25 September 2009

Kokka Tiada Kuasa, Tetapi Ada Khasiat


Persoalan yang sudah agak basi untuk dijelaskan di sini ialah berkenaan penggunaan Kokka yang dikatakan mempunyai khasiat-khasiat tertentu. Apakah hukum menggunakannya? Kerana mungkin ada yang mengatakannya sebagai salah satu perbuatan yang syirik. Atau adakah ia benar-benar mujarab?

Persoalan ini boleh dirungkaikan dengan mudah sekiranya kita memahami apa itu perbezaan di antara “kuasa” dan “khasiat”. Dua hakikat ini begitu berbeza. Contohnya kita mengenali apa itu minyak panas, kayu manis, dan sebagainya. Kesemua ini mempunyai khasiat, tetapi langsung tidak mempunyai kuasa.

Pemahaman pertama yang perlu difahami ialah segala jenis kuasa adalah milik Allah. Contohnya kita melihat api itu berkuasa untuk membakar, tetapi hakikatnya tidak. Ia hanya membakar sekiranya diizinkan oleh Allah, kerana Nabi Ibrahim tidak dibakar oleh api kerana Allah melarang api tersebut daripada membakar.

Begitu juga kita merasakan bahawa pisau itu “berkuasa” untuk memotong. Tetapi hakikatnya ia hanya “berkhasiat” atau memotong sekiranya diizinkan oleh Allah. Sebab itulah Nabi Ismail tidak dapat disembelih menggunakan pisau ketika peristiwa Aidil Adha. Bahkan pisau yang sama dapat menyembelih kibas yang dikurniakan oleh Allah.

Oleh itu, segala makhluk tidak mempunyai kuasa. Begitu juga dengan kokka, ia juga tidak “berkuasa” untuk menghalau jin, binatang berbisa, atau apa sahaja. Tetapi, ia mungkin berkhasiat untuk kegunaan-kegunaan tertentu, dengan izin Allah.

Contohnya, cengkih yang berkhasiat untuk mewangikan mulut. Adakah ia dikatakan berkuasa mewangikan mulut? Tidak. Begitu juga dengan Kokka, ia mungkin berkhasiat untuk mengubati demam contohnya, tetapi ia tidak berkuasa untuk mengubati penyakit tersebut. Contohnya sama seperti ubat-ubatan di hospital.

Di Hospital, kesemua ubat-ubatan tersebut tidak mempunyai kuasa untuk mengubati, tetapi mempunyai khasiat dan ia mampu mengubati hanya dengan izin Allah. Oleh itu, sekiranya seseorang menganggap kokka itu berkuasa, bermakna ia telah syirik kepada Allah. Sepatutnya kita menganggap bahawa ia berkhasiat, dan yang berkuasa itu milik Allah sahaja.

Kesimpulannya, penggunaan kayu kokka adalah khasiat semata-mata. Ia tidak berkuasa. Yang berkuasa ialah Allah sahaja. Perbezaan di sini ialah di antara “khasiat” dan “kuasa”. Setiap benda telah dijadikan oleh Allah SWT mengandungi khasiat tertentu, tetapi tiada satu pun yang berkuasa.

MUHAMMAD MUJAHID BIN MOHAMMAD FADZIL
UNIVERSITI AL AZHAR

0 comments:

Post a Comment

Artikel Popular

Dairy

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal