15 March 2010

Medan Politik Di Kalangan Melayu Mesir


Sejak kebelakangan ini, Melayu Mesir semakin dihidangkan dengan keterbukaan dalam medan politik Malaysia. Antara yang boleh dikaitkan dengan perkara ini seperti :

a. Penubuhan SUARA
b. Kedatangan Rombongan Dato Abdul Rahman dan Mufti Perak pada Ogos 2009
c. Kehadiran Dr Masyitah Ibrahim pada Februari 2010 dengan One Malaysia
d. Kehadiran JASA yang menyebarkan ideologi politik pada awal Mac 2010
e. Kehadiran Rombongan Ir Haji Nizar baru-baru ini
f. Dan sebagainya.

Tidak dinafikan, semenjak dahulu lagi Melayu Mesir sudah dihidangkan dengan “elemen” politik tanahair. Dengan kehadiran beberapa tetamu dari Malaysia, samada dari kalangan kerajaan, mahupun pembangkang.

Namun, bukanlah niat di hati ini untuk mengulas tentang kehadiran mereka. Cuma sedikit lontaran yang mungkin boleh difikirkan bersama tentang situasi ini. Antara yang boleh diperhatikan ialah :

a. Melayu Mesir menjadi sasaran hari ini, untuk dijadikan sebagai pelapis bagi parti-parti politik
b. Melayu Mesir dianggap sebagai “lubuk” untuk meraih sokongan.
c. Melayu Mesir sudah merasai suasana “peperangan” di Malaysia
d. Melayu Mesir semakin hebat dalam berfikir secara waqie’ Malaysia
e. Dan sebagainya

Kenapa Melayu Mesir?

Antara punca kenapakah Melayu Mesir menjadi sasaran, ialah :

a. Bilangan yang ramai

Melayu di Mesir begitu ramai bilangannya. Dan hampir 98 % dari kalangan pelajar dan mahasiswa. Selebihnya ialah golongan pekerja. Antara statistik yang boleh diperhatikan ialah keahlian PMRAM seramai 5000 orang. Dan bilangan Medic (yang mula disumbat beramai-ramai pada 2007) hampir setara dengan bilangan tersebut. Ditambah pula dengan bilangan ahli ISMA dan firaq-firaq lain yang tidak diketahui bilangan mereka.

Berbanding dengan UK, keahlian mereka juga ramai, tetapi peratusan sebagai pelajar dan mahasiswa agak rendah berbanding golongan pekerja yang juga ramai. Demikian juga negara-negara lain seperti Syria, Jordan, Madinah yang masih kurang berbanding Melayu Mesir.

b. Melayu yang pulang dari Mesir agak menonjol

Ini juga tidak dapat dinafikan apabila beberapa pelapis Melayu Mesir banyak terlibat dalam parti-parti politik dan bergiat di dalamnya. Antara yang lain, Melayu Mesir sering mendapat perhatian masyarakat Malaysia di dalam pengajian, kuliah, kepimpinan, pengurusan, dan sebagainya.

Tidak dinafikan, mahasiswa di Timur Tengah yang lain juga turut berketrampilan, namun, kajian tentangnya tidak diketengahkan di dalam perbincangan ini.

c. Melayu Mesir paling lama wujud

WaLlahualam, sejak bilakah Melayu sudah sampai di bumi Mesir. Antara tokoh terkemuka yang merupakan generasi awal ialah Tok Kenali, Syeikh Marbawi dan sebagainya. Tidak hairanlah apabila Melayu di Mesir sudah mampu membentuk sebuah persatuan besar seawal 1930 lagi, iaitu PMRAM

1930 adalah tarikh yang agak awal berbanding kemerdekaan Malaysia pada 1957. Melayu Mesir dilihat begitu kukuh dengan kewujudan PMRAM yang sudah berumur 80 tahun. Perjuangan-perjuangan PMRAM dalam mendapatkan kebajikan dan kedudukan masyarakat Melayu di bumi Mesir sudah beroperasi begitu lama.

PMRAM Tidak Terlibat Dengan Politik Tanahair

PMRAM yang sudah melangkah jauh dalam arena sejarah, namun, di dalam undang-undang tubuhnya menyebut bahawa PMRAM tidak terlibat dalam arena politik tanahair. Ataupun dengan kata lain, tiada lagi parti PMRAM di Malaysia.

Namun, di kalangan ahlinya yang begitu ramai tidak terlepas dari penglibatan mereka secara individu dalam arena politik Malaysia. Hamid Othman antara “orang kuat” PMRAM satu ketika dahulu. Begitu juga Dr Jamnul Azhar Mulkan, Syeikh Mat Nor, Tok Guru Nik Aziz dan banyak lagi.

Penglibatan mereka di dalam arena politik Malaysia adalah kesedaran individual mereka. Sehingga hari ini, PMRAM masih lagi gah dan kuat dengan nama sebagai NGO yang berdaftar secara rasmi di bawah Kementerian Kemasyarakatan Mesir.

Disebabkan inilah, beberapa kesedaran individu Melayu Mesir untuk menggiatkan diri mereka dalam arena politik, lebih-lebih lagi apabila ia dibentang di Mesir. Antaranya penubuhan SUARA yang tidak berkaitan dengan PMRAM selama ini. Maka, penubuhan mereka tidak dapat ditegah oleh PMRAM sepertimana kewujudan Nadi UMNO yang lebih lama “hidup” di bumi Mesir berbanding SUARA.

Dalam masa yang sama, kewujudan ISMA atau firaq-firaq lain yang tumbuh seperti cendawan, juga disebabkan ke”tidak terlibatan” PMRAM dalam arena politik. Lalu ISMA mendakwa bahawa PMRAM kurang menekankan aspek tarbiah, kerana hanya menumpu perjuangan kebajikan semata-mata.

Di Manakah Yang Dikatakan Kekurangan Tarbiah Dalam PMRAM?

Apabila PMRAM dituduh oleh ISMA sebagai satu badan kebajikan yang tidak menekankan aspek tarbiah, maka mereka seolah-olah membuat satu kenyataan yang tidak berasas. Mereka ditubuhkan hanya atas dasar “kekurangan tarbiah” dalam PMRAM semata-mata. Walhal, apabila dilihat secara pemerhatian, mereka hanya memilih “mad’u” yang bagus-bagus untuk ditarbiah.

Mereka yang “tidak bagus” tidak akan dipilih, juga tidak akan ditarik untuk bersama dengan persatuan ini. Adakah ini satu tarbiah yang sempurna oleh mereka? Juga menjadi kekeliruan apabila ahli-ahli ISMA yang keluar malam (akhawat) tanpa musyrif, tidak menghadiri usrah di BKAN, tidak menghadiri program, dan sebagainya. Adakah ini yang ditarbiah kepada ahli-ahli mereka?

Beberapa siri program anjuran Nadi UMNO yang jelas terdapat unsur-unsur maksiat, mendapat kerjasama daripada ISMA. Adakah ini tarbiah mereka? Siapakah barisan “ulama” mereka yang mereka dakwa sebagai “murabbi”? Murabbi mereka adalah dari kalangan yang tidak dikenali. Bahkan objektif penubuhan mereka yang masih belum jelas.

Keahlian mereka disembunyikan, dan disorokkan di sesuatu tempat yang dirahsiakan. Inikah tarbiah mereka? Mereka mentarbiah ahli mereka supaya hidup tidak bermasyarakat, dan hidup dalam dunia lain yang tidak sama dengan kehidupan Melayu di Mesir.

Persoalan seterusnya, kenapakah ISMA mengadakan hubungan baik dengan Nadi UMNO sedangkan mereka “menculik” ahli-ahli PMRAM? Sedangkan mereka mendakwa bahawa mereka mempunyai sistem tarbiah yang terbaik. Adakah bersatu dengan Nadi UMNO itu adalah satu bentuk tarbiah?

Persoalan ini sering dititip di bibir-bibir mereka yang pernah terlibat dalam ISMA. PMRAM tidak dapat mengetahui tentang mereka, kerana ia disorokkan. Maka, keaiban mereka didedahkan oleh Allah SWT sendiri. Mereka mendakwa bahawa tarbiah mereka paling kemas, tetapi mereka menyeru kepada perpecahan.

Jemputan Kepada Parti-parti Politik Malaysia

Setelah melihat beberapa perbincangan sebelum ini, saya cuba menggalakkan kepada parti-parti politik di Malaysia, tidak kira UMNO, PAS, DAP, PKR, MCA, MIC dan sebagainya untuk berkunjung di bumi Mesir. Kami ingin melihat seni perbandingan politik yang terdapat di Malaysia.

Inilah jemputan saya secara rasmi kepada mana-mana parti politik di Malaysia. Semoga dengan kehadiran mereka di bumi Mesir ini dapat memberi input yang terbaik kepada kami yang berada di sini. Ia mengajar kami erti keterbukaan minda dalam perbandingan politik yang sedang hangat di Malaysia.

Namun, ia bukanlah bererti kami menerima “bentuk-bentuk percanggahan dengan Islam” secara jelas. Kami sebagai mahasiswa Islam, akan terus mempertahankan Islam dan menolak mana-mana unsur yang bercanggah dengannya. Atau dengan kata lain, “silakan ke bumi Mesir, asalkan jangan hina Islam di sini sudah..”

Saya tertarik dengan Presiden PMRAM, Ustaz Abdul Mu’izz bin Mohammad, yang berperwatakan secara professional dalam berhadapan dengan situasi ini. Beliau dan PMRAM, akan meraikan mana-mana kunjungan secara rasmi secara terbuka tangan.

Beliau turut menjadi wakil PMRAM ketika kehadiran Dato Abdul Rahman SUK Kerajaan Negeri Perak, Rombongan Ir Haji Nizar, kunjungan JASA ke Mesir, dan banyak lagi. Keprofessionalan beliau dan PMRAM dalam menyambut kunjungan mana-mana tetamu Malaysia tanpa mengira bangsa, agama mahupun perbezaan parti politik.
Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil Tahun 4, Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah Universiti al Azhar

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal