24 October 2010

Isu Pegawai JPMK : Kenyataan Rasmi Presiden PMRAM


Sejak kebelakangan ini, banyak isu-isu yang melibatkan penindasan mahasiswa Islam di Mesir berlaku. Bermula daripada isu Kutub Sittah pada tahun 2009 sehinggalah sekarang ini, ia berlaku bagaikan dirancang. Namun PMRAM meminta agar ahli bertenang serta bertindak mengikut arahan pimpinan.

PMRAM dengan ini melahirkan rasa kesal dan kecewa di atas tindakan pihak-pihak berwajib yang melanggar polisi dan etika sebagai seorang penjawat awam. Bagi PMRAM, tindakan Pengarah JPMK Prof. Madya Dr. Jamil bin Hasyim yang menandatangai surat sokongan bagi penubuhan 'Academy Center' di Tanta merupakan tindakan yang tidak profesional.

Di dalam surat tersebut terdapat beberapa kesalahan mengikut format rasmi surat kerajaan. Bahkan beliau juga menafikan peranan Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta (DPMT) yang selama ini menjaga keselamatan mahasiswa-mahasiswi Islam di sana. PMRAM menyifatkan kata-kata ini sebagai tuduhan yang tidak mempunyai asas yang kukuh.

Di sini saya ingin menegaskan bahawa walaupun DPMT mampunyai autoriti untuk menyelesaikan isu-isu yang melibatkan pihak keselamatan Mesir, PMRAM tidak pernah sesekali membelakangi peranan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) dalam isu-isu keselamatan mahupun menafikan kewujudannya.

Beralih kepada isu yang berlaku di Mansurah pada 16 Oktober lalu. PMRAM sekali lagi melahirkan rasa kesal dan kecewa terhadap salah seorang pegawai JPMK yang menyalahgunakan kuasa. PMRAM menyifatkan tindakan yang dilakukan oleh Pegawai Atase Akademik En. Khairi bin Jalaluddin juga sebagai tindakan yang tidak profesional.

Sebagai penjawat awam beliau tidak sepatutnya mengambil kesempatan ketika taklimat biasiswa tersebut untuk mengedarkan borang Kelab Umno. Tindakan tersebut seolah-olah mengajak mahasiswa untuk terlibat dengan parti politik.

PMRAM mengambil pendekatan diplomasi dalam menghadapi isu ini dan cuba mengelakkan tindakan provokasi. Walaupun tindakan tidak profesional ini dilakukan oleh beberapa orang pegawai JPMK, PMRAM dengan ini menegaskan bahawa hubungan rasmi tetap akan diteruskan demi menjaga kesatuan dan kebajikan di kalangan mahasiswa-mahasiswi Islam di Mesir.

PMRAM mengharapkan agar pihak JPMK lebih profesional dalam melaksanakan tugasnya demi menjaga nama baik negara Malaysia. PMRAM juga mengharapkan agar semua ahli sentiasa berdoa semoga persatuan induk ini terus mendapat bimbingan daripada Allah SWT dalam setiap tindakan yang dilakukan serta dilindungi daripada halangan dan ancaman.

Akhirnya saya mewakili PMRAM mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan dan dukungan ahli dalam menghadapi isu-isu yang melibatkan mahasiswa Islam ini.

Sekian.

KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH

Shahrizan bin Mohd Hazime,
Presiden,
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010.

0 comments:

Post a Comment

Artikel Popular

Dairy

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal