20 September 2009

Tempoh Bulan Ramadhan. 29 atau 30 hari?


Secara umumnya, bulan Ramadhan itu kadangkala 29 hari, dan kadangkala 30 hari. Ia sepertimana yang telah disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW :

Sesungguhnya kami hamba yang buta huruf, kami tidak pandai menulis dan tidak pandai mengira. Manakala sebulan itu adalah sekian-sekian, iaitu kadangkala 29 hari, dan kadangkala 30 hari (Hadis Riwayat Bukhari, Daripada Ibnu Umar RA)

Selain itu, Saidatina Aisyah RA juga pernah mengatakan bahawa kebanyakan puasanya bersama Rasulullah SAW, ialah selama 29 hari, berbanding 30 hari. Hadis ini telah diriwayatkan oleh ad Darqutni dan Abu Daud.

Bagaimanakah pula dengan pelaksanaan di Malaysia. Kalendar yang telah ditetapkan bukanlah bersifat pasti. Ini kerana, untuk menentukan Bulan Syawal adalah melalui dua cara, iaitu :

Pertama : Melihat anak bulan
Kedua : Menghitung Ramadhan sebanyak 30 hari

Kalendar hari ini telah meletakkan bahawa Ramadhan itu sebanyak 29 hari, sedangkan berkemungkinan ia berubah menjadi 30 hari. Hakikatnya, pada malam 30 Ramadhan, anak bulan perlu diperhatikan, dan ditentukan samada esoknya hari raya, ataupun lusa.

Antara kesilapan yang berlaku ialah, terus meletakkan tempoh Ramadhan sebanyak 29 hari sahaja, tanpa melihat anak bulan terlebih dahulu. Kalau tidak melihat anak bulan, hendaklah dihitung sehingga 30 hari. Bahkan, di dalam proses melihat anak bulan untuk menentukan awal Syawal, hendaklah di datangkan dua orang saksi yang adil, berbanding penetapan awal Ramadhan yang hanya memerlukan seorang saksi yang adil.

Wallahua’lam, apa yang telah disusun di dalam kalendar hari ini, akan berubah ataupun tidak. Sekiranya pada malam 30 Ramadhan, memang anak bulan sudah kelihatan, maka keesokannya adalah Hari Raya. Dan ia memerlukan dua orang saksi untuk mengesahkannya.

Sekiranya pada malam tersebut, anak bulan tidak kelihatan, maka keesokan harinya kita masih lagi wajib berpuasa. Maka, kalendar-kalendar akan berganjak sehari, kerana kalendar hari ini telap “menetap”kan bahawa Ramadhan itu selama 29 hari sahaja.

Selain itu, asal kiraan bulan ialah selama 30 hari. Maka, sekiranya sebulan itu sebanyak 29 hari, ia adalah disebabkan beberapa perkara yang tidak diketahui. Oleh itu, kiraan sebenar ialah sebanyak 30 hari, tetapi sekiranya anak bulan sudah muncul pada malam 30, bermakna kiraan bulan itu ialah sebanyak 29 hari sahaja. Sebab itulah kiraan kita perlu melihat anak bulan dahulu, sekiranya ia tidak muncul, maka hendaklah dihitung sebanyak 30 hari, iaitu bilangan asalnya.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal