Oleh : Abezuh (link)
Antara fiqhul khamsah yang penting juga ialah elemen fiqh taghyir iaitu pemahaman bagi penguasaan terhadap situasi yang berubah. Senang diertikan sebagai pemahaman dalam menguasai situasi bagi up to date. Fiqh taghyir menjamin seorang pemikir di dalam rancangan sentiasa segar dan menepati situasi semasa di dalam mendatangkan maslahat dan menjauhi mudharat.
Sebelum ini fiqh waqi memastikan seseorang pemikir atau perancangan mengambil kira situasi sekarang yang berlaku. Namun tanpa Fiqh taghyir akan menyebabkan seorang pemikir terkontang-kanting di dalam menilai perubahan semasa yang berlaku. Pertimbangan, penyusunan dan pemahaman situasi semasa adalah bergantung ke atas penguasaan seseorang pemikir di dalam mengkaji aspek-aspek perubahan yang berlaku iaitu penguasaan ke atas Fiqh taghyir.
Mengapa situasi sekarang begini dan apakah aspek penting perubahan yang berlaku daripada sebelum ini mesti diambil kira bagi menentukan maslahat dan mudharat. Justeru, perubahan zaman, tempat, individu, dan masyarakat memainkan peranan yang penting bagi menentukan sesuatu perancangan dilakukan. Maka, pemikir mesti mengkaji adakah sesuatu maslahat ketika dahulu yang dikatakan umum juga adalah masih berbentuk umum dengan situasi sekarang berdasarkan penilaian perubahan yang berlaku.
Fiqh taghyir menekankan beberapa unsur yang penting iaitu :
- menjaga dharuriyat khamsah.
iaitu berdasarkan maratib maslahat, yang tidak berubah adalah dharuriyat khamsah iaitu penjagaan ke atas agama, nyawa, harta, jiwa dan maruah. Walau apa pun perubahan yang berlaku, penjagaan ke atas lima perkara ini adalah paling penting dan tidak boleh dinafikan dengan alasan perubahan semasa.
- berdasarkan kaedah : Akhaf dhararain - melaksanakan mudharat yang paling kecil.
perubahan yang berlaku menyebabkan susunan maslahat dan mudharat akan turut berubah. Namun kaedah awal yang mesti digariskan ialah menolak secara total mudharat yang berlaku. Sekiranya tidak mungkin, pastikan hanya mudharat yang kecil sahaja dan sentiasa berusaha menolak mudharat secara total.
- menjaga ketetapan tadarruj : berperingkat
Situasi yang berubah memberikan ruangan yang berperingkat dan beransur-ansur. Ini perlu difahami dengan jelas bahawa berperingkat adalah faktor utama di dalam perubahan yang berlaku dan peringkatan tersebut adalah bagi membawa maslahat secara total dan mengetepikan mudharat. Justeru, tidak dinamakan berperingkat sekiranya perubahan yang berlaku langsung tidak ada pembinaan kekuatan bagi mendatangkan kemaslahatan di masa hadapan dan menjaga maslahat di masa sekarang.
Seorang pemikir atau pemimpin yang hebat akan menetapkan sesuatu keputusan yang up to date berdasarkan perubahan sekitar yang berlaku. Kehebatan ini tidak mungkin dapat diserlahkan tanpa penguasaan ke atas Fiqh taghyir ini. Justeru, apa yang perlu difahami ialah up to date bukanlah diukur dengan gempak atau dahsyatnya secara zahir namun up to date ialah keputusan atau perancangan yang dilakukan tepat dan sesuai dengan situasi pada masa tersebut. Bahkan tidak salah keputusan yang dilakukan kadang kala menggunakan keputusan yang lama kerana ia bergantung kepada situasi yang berlaku.
Justeru, situasi yang beralasankan menjaga maslahat perlu mengambil kira 3 unsur tadi di samping penguasaan ke atas kesemua fiqhul khamsah.
Ramai yang terkeliru di dalam mengatakan menjaga maslahat sedangkan perkara tersebut bukanlah sebagaimana yang didakwa. Antara contoh situasi yang seringkali saya ucapkan ialah kebimbangan dan kebaculan seseorang dengan alasan akan disekat kewangan dan dihalau tempat kediaman sehinggakan tiada suara atau tindakan di dalam mempertahankan maruah. Situasi begini tidak boleh dijadikan hujah kerana telah saya katakan tidak ada lagi satu rekod bahawa mereka yang berjuang di jalan Allah yang mati kebuluran disekat kewangan dan dihalau daripada tempat kediaman. Bahkan maruah dan hak adalah kewajipan yang mesti dipertahankan.
Lihat bagaimana peristiwa Baitul Riduan yang menyaksikan ketika itu rasulullah SAW bersama rombongan mahu ke Mekah dan diutuskan Saidina Uthman sebagai wakil bagi membincangkan perkara tersebut bersama pembesar Mekah. Lalu disebarkan berita palu bahawa Saidina Uthman dibunuh. Lantas rasulullah SAW menyuruh kaum muslimin bangkit untuk berperang. Hal ini demikian kerana berita palsu tersebut menandakan wakil utusan yang dibunuh bagi sesuatu kaum adalah hak kaum tersebut telah dicabuli. Sedangkan wakil bagi setiap utusan adalah dijaga hak keselamatannya.
Penekanan terhadap fikrah yang jelas yang dibawa oleh PMRAM adalah sangat tepat dan up to date berdasarkan situasi semasa. Peristiwa demi peristiwa yang berlaku mencerminkan fikrah mahasiswa Islam semakin celaru dan kabur. Sebelum ini telah saya nyatakan beberapa situasi yang mempersoalkan keberanian mahasiswa, dan ternyata menunjukkan suara mahasiswa Islam masih tidak ada.
Apa yang penting dalam situasi perubahan secara berperingkat mestilah menjaga dua perkara utama iaitu :
- menjaga maslahat umum semasa
- membina kekuatan bagi mendatangkan maslahat di masa hadapan
Sekiranya salah satu daripada 2 perkara tersebut tiada maka tidak ada alasan bahawa itu adalah tadarruj dan maslahat semasa yang perlu dijaga. Sebab itu alasan lapuk membuang logo yang menjadi imej jati diri semata-mata untuk meraih material adalah tidak betul kerana apa rancangan membina kekuatan di dalam mendatangkan maslahat di masa hadapan?
Justeru, penguasaan Fiqh taghyir adalah sangat penting di dalam kita memahami sirah baginda SAW di dalam setiap strategi baginda SAW. Mengapa baginda membuang kalimah rasulullah di dalam surat yang dihantar? mengapa baginda tidak mengenakan hudud qazaf ke atas Abdullah bin Ubai bin Salul? mengapa baginda membakar masjid dhirar? dan banyak lagi perancangan yang jika tidak menguasai Fiqh taghyir dengan baik akan menyebabkan kita melakukan rancangan yang salah dengan 1001 alasan.
Hasilnya, fiqh taghyir mempunyai kaitan rapat dengan fiqh waqi' kerana menilai situasi semasa adalah berdasarkan perubahan yang berlaku. Maka benarlah kalam hikmah mengatakan : sesiapa yang tidak menguasai sejarah maka tidak akan mencipta sejarah. Justeru penggabungan idea pejuang senior dan pejuang junior adalah sangat penting di dalam mencetuskan keputusan yang terbaik.
P/S : saranan saya ialah Mahasiswa Islam mesti membaca/ berdiskusi / berbincang akan buku karangan Dr Yusof Al-Qardhawi yang bertajuk Siasah Syar'iyah. Kalau nak mintak Penasihat PMRAM, Ust Khairul Anuar atau Presiden PMRAM, Saudara Shahrizan atau Naib Pres 1, BP Adlan diskusikan pun lagi bagus. Kerana mereka memang pakar. :)
0 comments:
Post a Comment