16 October 2010

Apa Cerita Agen Medik Mesir?

Isu Keselamatan : Pengerusi Kesal Wakil Agen Medik Mesir tidak Bekerjasama

Sumber : edpmt.org

Sejak kebelakangan ini kita dibanjiri dengan pelajar-pelajar daripada pengajian Perubatan. Saban tahun kuantitinya semakin bertambah. Sebilangan ramai daripada pelajar tersebut datang melalui tajaan JPA, agen QAS dan Medic Mesir.

Pihak persatuan DPMT tetap mengambil sikap untuk memberikan seberapa banyak kerjasama dan bantuan terutamanya kepada pelajar-perlajar yang baru tiba di bumi Tanta melalui hubungan yang telah dijalinkan dengan Persatuan Perubatan Cawangan Tanta (PCT) yang telah dilakukan sejak awal penubuhan persatuan tersebut.

Alhamdulillah, pada tahun lepas semua agen dapat memberikan kerjasama yang amat baik terutamanya dalam hal-hal yang berkaitan dengan isu keselamatan.

Namun yang menjadi masalah pada hari ini, sebuah agen yang dikenali sebagai agen Medic Mesir telah mengambil langkah menganjurkan aktiviti-aktiviti di bawah seliaannya sendiri dan baru-baru ini agen terbabit telah mengadakan program Sambutan Mahasiswa Baru di imarah pelajar-pelajar akhawat agen Medic Mesir.

Sebelum ini, wakil agen tersebut telah mengatakan bahawa tempat tersebut sebagai ‘centre’ sahaja dan bukannya markaz. Apa yang dikatakannya itu hanyalah perbezaan dari sudut istilah sahaja tetapi fungsiya tetap sama seperti markaz. Tindakan agen tersebut amat membimbangkan pihak kami kerana jelas telah melanggari qarar (ketetapan) yang telah ditetapkan oleh pihak keselamatan Mesir.

Pihak keselamatan Mesir telah menetapkan bahawa mahasiswa Malaysia hanya dibenarkan untuk beroperasi dengan sebuah markaz sahaja yang telah diluluskan dan tidak dibenarkan untuk menubuhkan markaz yang lain. Hal ini menjadi satu perkara yang amat kita titikberatkan demi kemaslahatan dan keselamatan semua pelajar. Sebab itulah, pihak DPMT tidak dapat menunaikan permintaan daripada persatuan PCT untuk menubuhkan markaz yang lain dan mengambil keputusan untuk berkongsi markaz sehingga ke hari ini.

Untuk menyelesaikan masalah ini, pihak kami telah berusaha untuk berbincang dengan wakil agen tersebut bagi menyelesaikan masalah ini. Namun, apa yang menjadi masalah wakil agen tersebut jelas tidak memberikan kerjasama yang baik kepada pihak kami. Sedangkan ianya adalah untuk kemaslahatan kita bersama termasuk pelajar-pelajar daripada agen tersebut. Saya melihat di dalam isu ini wakil agen tersebut seolah-olah mengambil sikap sambil lewa dan lepas tangan. Saya sendiri telah menghubungi beliau dan mengatakan bahawa pihak keselamatan Mesir ingin bertemu dengan beliau.

Beberapa kali temujanji dengan pihak keselamatan Mesir terpaksa kami batalkan kerana apabila tiba masa untuk bertemu dengan pihak keselamatan Mesir beliau telah mematikan telefon bimbitnya. Bahkan, pesanan ringkas yang dihantar melalui SMS juga tidak dibalas oleh beliau. Apabila ditanya, beliau memberi alasan yang tidak munasabah. Secara peribadi saya merasa begitu kesal dengan tindakan beliau ini. Jelas membuktikan bahawa pihak agen tersebut cuba untuk mengelak apabila kita mengambil jalan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Sebagai sebuah agen yang besar ,saya menganggap bahawa tindakan yang dilakukan oleh wakil agen terbabit adalah satu tindakan yang kurang professional.

Sekali lagi saya melahirkan rasa sedih dan kesal kerana pihak agen terbabit tidak membantu untuk menyelesaikan isu ini dalam keadaan yang baik dan harmoni. Sedangkan kita tahu, bahawa negara Mesir ini terkenal sebagai sebuah negara yang darurat. Kita sepatutnya bersyukur, kerana ini pihak keselamatan Mesir masih memberikan kerjasama yang baik sehingga hari ini. Saya menasihatkan kepada wakil agen tersebut supaya memikirkan akan kemaslahatan dan kebaikan seluruh pelajar Malaysia yang berada di bumi Tanta ini .

Sekian, Wassalam.

"Kemantapan Fikrah membina Syakhsiah"

Sulaiman Bin Ismail,
Pengerusi,
Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta
Sesi 2010/2011.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal