12 October 2010

ARMA : Menanti Penerus Perjuangan 65 Sukarelawan Terdahulu


PMRAM.org

Antara sejarah kegemilangan PMRAM yang tercatat dan masih diperjuangkan ialah berkaitan perjuangan mahasiswa terdahulu hasil didikan PMRAM. Seramai 65 sukarelawan yang didaftarkan bagi membantu pihak kerajaan Mesir berperang dalam mempertahankan negara daripada dijajah pihak musuh.

Hal ini membuktikan bahawa intergriti mahasiswa terdahulu amat tinggi bahkan selain daripada 65 sukarelawan yang terbabit, mahasiswa yang lain memberikan sumbangan dalam konteks yang lain seperti menderma darah manakala mahasiswi pula mengerah tenaga dalam membantu menjahit pakaian tentera.

Sejarah emas yang tidak mungkin dilupakan bahkan mungkin antara sejarah kegemilangan dunia dalam kondisi sebuah persatuan mahasiswa tertua di dunia ini.

Namun kini, fakta sejarah dan hasil daripada jasa mahasiswa terdahulu kian dilupakan apabila terdapat beberapa pihak yang tidak beberapa selesa dengan kedudukan PMRAM sekarang. Pengubah serta penyelewangan fakta dalam masa yang sama beberapa tindakan dalam menjauhkan ahli-ahli PMRAM dengan ARMA rancak dijalankan sejak kian lama. Bahkan sejak zaman 90-an apabila beberapa tindakan secara drastik dilakukan seperti cadangan penubuhan persatuan yang lain untuk menafikan keberadaan PMRAM, penghalauan PMRAM atas alasan yang batil serta penafian PMRAM dalam hak keistimewaan ke atas anjung ARMA serta peranan 3 wakil Badan Pengurus PMRAM dalam mencorakkan apa jua dasar perlembagaan bagi ARMA.

Hasilnya, ahli PMRAM kini kian jauh dan semakin alpa mengenai hak mereka yang telah diperolehi hasil jasa mereka yang sanggup menggadaikan nyawa dalam peperangan 3 serangkai pada 1965. Bahkan Unit Panitia yang ditubuhkan khas oleh PMRAM pada 1932 pada ketika itu dalam mendapatkan sebuah penempatan bagi kebajikan mahasiswa Melayu juga dipinggarkan. Ia bagaikan sejarah yang hampir menjadi mitos khayalan apabila sensitiviti ke atas sejarah ini bagaikan air dicurahkan ke atas daun keladi. Tidak kesan yang wujud. Kosong.

PMRAM yang merupakan persatuan induk bahkan mungkin persatuan tertua di dunia masih lagi tidak mempunyai tempat operasi yang tetap malahan dinafikan hak dengan penyelewengan fakta, merupakan satu tragis hitam yang amat menyedihkan. Mana perginya aura perjuangan mahasiswa kini sebagaimana yang ditonjolkan 65 sukarelawan terdahulu. Berani kerana mempertahankan hak. Namun kini aura perjuangan penerus 65 sukarelawan terdahulu hampir lenyap bahkan mungkin sudah lenyap sama sekali. Roh mahasiswa yang sepatutnya ciri-ciri yang dipamerkan adalah belajar dan mencabar bagaikan kosong dan lesu.

Kini, pada tahun 2010, Unit Panitia ARMA begitu optimis dalam membangkitkan semula aura perjuangan dan roh tersebut dalam mengembalikan semula intergriti mahasiswa kini. Biar mahasiswa mampu menilai mana yang hak dan apa yang mesti diperjuangkan. Semoga dengan beberapa tindakan yang telah disusun dan dirancang mampu mengembalikan kegemilangan sejarah terdahulu.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal