sumber : bernama
Meskipun telah diserbu empat kali sejak 2007, 18 premis yang dijadikan sarang pelacuran di sekitar Brickfields di sini tidak serik dan terus menjalankan operasi.
Dalam operasi bersepadu terbaru pagi semalam oleh beberapa jabatan kerajaan, pihak berkuasa bertindak merampas pelbagai kemudahan di premis terbabit dan memecahkan sekatan-sekatan yang dijadikan lebih 100 bilik untuk tujuan pelacuran.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Penguat Kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Rolan Abd. Rahman berkata kali terakhir premis itu diserbu adalah pada pertengahan tahun lalu.
"Dalam operasi hari ini (semalam) kami merampas kemudahan-kemudahan yang terdapat di premis itu seperti televisyen, kipas dan tilam," katanya kepada pemberita ketika ditemui semalam.
Operasi itu melibatkan DBKL, polis, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) dan Tenaga Nasional Bhd. (TNB).
Bekalan air dan elektrik ke premis terbabit dipotong oleh Syabas dan TNB.
Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat kerana operasi semalam itu telah dimaklumkan terlebih dahulu kepada penyewa premis terbabit.
"Kita beri notis kepada mereka kerana ini arahan daripada Datuk Bandar, Datuk Ahmad Fuad Ismail sebab penyewa membina sekatan untuk dijadikan beberapa bilik dan juga menggunakan premis itu untuk tujuan yang tidak dibenarkan," katanya.
Rolan berkata, pihaknya akan mengesan pemilik premis terbabit untuk menasihatkan mereka agar menyewakan premis bagi tujuan perniagaan lain dan bukannya untuk pelacuran. - Bernama
0 comments:
Post a Comment