wajah-wajah para ulama'
Seorang sahabat saya dari Malaysia, yang belajar di USIM, tertanya-tanya tentang isu ini. Seolah-olah mengadu, kenapa golongan akademik tidak boleh memberi pandangan, atau bersuara tentang agama. Seolah-olah golongan ini tersisih. Maka, inilah tujuan penulisan artikel ringkas ini.
Perbezaan
Sebelum mengulas perkara ini, beberapa perkara perlu diberi perhatian.
1. Tidak sama di antara orang yang berilmu, dan tidak berilmu
Tidak kira apa bidangnya, bangsa, warna kulit, semuanya berhak menuntut ilmu agama. Masing-masing boleh menjadi seorang yang berilmu, dengan syarat mendalami ilmu agama. Kalau tidak mendalami, bagaimana boleh memahami ilmu agama secara mendalam.
2. Tidak sama di antara orang yang beramal dengan ilmunya, dan tidak beramal
Bukan semua orang berilmu mengamalkan ilmunya. Orang yang sombong dengan ilmu agama yang dimiliki, adalah orang yang berilmu tetapi tidak beramal dengan ilmunya. Kebanyakan daripada mereka tidak berilmu pun. Pandai cakap sahaja.
3. Tidak sama di antara memberi pandangan, dan berhujah
Memberi pandangan tidak sama dengan berhujah. Sesiapa pun berhak memberi pandangan, dengan syarat tidak menghina, memfitnah, bercanggah dengan ulama dan sebagainya. Berhujah tentang agama adalah berhak kepada mereka yang berkelayakan sahaja.
4. Tidak sama di antara mengajar, dan memberi peringatan
Orang yang mengajar ilmu agama tidak sama dengan orang yang memberi peringatan. Sesiapa pun boleh memberi peringatan, tetapi bukan semua “dibenarkan” mengajar ilmu agama. Orang yang berilmu agama sahaja dibenarkan untuk mengajar agama.
5. Antara mengetahui asas agama, dan mendalami ilmu agama
Hukum mengetahui asas agama adalah wajib kepada semua orang yang mukallaf, iaitu fardhu ain. Manakala mendalami ilmu agama hukumnya fardhu kifayah. Sesiapa pun berhak mendalami ilmu agama. Mereka yang bergelar ulama ialah orang yang mengamalkan ilmunya yang dipelajari atau didalami. Bukan dengan hanya membaca buku agama, kemudian cuba berfatwa.
Ulasan
1. Setiap manusia mempunyai bidang masing-masing. Contohnya kejuruteraan, politik, sains dan sebagainya. Manakala bidang agama, bukanlah cebisan yang disamakan seperti kos-kos lain di univerisiti. Atau dengan kata lain, asas agama wajib dituntut dan diketahui oleh semua orang (fardhu ain), manakala mendalami agama, tidak diwajibkan kepada semua, dan hukumnya fardhu kifayah.
2. Orang kejuruteraan, doctor dan sebagainya juga berhak mendalami ilmu agama, dengan cara menuntut ilmu dalam bidang agama secara serius. Ilmu agama berhak dituntut oleh sesiapa sahaja, tanpa mengira kos, atau pengajian.
3. Tetapi berbeza dengan bercakap tentang “agama”, yang hanya dibenarkan kepada mereka yang mendalami agama sahaja, tanpa mengira siapakah mereka. Contohnya seorang yang berbidang sains politik bercakap tentang agama, dan dalam masa yang sama dia adalah seorang penuntut ilmu agama.
4. Sekiranya dia bukan penuntut ilmu agama, maka tidak wajar baginya bersuara atau berkata-kata tentang agama, melainkan hanya memberi peringatan, bukan untuk berhujah. Menjadi satu kesalahan apabila seorang yang tidak mendalami ilmu agama, mempertikaikan keilmuan orang yang mendalaminya.
5. Mereka yang mendalami ilmu agama pula, tidak harus menunjuk “kerek” dengan ilmunya, kerana mereka yang sombong dengan ilmu yang ada, akan dijatuhkan oleh Allah. Orang yang berilmu ialah mereka yang beradab dengan ilmunya. Bukanlah dengan memperlekeh orang lain yang tidak memahami Islam.
Situasi Yang Berlaku
Beberapa situasi yang perlu diperhatikan :
a. Syeikh Yusri HafizahuLlah adalah seorang Doktor Pakar, yang mendalami ilmu agama. Beliau adalah seorang ulama yang diakui keilmuannya.
b. Hafiz Firdaus seorang pilot yang membaca banyak kitab-kitab agama dalam Bahasa Inggeris, mula menerbitakan buku-buku kajian semula terhadap hadis-hadis shahih. Apa sudah jadi?
c. Tok Guru Nik Aziz telah dikatakan sebagai “bukan ulama”, di dalam sebuah ucapan umum. Apa sudah jadi?
d. Golongan akademi mula mempertikaikan pandangan ulama’ dengan mengemukakan hujah-hujah yang kononnya bernas. Ia bermula semenjak terbentangnya istilah “protaz”.
Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
0 comments:
Post a Comment