30 October 2010

Bencana Tsunami & Gunung Merapi : PMRAM Menghulurkan Kerjasama Bantuan Bersama PPMI


Sumber : PMRAM.org

Bencana Tsunami & Gunung Merapi : PMRAM Menghulurkan Kerjasama Bantuan Bersama PPMI

29 Okt, KAHERAH - PMRAM hari ini menghulurkan jalinan kerjasama dengan Persatuan pelajar dan Mahasiswa Indonesia (PPMI) demi menyalurkan bantuan kepada Mahasiswa Indonesia yang berada di Mesir setelah kejadian Tsunami di Kepulauan Mentawai dan Gunung Merapi berlaku tempoh hari. Kunjung hormat dari Presiden PPMI Saudara Falahuddin Nurhalim tersebut telah berlansung di Pejabat PMRAM.

Dalam pertemuan tersebut, beliau selaku Presiden PPMI amat terharu dan berbangga dengan jalinan yang dihulurkan oleh PMRAM.

Semasa perbincangan tersebut, PMRAM yang diwakili sendiri oleh Presiden Saudara Shahrizan Mohd Hazime serta Timbalan Presiden Saudara Muhammad Zuhaili meminta gambaran sebenar kejadian yang telah berlaku.

Keadaan yang dimaklumkan agak teruk dengan kesukaran proses bantuan dan menyelamat disebabkan masalah cuaca buruk dan kekurangan fasiliti kemudahan perhubungan yang baik.

Sehingga kini, pihak PPMI masih menanti laporan lengkap mengenai penglibatan keluarga mahasiswa Indonesia di Mesir dalam kejadian terbabit.

Sumbangan yang dilancarkan nanti akan diberi kepada ahli keluarga mangsa yang berada di Mesir bagi meringankan bebanan yang dihadapi.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut, Naib Presiden III Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemanusiaan Saudara Mohd Farkhan Md Zain berkongsi pandangan mengenai isu ini.

Perkongsian maklumat dari kedua-dua pihak amat perlu dan penting untuk keselarasan penerangan.

Kesempatan tersebut juga, beliau sempat menunjukkan penerangan rasmi PMRAM bagi isu semasa umat Islam diseluruh dunia.Blog map2care.blogspot.com bertindak sebagai saluran maklumat mengenai isu semasa Islam di bawah seliaan Unit Kemanusiaan PMRAM.

Mengulas perkara ini, Naib Presiden III PMRAM menyatakan, peringkat PMRAM kita akan melancarkan tabung derma kilat khusus bagi mengumpul dana membantu ahli keluarga mangsa yang berada di Mesir.

Bantuan tersebut bagi meringankan bebanan yang ditanggung oleh keluarga mangsa di Indonesia yang dilaporkan kebanyakannya hilang tempat tinggal.

Di bawah seliaan Lajnah Kebajikan dan Kemanusiaan PMRAM, tabung terbabit akan dilancarkan di Pusat Sukan (Nadhi Riyadhi) bersempena hari ketiga Majlis Pembacaan Hadith Kutub Sittah anjuran PMRAM.

Terdahulu, PMRAM telah mengeluarkan kenyataan rasmi bagi melahirkan rasa simpati atas kejadian yang menimpa penduduk Indonesia di Yogyakarta dan Kepulauan Mentawai. Sebelum ini juga, PMRAM telah berjaya menghulurkan bantuan dana kewangan kepada mangsa bencana gempa bumi di Padang tahun lepas

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal