09 October 2010

Mahasiswa Dari Mesir Timba Ilmu Menghasilkan Komik Di PTS


sumber : PMRAM.org

Mahasiswa Universiti Al-Azhar, Mesir yang terdiri daripada ahli persatuan Al-Fityan di bawah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) mengadakan lawatan sambil belajar di PTS bagi menimba ilmu pengetahuan dalam menghasilkan komik.

Editor-editor Komik-M berbesar hati memberikan panduan kepada mahasiswa yang hadir berkaitan dengan proses penghasilan komik bagi diterbitkan.

Pengurus unit komik-M, Tuan Wan Zuhairi Wan Zainuddin (Wanzu), Editor Komik-M serta Tuan Alif Firdaus Azis berbesar hati menerangkan proses penghasilan komik daripada awal hingga siap dicetak.

Editor Kreatif Senior PTS Islamika, Tuan Nor Azlin Ngah(Jonos) juga memberikan sepintas lalu senario dan realiti komik di Malaysia bagi mendedahkan mahasiswa yang hadir kepada realiti dunia komik yang sebenarnya.

Selain menerangkan mengenai penghasilan komik, mahasiswa yang hadir juga berpeluang mengetahui sejarah penubuhan PTS sejak dari awal penubuhannya.

Al-Fityan merupakan salah satu unit di bawah Unit Penerangan dan Penerbitan PMRAM. Al-Fityan juga menghasilkan komik hasil usaha mahasiswa sendiri.

Sehingga kini Al-Fityan menghasilkan 3 buah komik dalam setahun yang diedarkan kepada pelajar-pelajar Melayu yang menuntut di Institusi di Mesir.

"Bengkel dan latihan juga sentiasa diadakan dengan tujuan melatih mahasiswa bagi menghasilkan komik Al-Fityan," jelas Penasihat Al-Fityan Puan Fadlina Yusoff.

15 mahasiswa yang hadir diberi pendedahan yang khusus bagi menghasilkan komik dengan lebih baik selain mendapat maklumat cara menghasilkan karya bersama PTS.

"Kami mengadakan lawatan sambil belajar di PTS bagi melihat sendiri gerak kerja PTS dan menjadi landasan kepada Al-fityan bagi memperbaiki gerak kerja kami selepas ini," jelas Puan Fadlina Yusoff lanjut.

Melalui lawatan ini dapat mendedahkan mahasiswa yang hadir cara menerbitkan sesebuah karya agar menjadi pengalaman kepada mereka apabila kembali ke Mesir kelak.

Sumber : Portal PTS

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal