27 December 2009

Antara Mukjizat Dan Sihir

Sepertimana yang telah diterangkan dalam post sebelum ini, mukjizat ialah satu perkara yang mustahil dari segi adat kebiasaan, tetapi harus dari segi akal. Maka, di sana, terdapat 6 perkara yang dikatakan sebagai kemampuan yang bercanggah dengan adat kebiasaan. Iaitu :

Pertama : Mukjizat

Mukjizat adalah sepertimana yang telah dijelaskan di dalam bab ini. Bahawa ia adalah salah satu bentuk yang bercanggah dengan adat. Mana mungkin manusia biasa dapat bertutur dengan pohon kurma sepertimana yang dikurniakan kepada Baginda SAW. Begitu juga, mukjizat membelah bulan dan sebagainya.

Kedua : Irhas

Irhas ialah kemampuan yang bercanggah dengan adat, yang dikurniakan kepada nabi sebelum kenabian. Ia berbeza dengan mukjizat yang dikurniakan selepas kenabian. Contoh irhas ialah ketika keluar berniaga barang Saidatina Khadijah RA, awan telah mengiringi perjalannya, untuk memberi teduh kepadanya. Ia terjadi sebelum kenabian, dan tidak bertujuan untuk berhadapan dengan tentangan sepertimana mukjizat.

Ketiga : Keramat

Karamah pula ialah kemampuan yang bercanggah dengan adat, yang dikurniakan kepada wali-wali Allah SWT atau orang-orang soleh yang dipilih olehNya. Berbeza dengan mukjizat yang hanya dikurniakan kepada nabi. Contoh karamah ialah Ashabul Kahfi yang masih hidup walaupun tidak makan dan minum selama 309 tahun. Ia akan dijelaskan di dalam bab “Karamah”, insya Allah.

Keempat : Ma’unah

Ma’unah ialah bentuk pertolongan Allah yang bercanggah dengan adat, yang dikurniakan kepada manusia biasa. Contoh ma’unah ialah seseorang yang terselamat daripada kemalangan yang sangat tragis. Walaupun pada ukuran manusia, sepatutnya dia telah mati, tetapi dia telah diselamatkan oleh Allah. Ia juga tidak boleh berulang kali sepertimana karamah dan mukjizat. Mungkin kemalangan biasa yang dialaminya selepas ini membuatkan kematiannya.

Kelima : Sihir

Sihir adalah satu kemampuan atau kelakuan yang bercanggah dengan adat, yang diberikan kepada mereka yang jahat. Contoh sihir ialah, menghantar penyakit kepada orang lain, dan penyakit misteri tersebut tidak dapat dikesan oleh doktor hospital. Dari segi adat, mana mungkin seseorang itu boleh menyakitkan orang lain dari jarak jauh, tetapi dengan sihir, mereka dapat melakukannya.

Contoh yang lain ialah Dajal Laknatullah, yang diberi kemampuan untuk menyihir manusia, bahkan beliau mengaku sebagai tuhan sedangkan tulisan “KAFIR” di dahinya tidak dapat dipadamkan. Demikian juga tukang sihir yang terdapat di zaman Nabi Musa AS. Mereka dapat mencipta ular-ular kecil, sedangkan ia adalah jelmaan syaitan semata-mata

Keenam : Ihanah

Ihanah ialah kemampuan yang bercanggah dengan adat, tetapi bertujuan menafikan kenabian seseorang yang menipu sebagai seorang nabi. Contohnya Musailamah al Kazzab yang mengaku sebagai seorang nabi. Beliau mengatakan bahawa beliau mempunyai mukjizat memulihkan mata yang sakit.

Tetapi apabila beliau cuba memulihkannya, mangsa tersebut mengalami padah yang lebih teruk. Pada mulanya hanya sakit sebelah mata sahaja, dan sebelah lagi sihat. Tetapi apabila diubati oleh beliau, matanya yang sihat pula yang menjadi buta, dan mata yang sakit tersebut gagal diubati. Ia bertujuan menafikan kenabian palsunya.

0 comments:

Post a Comment

Artikel Popular

Dairy

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal