23 March 2010

Riwayat Hidup Seorang Penggemar Bedah Plastik


sumber : Harian Metro 23 Mac

Apa Jadi, Heidi?


Dia baru saja menjalani 10 pembedahan plastik untuk mencantikkan tubuhnya namun usaha itu nampaknya seperti sia-sia.

Bentuk tubuh sempurna diidam Heidi Montag belum menjadi kenyataan.

Pada November tahun lalu, Heidi dilaporkan menjalani proses menyedut lemak di bahagian dalam dan luar paha.

Empat bulan kemudian, paha yang sama dilihat kembali dipenuhi selulit ketika Heidi, 23, bersiar-siar di set penggambaran filem dengan berseluar pendek.

Heidi mencipta nama selepas dia menyertai program televisyen realiti, The Hills, yang mula ditayangkan pada 2006.

Sejak mencipta nama dalam industri hiburan, wanita kelahiran Crested Butte, Colorado itu mengaku kemaruk kepada prosedur pembedahan plastik.

Justeru, melihat keadaan pahanya itu, tidak mengejutkan langsung jika Heidi sekali lagi mengunjungi klinik kecantikan untuk merawat selulit berkenaan.

Menjelang usia 21 tahun, Heidi menjalani pembedahan mencantikkan hidung, menyuntik kolagen ke bibir dan memasukkan implan bagi membesarkan buah dada.

Pada November, prosedur itu terbukti memberi kesan lebih dramatik.

Dalam laporan majalah People, Heidi didakwa melakukan pembedahan plastik ke atas hampir semua bahagian badannya, daripada sedutan lemak di leher dan membesarkan pinggul.

Heidi juga menegangkan kening, mengecilkan dagu, menyuntik Botox ke dahi dan bahagian berkedut, selain menyuntik lemak ke pipi.

Selesai prosedur itu, Heidi berkata, dia amat menyukai tubuhnya walaupun masih ada sedikit sebanyak rasa kurang yakin.

"Saya tak pernah berasa begini cantik dan seksi. Tak sangka saya boleh memiliki keyakinan begini," katanya.

Bagi Heidi, pembedahan plastik adalah proses menaik taraf tubuh seseorang bagi mendapatkan wajah dan kesegaran baru.

"Tidak sabar rasanya untuk melihat bagaimana reaksi dunia terhadap imej terbaru dan sifat sebenar yang ada pada saya," katanya.

Minggu lalu, Heidi berada di set penggambaran untuk menjadi pelakon undangan khas dalam filem pertama pernah dijayakannya.

Bersamanya dalam filem itu adalah dua pelakon handalan Hollywood, Nicole Kidman dan Jennifer Anistos.

Walaupun mengakui gementar, Heidi berjaya menyembunyikannya.

Belum dapat dipastikan apakah watak dilakonkan Heidi dalam filem itu, tetapi dia dilaporkan bakal muncul dengan pakaian serba seksi.

Pada laman web mikro peribadi, Tweeter, Heidi menulis: "Saya baru saja melalui hari terbaik dalam hidup dengan berlakon filem komedi pertama. Tiada kata dapat mengungkapkan perasaan ini." Pada ketika lain, Heidi menulis: "Dan saya memakai seluar pendek direka khas untuk filem ini!" Diberi judul Pretend Wife pada peringkat awal, filem itu kemudian dikenali sebagai Just Go For It, menampilkan Adam Sandler sebagai pakar bedah yang berjaya memujuk seorang ibu tunggal (Jennifer) untuk berpura-pura sebagai isteri yang bakal diceraikan.

Pembohongan itu dibuat bagi membolehkan dia terus memiliki seorang wanita lain dicintainya yang dilakonkan model Sports Ilustrated, Brooklyn Decker.

Sementara itu, suami Heidi yang panas baran, Spencer Pratt, diarah meninggalkan set penggambaran siri The Hills serta menjalani terapi bagi menguruskan kemarahan.

Arahan itu dibuat selepas Pratt, 26, dilaporkan hilang sabar ketika siri itu menjalani rakaman. - Agensi

link : http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Apajadi_Heidi_/Article

Ulasan Ringkas

1. Melakukan pembedahan plastik adalam haram, dan bercanggah dengan Islam. Ia diharuskan sekiranya terdapat kecacatan yang mengaibkan sahaja. Contohnya seorang perempuan yang mengalami kemalangan jalanraya sehingga rosak mukanya, dan sebagainya.

2. Mereka yang mengejar kecantikan dunia akan mengidap parah di hati. Orang ini tetapi akan tua, dan kulitnya tetap akan berkedut. Sekiranya terus menggunakan botox sehingga tua, umurnya tetap akan berlalu. Wahai wanita muda, engkau semakin tua.

3. Mencipta tubuh palsu tidak akan sama dengan kesempurnaan ciptaan Allah. Padahnya orang yang menjalani pembedahan plastik seperti ini akan terus mengalami "kerisauan" di dalam hidupnya.

4. Kalau esok hari orang yang menjalani pembedahan plastik ini mati, apa gunanya pembedahan tersebut. Wajahnya tetap dimakan ulat, dan tubuhnya pasti akan hancur tinggal rangka.

5. Duit bukan kebahagiaan. Disebabkan duit, rosak habis tubuh badan. Disebabkan duit jugalah hancur akhlak dan budi. Disebabkan duit, orang sanggup berbunuh-bunuhan.

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal