07 January 2010

Memori Uhud : Pengajaran Buat Umat Islam

Perang Uhud berlaku pada 17 Syawal, 3 Hijrah. Ia berpunca daripada dendam pihak Quraisy Mekah terhadap kekalahan mereka di Perang Badar, Sariyyah Zaid bin Harithah dan beberapa peristiwa lagi, yang menyebabkan banyak kerugian yang dialami oleh mereka, dan terbunuhnya beberapa orang kenamaan di kalangan mereka.

Untuk melancarkan perang kepada umat Islam di Madinah, mereka telah membuat tawaran kepada puak-puak lain seperti Habsyah, Kinanah dan Tihamah, dengan menawarkan sejumlah wang. Mereka juga sanggup mengeluarkan kos yang tinggi untuk membantu dalam peperangan terhadap umat Islam ini. Antaranya mereka menjual 1000 ekor unta dan 50 000 dinar.

Tentera Quraisy mengumpulkan sebanyak 3000 orang dari kalangan mereka, orang-orang Habsyah, dan lain-lain. Mereka menggunakan 3000 ekor untuk sebagai pengangkutan logistik, 200 ekor kuda tempur dan 700 baju besi.

Abbas bin Abd Muthalib menghantar utusan kepada Rasulullah tentang hal tersebut. Utusan tersebut bergerak pantas ke Madinah sehingga dapat sampai ke sana dalam masa 3 hari, sedangkan jaraknya ialah 500 km. Setelah berita tersebut sampai, umat Islam berada dalam keadaan berjaga dan berwaspada dengan sebarang kemungkinan.

Dalam pada itu, Nabi SAW mengadakan mesyuarat tergempar bersama majlis tertinggi untuk membincangkan strategi tersebut. Ahli mesyuarat bersetuju untuk mengadakan pertempuran di luar Madinah, iaitu Uhud. Sementara tentera Islam, sedang bersiap sedia dengan kelengkapan yang ada.

Tentera Islam seramai 1000 orang, 400 daripadanya berbaju besi, dan 50 menggunakan kuda tempur. Tentera Islam mulakan perjalanan dan bermalam di antara Uhud dan Madinah. Seramai 50 orang diminta berkawal yang diketuai oleh Muhammad bin Maslamah al Ansari yang merupakan pahlawan handal, dan juga pengawal peribadi Baginda SAW.

Keesokan paginya, mereka meneruskan perjalanan sehinggalah mereka bertemu dengan musuh. Ketika itu, Abdullah bin Ubay berpaling tadah, lalu menarik kira-kira 300 orang dari kalangan mereka, supaya tidak turut berperang. Bani Harithah mula merasa lemah semangat dengan tindakan itu. Tetapi umat Islam yang lain masih teguh untuk terus berperang dengan bilangan sekitar 700 orang sahaja.

Seramai 700 orang, tentera Islam menggunakan jalan pintas menuju ke Bukit Uhud dengan melalui kebun dan lembah. Sehinggalah mereka menghadap Madinah, dan Quraisy terkepung di antara Madinah dan tentera Islam. Seramai 50 orang telah ditugaskan sebagai pemanah, yang berada di atas Bukit Uhud, untuk menutup laluan yang membolehkan tentera Islam diserang dari belakang.

Peperangan tercetus disebabkan cabaran Talhah bin Abi Talhah yang merupakan “Kambing Jantan” tentera Quraisy dan juga pemegang panji mereka. Akhirnya dia dibunuh, dan digantikan beberapa kali. Malangnya, kesemua yang menyambar panji tersebut dibunuh.

Maka, tercetuslah peperangan yang sengit di antara kedua-dua pasukan. 700 tentera Islam telah menyebabkan tentera Musyrikin kucar-kacir, dan mereka hampir-hampir kalah. Sehinggakah mereka lari meninggalkan pertempuran. Setelah itu, pasukan pemanah sebanyak 50 orang tadi, mula meninggalkan posisi mereka disebabkan ingin mengaut harta rampasan perang.

Tetapi yang masih tidak berganjak hanya 9 orang sahaja. Ini membolehkan Khalid al Walid yang berada di bahagian belakang, membuat serangan. Ini kerana mereka tidak dapat melakukannya sebelum itu disebabkan serangan balas pasukan pemanah. Pasukan berkuda ini berjaya membunuh 9 orang pasukan pemanah yang berbaki, dan menyerang tentera Islam dari belakang.

Maka, tentera Islam berkecamuk apabila mendengar seruan musuh daripada belakang, sehinggakan mereka tidak dapat membezakan antara musuh dan kawan yang berada di lapisan belakang. Nabi SAW yang berada di belakang terdedah dengan serangan, dan seramai 9 orang bersama Baginda SAW ketika itu.

Dalam masa yang sama, tentera Musyrikin yang sudah bertempiaran tadi, kembali ke tempat asal apabila mendapati tentera Islam diserang daripada belakang oleh tentera berkuda. Mereka kembali mendapatkan panji mereka, dan melancarkan serangan semula. Ketika inilah tentera Islam berpecah, dan tidak tentu arah, melainkan beberapa orang yang berbaki.

Apabila mendapat tahu keselamatan Baginda SAW terdedah, beberapa sahabat Baginda SAW yang berada di barisan hadapan, segera berundur mendapatkan Baginda SAW. Orang yang paling awal sampai kepada Baginda SAW ialah Saidina Abu Bakar RA. 9 orang yang bersama Baginda SAW telah dibunuh 7 orang daripadanya. 2 orang yang berbaki tersebut ialah Talhah bin Ubaidillah dan Saad bin Abi Waqas.

Beberapa orang lagi tiba mendapatkan Baginda SAW. Mus’ab bin Umair yang mempunyai rupa paras seperti Baginda SAW, datang mempertahankan Baginda SAW. Ketika itu beliau memegang panji tentera Islam. Ibnu Qam’ah datang membunuh beliau, dan disangkanya dia telah berjaya membunuh Baginda SAW.

Lalu, dia pun menghebohkan kepada orang ramai bahawa Baginda SAW telah berjaya dibunuh. Tentera Islam yang sudah berpecah, kembali tidak bersemangat. Namun, disebabkan kata-kata semangat beberapa orang, mereka kembali bangun, dan meneruskan peperangan.

Setelah beberapa orang mendapatkan Baginda SAW, Baginda SAW menyusun strategi supaya kembali berundur ke Bukit Uhud. Nabi SAW meluru ke arah tentera Musyrikin bersama tentera Islam yang lain, sehinggalah mereka berjaya menembusi barisan tentera Musyrikin yang sudah menyangkan Nabi SAW sudah dibunuh.

Setelah mereka berjaya berada di Bukit Uhud, tentera Musyrikin masih lagi ingin membuat serangan. Namun, usaha mereka telah digagalkan oleh tentera Islam yang berbaki. Abu Sufyan yang pada mulanya menyangka bahawa Nabi SAW sudah dibunuh, akhirnya sedar bahawa Baginda SAW masih hidup ketika itu.

Setelah gagal membuat serangan kepada umat Islam yang berbaki, yang berada di atas bukit, akhirnya mereka beransur pulang. Setelah itu, para Syuhada’ dikumpulkan dan peperangan ini menyaksikan kematian yang besar. Syuhada dari kalangan Muhajirin seramai 4 orang, 65 orang dari kalangan Ansar, dan seorang Yahudi yang mengetahui kewajipan melindungi Rasulullah berdasarkan perjanjian yang telah dibuat sebelum ini.

Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Usuluddin, Akidah dan Falsafah
Universiti Al Azhar

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal