26 March 2010

Detik-detik Terhempasnya Pesawat Pilatus















sila lihat foto berkaitan di dalam link :

http://www.bharian.com.my/bharian/Gallery/index_html?idg=Nahas%20Pilatus%20PC-7

Berita

SINTOK: Perasmian Karnival Konvokesyen ke-23 Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini, semalam, bertukar tragedi apabila sebuah pesawat jenis Pilatus PC-7 MK II Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membuat persembahan sempena majlis itu, terhempas di kawasan hutan simpan di situ dan mengorbankan juruterbangnya. Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi itu, pesawat dipandu Mejar Muhammed Zulrihan Jusof, 39, dikatakan mengalami masalah teknikal ketika membuat persembahan sebelum terjunam ke dalam kawasan hutan simpan berhampiran kolej kediaman pelajar MISC/TM.

Ia menyebabkan suasana di Stadium UUM ketika majlis yang dirasmikan Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzaman Che Mat dan turut dihadiri Naib Canselor UUM, Tan Sri Nordin Kardi gempar berikutan bunyi letupan kuat diikuti asap hitam keluar dari kawasan hutan tempat pesawat itu terhempas.

Suasana majlis perasmian itu menjadi gamat apabila kira-kira 500 hadirin, terutama pelajar menjerit kerana terkejut dengan kemalangan itu.

Dua jentera dengan 14 anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat tiba di tempat kejadian kira-kira 15 minit kemudian dan mengambil masa kira-kira sejam untuk mengesan dan mengeluarkan mangsa yang ditemui beberapa meter dari pesawat. Selain bomba, operasi turut dibantu pihak TUDM dan UUM.

Mangsa dikatakan maut akibat terhempas selepas dipercayai melonjak keluar menggunakan kerusi anjal ketika pesawat menjunam, manakala separuh dari badan pesawat musnah.

Mayat juruterbang dikeluarkan dari tempat kejadian menggunakan sebuah helikopter TUDM sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat.

Detik cemas itu sempat dirakam di dalam sebuah video sila klik video di atas untuk menonton

Kronologi

11 September 2009 - Mejar Zulkifli Hassan, 38, dan Mejar Mohd Roszaini Mustafa, 37, terbunuh apabila pesawat terhempas di Langkawi, Kedah.

16 Disember 2004 - Nahas pesawat latihan Pilatus PC-7 mengorbankan pelatih, Leftenan Amnart Summok, 23, dan jurulatihnya, Mejar Alias Bakar, 36, di Kampung Titi Besi, Kepala Batas, Pulau Pinang.

27 Mei 2004 - Leftenan Mualimin Jasid, 23, terbunuh apabila pesawat Pilatus PC-7 terhempas di Kampung Padang Gelanggang, dekat Jerlun, Kedah.

12 Ogos 2003 - Pelatih penerbangan KTU, Leftenan Mai Elmy Sefrina Jalaluddin, 22, terkorban selepas pesawat Pilatus terhempas di Jalan Bukit Kayu Hitam-Changlun, Kedah.

12 April 2001 - Seorang juruterbang jurulatih TUDM terbunuh apabila Pilatus PC-7 TUDM terhempas di Kampung Kepala Parit Dalam, Tokai, Pendang, Kedah.

12 Julai 1993 - Juruterbang pelatih TUDM, Leftenan Muda Mohamad Nazri Amran, 21, terbunuh apabila pesawat terhempas di sawah Kampung Chemumar, Tambun Tualang, Perlis.

link : http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KRONOLOGIPESAWATPILATUSTERHEMPAS/Article

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal