22 June 2010

PAS Lenggong Desak Ustaz Zulkifli Dibebaskan - Cina Islam

Haji Muhammad Zakaria (baju puteh), Isteri Ustaz Ibrahim (tudung muka), Haji Mahfudz dan Haji Razman

9 Rejab 1431H.
Khairul Azman Sakri

LENGGONG: PAS kawasan mendesak kerajaan Malaysia melalui Menteri Luarnya menangani isu penahanan seorang rakyat negara ini, Ustaz Muhamad Zulkifli Zakaria, 41, oleh pihak berkuasa Mesir, secara serius kerana mangsa pergi ke negara itu untuk urusan pelajaran.

Yang DiPertua PAS Lenggong, Haji Razman Zakaria, berkata Ustaz Zulkifli yang lebih dikenali sebagai Ustaz Ibrahim tidak mempunyai rekod yang beliau terbabit dengan sebarang kegiatan bertentangan dengan undang-undang negara dan tidak menyertai mana-mana jamaah yang diharamkan di negara ini.

Katanya, pemergian Ustaz Zulkifli hanya atas urusan untuk menyambung belajar di Universiti al-Azhar bagi peringkat Master, bagaimanapun ketika proses penerbangan balik pada 13 Jun lalu beliau ditahan pihak berkuasa Mesir.

"Semasa proses check out di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, sewaktu beliau berurusan dengan pihak imigresen, beliau ditahan sedangkan isteri dan dua anaknya tidak tahu apa-apa.

"Akhirnya apabila kapalterbang berlepas, beliau tidak bersama dengan isteri dan dua anaknya yang baru berusia dua dan tiga tahun," katanya sehari selepas pulang dari menemui Ahli Parlimen Pokok Sena, Yang Berhormat Datuk Mahfudz Omar dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman di Parlimen 21 Jun lalu.

Haji Razman berkata, penahanan oleh pihak berkuasa Mesir langsung tidak dimaklumkan kepada keluarga beliau di Malaysia, malah kerajaan sendiri tidak memaklumkan kepada pihak keluarganya.

Katanya, berikutan itu, 20 Jun lalu beliau ditemui bapa Ustaz Zulkifli, iaitu Haji Muhammad Zakaria Abdullah, 62, mengadu hal anaknya, membawa kepada pertemuan dengan Datuk Mahfudz dan Menteri Luar.

Selepas pertemuan itu, katanya Menteri Luar membuat kenyataan akhbar dan berita mengenai penahanan Ustaz Zulkifli yang juga bekas Calon Parlimen PAS Kawasan Lenggong itu disiarkan akhbar arus perdana hari ini (22 Jun).

"Saya mewakili PAS Lenggong, mendesak kerajaan Malaysia menangai masalah Ustaz Zulkifli dengan serius sehingga beliau dibebaskan oleh pihak berkuasa Mesir kerana Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Perak itu tidak bersalah.

"Saya juga berharap supaya keluarga Ustaz Zulkifli bersabar atas ujian yang dihadapi dan berdoalah supaya Ustaz Zulkifli dapat pulang segera ke pangkuan keluarga," katanya.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal