14 September 2009

Manusia Masih Tidak Nampak Nikmat Di Depan Mata


Manusia dilahirkan ke dunia dalam keadaan lemah, tidak bermaya dan boleh mati dengan mudah sekiranya dibiarkan. Kita selalu mendengar kes buang bayi, dan bayi yang dibuang itu, tidak mampu untuk menyelamatkan dirinya langsung. Ini kerana bayi tersebut, tidak mampu berjalan, mencari makanan dan memakai pakaian. Bayi tersebut memang tidak pandai berdikari.

Oleh itu, Allah SWT telah mencampakkan perasaan kasih sayang kepada si ibu untuk memelihara dan menjaga bayi tersebut sehinggalah ia besar dan mampu untuk memakai pakaian sendiri. Ketika kecil, bayi tersebut dipakaikan baju, hatta air besar pun dibersihkan oleh ibunya. Tetapi setelah besar, ia mampu untuk melakukan segala-galanya.

Walaupun begitu, masih ramai lagi anak muda yang lupa dengan kasih sayang ibunya selama ini. Daripada tidak mampu untuk bercakap, menjadi seorang yang memarahi ibunya. Daripada seorang yang makanannya hanya disuap, menjadi seorang yang membiarkan ibunya kelaparan. Daripada seorang yang dipakaikan bajunya, menjadi seorang yang membiarkan ibunya berpakaian buruk.

Itulah manusia yang begitu mudah terlupa. Sekiranya jasa ibu mereka pun begitu mudah dilupai, apatah lagi rahmat kasih sayang Allah yang jauh lebih besar dari itu? Memang pelik, manusia yang sudah begitu besar mendapat nikmat dan rahmat daripada Allah, masih boleh melupainya. Apatah lagi kasih sayang ibunya?

Manusia memang buta. Setiap anggota tubuhnya adalah kurniaan Allah, tetapi mereka masih tak nampak nikmat tersebut. Mereka bernafas setiap waktu dan ketika dengan rahmat yang Allah berikan, tetapi hidung mereka masih menghidu keaiban orang lain! Mereka diberikan lidah untuk bertutur, tetapi lidah mereka itu masih terus mencaci undang-undang Allah.

Mereka diberikan mata untuk melihat kebesaran Allah, tetapi mereka masih mencari ayat al Quran untuk ditafsirkan mengikut hawa nafsu mereka. Mereka diberikan akal untuk berfikir tentang kebesaran Allah ini, tetapi mereka menggunakannya untuk mengatur perancangan jahat untuk memadamkan kebenaran dari Allah!

Inilah manusia yang buta. Mereka buta di dunia, dan mereka akan meraba-raba di akhirat kelak. Nikmat Allah yang begitu besar ini masih tidak kelihatan di mata mereka. Ini kerana kemewahan dunia telah menjadikan mereka buta. Bahkan mereka mengaku bahawa mereka pembawa kebenaran sedangkan mereka itu buta. Bolehkah orang yang buta menjadi penunjuk jalan?

Mereka telah diberi peluang untuk mengubati penyakit buta mereka itu, iaitu dengan kembali bertaubat. Tetapi, mereka lebih suka terus hidup dalam keadaan buta daripada bertaubat. Mereka sengaja berbuat demikian kerana kesombongan mereka mengatasi segalanya. Sudahlah buta, sombong pula. Inilah hakikat manusia yang buta hatinya.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal