19 September 2009

Sekufu’ Dalam Perkahwinan


Seseorang yang bernama “faqir” telah bertanya di dalam ruang shoutbox, tentang erti sebenar “sekufu” di dalam perkahwinan. Ruangan shoutbox terlalu kecil untuk menjelaskan tentang perkara ini, kerana dibimbangi penjelasan hanya tertera sebahagian sahaja. Maka, saya tuliskan sebuah artikel, yang diharapkan agar ia dapat memberi manfaat kepada pembaca.

Sekufu ialah “persamaan” di antara bakal suami dan isteri dari beberapa sudut :

Pertama : Dari sudut beragama, dan baik

Contoh yang telah disebut oleh Allah SWT di dalam al Quran ialah di dalam Surah As Sajdah, ayat 18. Di sana Allah SWT membezakan di antara orang yang beriman dan orang yang fasiq. Maka, orang yang fasiq tidak sekufu denan orang yang beriman. Selain itu, terdapat juga contoh-contoh lain yang hampir sama dengannya, dari sudut “beragama” dan “baik”

Kedua : Pekerjaan

Dari segi pekerjaan, orang yang mempunyai kerja rendah, sudah pasti tidak sekufu dengan orang yang korporat atau yang mempunyai kehidupan yang mewah. Namun, perlu diingatkan bahawa hakikat “kufu” ini mempunyai hikmah yang besar, yang akan diterangkan selepas ini. Insya Allah.

Ketiga : Tidak mempunyai kecacatan

Contoh kecacatan yang dimaksudkan ialah kecacatan yang boleh membawa fasakh dalam perkahwinan. Contohnya ialah pengidap kusta tidak sekufu dengan perempuan yang tidak mengidapinya. Begitu jugalah contoh-contoh lain, yang hampir sama dengannya.


SILA AMBIL PERHATIAN

- Sekufu adalah hak perempuan dan walinya. Sekiranya di pihak mereka bersetuju menerima “lelaki” yang tidak sekufu, maka terpulanglah pada mereka. Tiada siapa yang boleh menghalang mereka daripada membuat keputusan ini.

- Sekufu bukanlah syarat sah perkahwinan. Perkahwinan tetap sah, walaupun tidak sekufu.

- Sekufu bertujuan mengelakkan wanita dan walinya menanggung malu.

- Sekufu adalah sebagai salah satu jaminan untuk kekalnya hidup bersuami isteri kerana cara hidup kedua-duanya hampir sama. Mereka tidak perlu mengubah cara hidup untuk membiasakan diri dengan cara hidup yang berbeza selepas perkahwinan.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal