07 December 2009

“Hukum Asal” Perkahwinan

1. Pandangan Pertama : Wajib

Di dalam kitab al Muhalla, karangan Ibnu Hazam, dan kitab al Bada’ie karangan al Kasani menyatakan bahawa Mazhab Az Zohiriah mengatakan bahawa hukum asal perkahwinan itu ialah wajib. Ini adalah berdasarkan dalil
a. Surah an Nisa : 3
b. Surah an Nur : 32
c. Hadis Ya Ma’syara as Syabab..

Mazhab ini berpendapat bahawa ketiga-tiga dalil ini jelas menunjukkan perintah untuk berkahwin itu adalah wajib. Selain itu, mazhab ini menggunakan kaedah,

Menghindarkan diri daripada zina hukumnya wajib,
Dan tiada cara untuk menghindarkannya melainkan dengan perkahwinan,
Maka, sesuatu yang merupakan satu-satunya cara penghindaran tersebut adalah wajib,
Maka, perkahwinan itu adalah wajib.


2. Pandangan Kedua : Harus

Di dalam kitab al Muhazzab Syarah Majmu’, mengatakan bahawa Mazhab Syafie meletakkan hukum asal perkahwinan ialah harus.

Di dalam kitab al Bada’ie karangan al Kasani juga menaqalkan bahawa Imam Syafie berkata bahawa hukum asal perkahwinan itu ialah harus seperti hukum jual beli.

Ditambah lagi di dalam kitab Muhazzab dan Nihayatul Muhtaj, bahawa Mazhab Syafie mengatakan bahawa mendirikan ibadah sunat lebih baik daripada berkahwin, bagi mereka yang merasa selamat daripada terjerumus ke lembah penzinaan.

Dalil bagi mazhab ini seperti berikut

a. Surah an Nisa : 24 (Makna “dihalalkan” merujuk kepada sesuatu hukum yang diharuskan.
b. Perkahwinan ialah salah satu cara untuk melepaskan nafsu syahwat. Maka hukumnya harus seperti jual beli yang merupakan salah satu cara untuk mencari rezeki.
c. Melepaskan nafsu syahwat ialah memberikan manfaat kepada diri sendiri. Dan tidak pula diwajibkan untuk memberi manfaat kepada diri sendiri seperti makan dan minum. Maka, hukum asalnya ialah harus.
d. Surah Ali Imran : 39. Persoalan daripada ayat ini, sekiranya perkahwinan itu satu kewajipan, kenapakah mereka yang tidak berkahwin dipuji di dalam ayat ini?
e. Di kalangan sahabat Baginda SAW, ada yang tidak berkahwin, dan Baginda SAW tidak pula mencela mereka terhadap kebujangan mereka.
f. Dan lain-lain


3. Pandangan Ketiga : Sunat Yang Digalakkan

Disebut oleh Dr Abdul Karim Zaidan di dalam Kitab al Mufassal Fi Ahkamil Mar’ah Wa Baitil Muslim, bahawa pandangan ini adalah pandangan Jumhur Ulama.

Di dalam kitab ad Durrul Mukhtar Wa Raddul Mukhtar, Fiqh Mazhab Hanafi, menyebut bahawa perkahwinan ialah sunat yang digalakkan mengikut pandangan yang paling shahih, iaitu ketika dalam keadaan stabil (mampu untuk berjimak, memberi nafkah dan membayar mahar)

Imam ad Dardir juga menyatakan perkara yang sama sepertimana yang disebut di dalam kitab asy Syarhu as Saghir dan asy Syarhul Kabir. Begitu juga di dalam Hasyiah ad Dasuki. Di dalam kitab al Mabsut, menyatakan bahawa ini adalah pandangan Jumhur Ulama.

Di dalam kitab al Mughni karangan Ibnu Qudamah, menyatakan bahawa perkahwinan itu lebih utama untuk diutamakan berbanding memberi tumpuan untuk mendirikan ibadah sunat.

Syeikh Muhsin al Hakim, menyebut di dalam kitab Mustamsikul Urwah al Wuthqo, bahawa ijma’ mengatakan sunat bagi hukum asal perkahwinan.

Dalil pandangan ini ialah :

a. Perkahwinan itu disuruh oleh Allah SWT dan Rasul SAW. Maka, hukum yang paling rendah bagi suruhan ini ialah sunat atau galakan untuk melakukannya.
b. Nabi SAW pernah menolak mereka yang ingin membujang dengan berkata, “sesiapa yang melampau dari sunnahku, maka dia bukan dari kalangan umatku”. Shahih Bukhari.
c. Nabi SAW pernah menolak keinginan Uthman bin Maz’un yang bercadang untuk tidak berkahwin. Hadis ini disebut oleh Imam at Tirmizi.
d. Nabi SAW dan para sahabat berkahwin. Maka, apa yang mereka lakukan itu sudah pasti yang terbaik. Dan mereka tidak akan meninggalkan yang terbaik, semata-mata untuk melakukan amalan biasa.
e. Dan sebagainya


4. Pandangan Yang Terpilih

Pandangan yang terpilih adalah pandangan yang ketiga, iaitu pandangan Jumhur Ulama. Demikianlah sepertimana yang disebutkan oleh Dr Abdul Karim Zaidan di dalam kitabnya.


Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Usuluddin, Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

2 comments:

Unknown on December 31, 2016 at 7:47 AM said...

kenapa tak disebutkan hukum haram perkahwinan?
kebanyakan umat akhir zaman berkahwin atas dasar hukum haram..

Unknown on August 20, 2021 at 7:03 PM said...

Lain kali baca betul².. Tajuknya "HUKUM ASAL" PERKAHWINAN. Faham??? Tidak ada ulama mengatakan Asal² hukum perkahwinan itu HARAM! Tak faham lagi????

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal