yang mengisi kemodenan dan menjayakannya, akhirnya kemodenan tersebut akan dinikmati oleh pihak luar.
Oleh yang demikian, perlu kita sedari bahawa tugas kita sebagai mahasiswa Islam bukan sekadar menuntut ilmu semata-mata malahan mengamalkan ilmu tersebut dengan kata lainnya dengan menggunakan ilmu tersebut untuk pembangunan ummah.
Kata seorang ahli sejarah Islam Ibn Khaldun
“Kayu ukur kepada kemajuan ataupun kehebatan sesuatu tamadun tersebut adalah apabila berlaku masalah ataupun ujian terhadap tamadun tersebut,akan ada respon ataupun tindakan yang dilakukan oleh masyarakat tamadun tersebut.”
BKKS PMRAM berharap dengan kecaknaan kita terhadap isu-isu yang berlaku terhadap ummah menunjukkan satu respon dan tindakan daripada mahasiswa Islam untuk mengembalikan kegemilangan tamadun Islam terdahulu.
MOHD SOLEHUDDIN BIN MOHD SAFIEN
Badan Kebudayaan, Kesenian Dan Sukan PMRAM 2010
1 comments:
hebat ayat ust leh..sokong ust leh..
Post a Comment