28 October 2010

ETP : Ekonomi Tidak Hanya Wang Semata-Mata, Fokus Usaha Membasmi Kemiskinan


Sumber : PMRAM.org

KAHERAH, 27 Oktober - Ketua Badan Ekonomi PMRAM, Saudara Al-Hidayat Khalid mengulas berkaitan Program Tranformasi Ekonomi (ETP) yang bakal membuka ruang hiburan sosial dan kelab malam yang lebih banyak bagi meningkatkan tarikan terhadap pelancong luar negara adalah suatu perancangan yang tidak tepat.

Dalam memacu masa depan negara ke arah yang lebih maju dan moden, nilai etika akhlak tidak boleh dipisahkan daripada ekonomi atas alasan kemajuan semata-mata. Bahkan sektor ekonomi amat menekankan mengenai etika sosial dan akhlak dalam membangunkan modal insan serta kemajuan negara.

"Sebab itu kita lihat bagaimana sejarah kaum nabi-nabi terdahulu yang maju dari sudut ekonomi dan pembangunan namun dimusnahkan oleh Allah SWT disebabkan keruntuhan akhlak mereka yang sangat parah," ujar beliau ketika ditemui dalam Program Kutub Sittah Siri II di Nadi Riadhi, Hayyu Sabik.

Mengenai dengan rancangan menjadikan Malaysia sebuah hub hiburan dengan memperbanyakkan kelab-kelab malam, beliau menyatakan bahawa ia merupakan perancangan yang tidak sepatutnya dilakukan demi meraih keuntungan wang semata-mata.

Bahkan sekiranya perancangan tersebut dilaksanakan ia akan memberikan impak negatif yang sangat besar ke atas masyarakat, dengan keruntuhan akhlak yang semakin parah.

Selain itu, Timbalan Presiden PMRAM, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman menyifatkan bahawa ETP yang sepatutnya ingin dijalankan mestilah melihat kepada bentuk perancangan yang sentiasa berusaha untuk membasmi kemiskinan secara serius, selain memperbanyakkan projek-projek pelaburan.

"Kita risau, apabila kita hanya menumpukan satu skop sahaja iaitu hanya menarik pelaburan luar tanpa memperkasakan perancangan dalam membasmi kemiskinan di negara kita maka ia semestinya suatu perkara yang tidak seimbang, bahkan negara tetap tidak menjadi negara yang maju dan moden. Bimbang sekiranya ia tetap berlaku, hanya mereka golongan yang kaya akan bertambah kaya, namun secara tidak langsung akan menindas golongan yang sedia ada miskin dan kurang kemampuan," Jelas beliau lagi apabila merujuk kepada 75% golongan termiskin adalah daripada kalangan keluarga melayu dan peribumi, yang merupakan golongan majoriti di Malaysia.

Sambung beliau lagi bahawa selagimana golongan majoriti yang menjadi golongan termiskin di Malaysia, maka bagaimana perancangan yang dijalankan mampu memaju ekonomi negara dalam menjadikan Malaysia negara yang maju menjelang tahun 2020.

Tambahan beliau lagi, perancangan ekonomi yang dilakukan itu terlalu mengharapkan pelaburan dari sektor swasta semata apabila peratusan yang besar diletakkan iaitu sebanyak 92% daripada jumlah pelaburan yang diperlukan oleh Malaysia iaitu sebanyak 2.2 trilion.

Maka, ia merupakan perancangan kewangan yang rapuh memandangkan selama 12 tahun ini Malaysia begitu bergantung kepada "pump priming" dan pertumbuhan swasta adalah begitu kecil.

Justeru, perancangan ekonomi yang dilakukan dalam membawa Malaysia ke kelompok negara yang maju mestilah memastikan ia tidak hanya fokus wang semata-mata, bahkan etika akhlah dan sosial mesti diambil kira.

Selain itu, pastikan gerak kerja yang dijalankan fokus ke arah membasmi kemiskinan, bagi menjamin bukan hanya sebelah pihak sahaja yang akan merasai kemewahan.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal