26 September 2009

Bolehkah Khinzir Dimakan Sekiranya Kumannya Sudah Dibuang?


Daging khinzir telah diharamkan oleh Allah SWT di dalam al Quran. Bahkan terdapat juga perkara-perkara haram yang turut dijelaskan oleh Allah SWT. Seseorang pernah bertanya, adakah daging khinzir boleh dimakan sekiranya kumannya berjaya dibuang? Untuk menjelaskan perkara ini, kita perlu memahami tentang “sebab” pengharaman khinzir.

Adakah pengharaman khinzir ialah disebabkan kumannya? Maka, jawapannya ialah “tidak”. Ini kerana khinzir diharamkan kerana ia adalah perintah Allah SWT. Bukan di”sebab”kan kumannya. Ini kerana, sekiranya khinzir diharamkan disebabkan kumannya, maka ia akan bertukar menjadi halal sekiranya kuman tersebut berjaya dibuang.

Tetapi, hakikatnya pengharaman tersebut adalah kerana perintah Allah SWT yang melarang manusia daripada memakannya. Ini kerana terdapat perbezaan di antara “hikmah” dan “sebab”. Sebab pengharaman khinzir sepertimana yang telah dijelaskan. Manakala “hikmah” pengharaman khinzir ialah kerana kumannya.

Maka, hikmah daripada penghindaran daripada memakan daging khinzir menyebabkan kita terhindar daripada kumannya. Tetapi, sekiranya kuman tersebut sudah dihapuskan, ia tetap haram, disebabkan perintah daripada Allah SWT di dalam al Quran, dan hadis.

Ia berbeza dengan arak. Arak diharamkan kerana di”sebab”kan ia memabukkan. Arak berasal daripada buah anggur dan hukum asal buah anggur adalah halal. Tetapi, sekiranya ia menyebabkan mabuk, seperti arak contohnya, maka hukumnya adalah haram. “Anggur” menjadi haram sekiranya ia memabukkan sepertimana yang dibuat pada arak.

Tetapi, khinzir diharamkan disebabkan perintah daripada Allah SWT. Bukan disebabkan kumannya. Kesimpulannya, terdapat perbezaan di antara “hikmah” dan “sebab”. Hukum boleh bertukar sekiranya “sebab”nya berubah. Tetapi sekiranya “hikmah” tersebut berubah, hukum tetap tidak akan berubah.

MUHAMMAD MUJAHID BIN MOHAMMAD FADZIL
UNIVERSITI AL AZHAR

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal