28 October 2010

ETP : Laksanakan Sistem Kewangan Islam Secara Menyeluruh Sudah Memadai - PMRAM

Sumber : PMRAM.org

Berikutan pengumuman yang disampaikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Najib Abdul Razak berkenaan Pelan Hala Tuju Program Transformasi Ekonomi (ETP) dalam membawa Malaysia lebih maju ke hadapan menampakkan pihak kerajaan optimis dalam menjadikan Malaysia negara maju pada masa hadapan.

ETP yang dirancang tersebut bakal menghasilkan Pendapatan Negara Kasar (PNK) tambahan sebanyak RM 426 billion serta membuka ruang pekerja yang lebih meluas yang dianggarkan sebanyak 3.3 juta peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor menjelang 2020.

Projek demi projek yang bakal dibangunkan berteraskan 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang dikenal pasti berpotensi menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia antaranya ialah minyak, gas dan tenaga, perkhidmatan kewangan, pelancongan pendidikan, penjagaan kesihatan dan bidang-bidang yang lain lagi.

Namun begitu melalui ETP dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah hub pusat hiburan malam dalam memacu pelancongan adalah perkara yang sama sekali tidak dipersetujui. Ini berikutan dasar hub hiburan malam tersebut pasti akan mengundang parah dari sudut gejala sosial yang kini kian parah.

Walaupun hub pusat hiburan malam tersebut dimaklumkan bahawa ia adalah sebahagian daripada 12 projek permulaan (EPP) yang bertujuan memperkasakan sektor pelancongan dalam menarik minat pelancong dengan lebih tinggi, namun ia jelas tidak bertepatan dengan konsep yang dikehendaki oleh Islam dalam memacu kemajuan sesebuah negara.

Berdasarkan kepada kriteria yang diletakkan bagi menjayakan Malaysia sebuah hub hiburan malam ia sangat membahayakan disebabkan terlalu longgar dan langsung tiada etika yang menurut syarak diletakkan.

Sehubungan itu, dirancang beberapa lokasi yang dalam penubuhan zon bagi menambahkan pusat-pusat hiburan malam dan dijangka akan ada sebanyak penambahan 10 kelab malam menjelang 2014 di zon hiburan yang dirancang iaitu di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menampung pengunjung memandangkan kelab-kelab malam yang sedia ada tidak mencukupi.

Merujuk kepada perkara tersebut, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) menyifatkan tindakan dalam menjadikan Malaysia sebuah hub hiburan malam dan memperbanyakkan kelab-kelab malam bagi memperluaskan hiburan sosial adalah suatu pentadbiran yang tidak cekap dan salah.

Ia berikutan apa yang dirancang tersebut bercanggah dengan syariat bahkan langsung tidak menepati Sistem Kewangan Islam dalam usaha memperbaik potensi pertumbuhan ekonomi negara. Lebih-lebih lagi perkara tersebut akan lebih memburukkan lagi masalah gejala sosial yang kian parah. Maka, pertumbuhan pusat-pusat hiburan yang melampau ini bagaikan menyimbah minyak ke api.

PMRAM menegaskan bahawa, walau apa jua bentuk projek kewangan yang dijalankan samada seperti sebelum ini Dasar Ekonomi Baru (DEB) serta Pelan Hala Tuju Program Tranformasi Ekonomi(ETP) mestilah berasaskan tapak Kewangan Islam yang menyeluruh.

PMRAM melihat bahawa asas bagi Sistem Kewangan Islam yang dijalankan di Malaysia perlu lagi dipertingkatkan secara menyeluruh, tidak hanya semata-mata 'ala-kadar'.

Dalam kondisi perbankan Islam, masih banyak lagi yang ruang yang mesti diterokai dan diperluaskan. Walaupun sudah semakin banyak bank yang menawarkan Sistem Kewangan Islam, namun ia masih tidak memadai ekoran Sistem Kewangan Konvensional masih lagi diguna secara meluas di Malaysia.

Lagi, mengenai kes rasuah yang memalukan apabila Malaysia berada di tangga ke-56 pada Indeks Persepsi Rasuah daripada 178 buah negara keseluruhannya, merujuk kepada kajian yang dijalankan oleh Transparency International (TI).

Justeru, sewajarnya dalam membawa ke arah negara yang maju membangun, usaha-usaha yang serius dalam membanteras kes rasuah itu yang mesti diutamakan sebagaimana juga kes-kes lain yang bercanggah dengan syariat seperti riba, judi, perniagaan haram dan sebagainya. Hal ini adalah kerana kes-kes dan permasalahan tadi selagimana tidak dibanteras maka selagi itulah kemelesetan dan krisis ekonomi akan berlaku.

PMRAM yakin bahawa sekiranya Sistem Kewangan Islam dijalankan secara menyeluruh dan serius, negara Malaysia mampu menjadi negara Islam yang maju dan menjadi contoh kepada negara-negara yang lain. Dengan erti kata lain, Malaysia sebuah hub yang mempamerkan keindahan Islam dalam segenap sudut.

Justeru, mengenai isu memperluaskan hiburan yang sangat melampau ini, PMRAM mengambil pendirian bahawa sama sekali tidak bersetuju atas alasan yang telah diterangkan sebelum ini dan PMRAM meminta agar pelaksanakan Sistem Kewangan Islam di Malaysia dilaksanakan secara menyeluruh di setiap bidang dan peringkat.

Bahkan penjelasan mengenai Sistem Kewangan Islam mesti diperhebatkan agar masyarakat majmuk yang umum mendapatkan informasi yang jelas mengenai Sistem Kewangan Islam ini dalam pemudah cara bagi melaksanakan Sistem Kewangan Islam oleh seluruh lapisan masyarakat.

Mohd Faizzudin Ghazali
Ketua Badan Penerangan Dan Penerbitan
PMRAM 2010

0 comments:

Post a Comment

Artikel Popular

Dairy

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal