19 January 2010

Imam Mazhab (Siri 1) - Imam Hanafi RA

Nama sebenar beliau ialah an Nu’man bin Thabit bin Thowus bin Hurmuz az Zuwato, al Kufi berbangsa Parsi. Beliau lahir pada 80 Hijrah, dan hidup ketika zaman Khalifah Umawiyah dan Abbasiah, bersama-sama Imam Malik RA. Beliau adalah tabi’ tabi’in, dan ada yang mengatakan bahawa beliau adalah tabi’in.

Beliau dikatakan pernah menemui hampir 20 orang sahabat, dan meriwayatkan hadis daripada 9 orang dari kalangan mereka. Beliau merupakan ulama Iraq, yang merupakan seorang peniaga kain di Kufah.

Satu ketika, beliau pernah bermimpi seolah-olah sedang menggali maqam Nabi Muhammad SAW. Lalu beliau menuju ke Basrah untuk bertanya kepada Muhammad bin Sirin, seorang ulama penafsir mimpi. Lalu beliau menerangkan maksud mimpi tersebut :

هَذَا رَجُلٌ يَنْبِشُ أَخْبَارَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Pemuda ini (Imam Abu Hanifah) sedang menggali kisah-kisah Nabi Muhammad SAW

Imam Hanafi pernah berkata :

Aku pernah bermusafir ke Basrah, lalu aku menyangka bahawa tiada soalan yang tidak mampu untuk aku menjawabnya. Lalu, mereka bertanya beberapa perkara yang tiada jawapannya padaku. Lalu, aku mewajibkan untuk diriku untuk bersama Hammad sehinggalah kewafatannya. Maka, aku bersamanya selama 18 tahun.

Hammad bin Sulaiman adalah anak murid kepada Ibrahim an Nakha’ie dalam bidang fiqh dan hadis. Jarir meriwayatkan daripada Mughirah :

فَإِنَّ إِبْرَاهِيمَ لَوْ كَانَ حَيًّا ، لَجَالِسُهُ

Sekiranya Ibrahim an Nakha’ie masih hidup, sudah pasti beliau akan menuntut ilmu darinya (Imam Abu Hanifah)

Asad bin Amru berkata :

أَنَّ أَبَا حَنِيْفَةَ صَلَّى العِشَاءَ وَالصُّبْحَ بِوُضُوءٍ أَرْبَعِيْنَ سَنَةً

Sesungguhnya Abu Hanifah mengerjakan Solat Isya dan Subuh dengan menggunakan wudhu’ yang sama, selama 40 tahun

Abu Ishaq as Samarqandi meriwayatkan daripada Qadhi Abu Yusuf al Kufi:

كَانَ أَبُو حَنِيْفَة يَخْتِمُ القُرْآنَ كُلَّ لَيْلَةٍ فِي رَكْعَةٍ

Imam Abu Hanifah mengkhatamkan al Quran setiap malam, dalam satu rakaat.

Selain itu, diriwayatkan juga bahawa beliau pernah mengkhatamkan al Quran sebanyak 7000 kali di tempatnya meninggal dunia, dan melakukannya sehingga waktu sahur.

Imam Syafie RA berkata :

النَّاسُ فِي الفِقْهِ عَيَالٌ عَلَى أَبِي حَنِيْفَةِ

Manusia dalam bidang fiqh, miskin (memerlukan) pandangan Imam Abu Hanifah

Beliau wafat di dalam penjara kerana menegakkan kebenaran, pada 150 Hijrah di Iraq.
Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Kuliah Usuluddin, Akidah dan Falsafah
Universiti Al Azhar

1 comments:

KAMALHASHIM on May 11, 2013 at 6:19 AM said...

ASSALAMMUA'LAIKUM BUAT TUAN FADZIL YANG DIKASIHI.

1)BOLEH TUAN BERIKAN PANDANGAN TENTANG KELEMAHAN
UMAT ISLAM AKHIR ZAMAN INI.

2)BAGAIMANA UNTUK MENGUKUHKAN ROHANI YANG MENJADI
INTIPATI UTAMA KEPADA KEKUATAN ISLAM.

3)BAGAIMANA UNTUK MENGENAL ALLAH SWT DENGAN
SEBENAR-BENARNYA.



Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal