24 June 2010

JI : Kerajaan Enggan Beri Jawapan Rasmi Di Parlimen


KUALA LUMPUR, 23 Jun: Datuk Wira Abu Seman Yusop tetap enggan mengeluarkan kenyataan rasmi di Dewan Rakyat walaupun beberapa Ahli Parlimen PAS mendesaknya supaya mendedahkan bukti-bukti emperikal berhubung kewujudan semula gerakan Jemaah Islamiah (JI) di tanah air.

“Saya berasa saya tak mahu respons persoalan-persoalan Pasir Puteh,” tegas Timbalan Menteri Dalam Negeri itu berkali-kali, petang tadi.

Keengganan Wira yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah itu gara-gara tindakan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Muhammad Hussain meminta kementeriannya mengaitkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dengan JI, sebagaimana yang didedahkan oleh Polis Cawangan Bukit Aman dalam suatu program bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Apakah motif kerajaan dalam menyiarkan gambar-gambar Marang (Abdul Hadi) dan Timbalan Mufti (Mohd Asri) dalam program KPT sebelum ini.

“Adakah kerana kedua-dua tokoh ini dilihat salah atau terbabit dengan gerakan JI sekarang atau mengamalkan ajaran sesat?” soal Muhammad.

Menjawab soalan tersebut, Abu Seman menyifatkan soalan-soalan Mohammad itu sebagai khabar angin semata-mata.

Lantas itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pula bangkit mempertikai jawapan timbalan menteri itu.

“Saya rasa ini semua bukannya ‘khabar angin’, apa yang dijelaskan oleh Pasir Puteh itu adalah suatu taklimat Polis Bukit Aman pada Kementerian Pengajian Tinggi,” tegas beliau.

“Yang dikaitkan adalah seorang bekas Mufti, seorang Mufti Perlis dan Marang (Abdul Hadi) sendiri, sebab itu Dewan yang mulia ini nak tahu mengapa gambar-gambar mereka ini dikaitkan dengan JI.”

Beliau turut mempertikai kredibiliti Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kerana tidak berani hadir di Dewan Rakyat membuktikan kononnya Jamaah Islamiah kembali aktif di tanah air.

Melihat pada tindak tanduk menteri dan timbalan menteri, beliau tidak menolak kemungkinan Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan seakan mendapat nasihat yang salah dalam menangani isu keselamatan tersebut.

Turut mendesak KDN di Dewan Rakyat adalah Datuk Mahfuz Omar (Naib Presiden PAS/Ahli Parlimen Pokok Sena) dan Dr Dzulkefly Ahmad (Ahli Parlimen Kuala Selangor).

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal