24 January 2010

Plot Hadis Ifki

Peristiwa Hadis Ifki ialah peristiwa fitnah terhadap Saidatina Aisyah, yang berlaku selepas Perang Bani Mustalik. Beliau telah difitnah dengan Safwan bin Mu’atthal, kerana pulang dengan menaiki kenderaan beliau. Fitnah ini dikepalai oleh Abdullah bin Ubai bin Salul, yang sudah lama menyimpan dengki dengan Baginda SAW, dan beliau adalah seorang munafik. Plot-plot peristiwa ini seperti berikut :

1. Peperangan Bani Mustalik berlaku, di sebuah tempat yang bernama Muraisi’. Ia berlaku selepas turunnya ayat yang mensyariatkan berhijab. Di dalam peperangan ini, Nabi Muhammad SAW membawa Saidatina Aisyah bersama, dan beliau ditempatkan di dalam sebuah kenderaan berbentuk rumah.

2. Ketika dalam perjalanan pulang di waktu malam, gerombolan Islam singgah di sebuah tempat, untuk berehat. Di kesempatan tersebut, Saidatina Aisyah keluar daripada kenderaannya untuk membuang air. Setelah selesai membuang air, Saidatina Aisyah kembali ke kenderaannya. Tetapi, beliau dapati rantai emasnya tercicir semasa perjalanan pulang setelah membuang air. Lalu beliau berpatah balik, mencari rantai emasnya.

3. Dalam pada itu, umat Islam mula bergerak setelah berehat beberapa ketika. Disebabkan tubuh Saidatina Aisyah agak ringan, maka, mereka yang ditugaskan untuk mengusung kenderaannya tidak menyedari bahawa beliau tiada di dalam kenderaan tersebut.

4. Setelah menemui rantai tersebut, Saidatina Aisyah bergegas ke tempat persinggahan. Malangnya, gerombolan Islam sudahpun meninggalkan tempat tersebut. Saidatina Aisyah menanti supaya tentera Islam menyedari kehilangannya. Dalam pada itu, beliau tertidur.

5. Dalam masa yang sama, Safwan bin Mu’atthal adalah seorang yang paling akhir di dalam gerombolan tersebut. Apabila beliau melalui kawasan persingahan umat Islam tadi, beliau mendapati Saidatina Aisyah sedang tidur. Beliau mengenali Saidatina Aisyah kerana pernah melihatnya sebelum penurunan ayat hijab.

6. Apabila menyedari kehadiran Safwan, Saidatina Aisyah segera menutup hijabnya. Tanpa berkata sepatah pun, Safwan menurunkan kenderaannya untuk dinaiki oleh Saidatina Aisyah. Lalu, beliau membawanya pulang ke Madinah, tanpa sepatah perkataan pun.

7. Setibanya di Madinah, berita tersebut sampai ke pengetahuan Abdullah bin Ubai bin Salul. Lalu beliau menyebarkan berita fitnah terhadap kesucian Saidatina Aisyah RA. Dalam masa yang sama, setelah tiba di Madinah, Saidatina Aisyah mengalami demam panas, dan beliau tidak mendengar gembar gembur fitnah tersebut.

8. Beliau menyedari kelainan pada Baginda SAW, yang tidak mesra seperti sebelumnya. Setelah sebulan berlalu, barulah beliau mengetahui bahawa kesuciannya telah difitnah. Satu hari Baginda SAW bertemu dengan Saidatina Aisyah meminta penjelasan. Setelah membuat penafian, turunlah ayat 11-20 Surah an Nur yang menyucikan beliau daripada fitnah Abdullah bin Ubai.

Allah SWT berfirman

Maksudnya : Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong itu, adalah dari kalangan kamu juga. Janganlah kamu sangka berita bohong itu membawa keburukan kepada kamu. Setiap orang dari kalangan mereka, mendapat dosa dengan apa yang mereka kerjakan. Dan siapa di antara mereka yang mengambil peranan terbesar dalam menyebarkan berita tersebut, akan menerima azab yang besar. Mengapakah ketika kamu mendengar berita bohong tersebut, orang beriman tidak bersangka baik terhadap diri mereka? Dan mengapakah mereka tidak katakan bahawa ini adalah berita palsu yang jelas nyata? Mengapakah mereka yang membuat berita bohong itu, tidak mendatangkan empat orang saksi terhadap berita tersebut? Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itulah di sisi Allah adalah orang yang berdusta. Sekiranya tiada kurniaan Allah serta rahmatNya bagi kamu di dunia dan akhirat, sudah pasti kamu akan ditimpa azab disebabkan berita bohong tersebut. (ingatlah) sewaktu kamu mendengar berita bohong tersebut dari mulut ke mulut, dan kamu pula katakan dengan mulutmu tentang sesuatu yang kamu tidak tahu sedikit pun, bahkan kamu menganggapnya sebagai satu perkara remeh, padahal ia besar di sisi Allah. Dan mengapakah kamu tidak katakan ketika mendengar berita bohong tersebut, bahawa sangat tidak wajar kita memperkatakannya, Maha Suci Engkau (wahai Allah), ini adalah dusta yang besar. Allah memperingatkan kamu agar tidak kembali seperti ini, sekiranya kamu ini beriman. Dan Allah telah menjelaskan ayat-ayatnya kepada kamu, dan Allah Maha Mengetahui, dan Maha Bijaksana. Sesungguhnya mereka yang inginkan berita bohong tersebut, tersebar di kalangan orang beriman, akan menerima azab yang pedih di dunia dan akhirat. Dan Allah Maha Mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahuinya. Kalaulah bukan disebabkan kurniaan Allah serta rahmatNya bagi kamu, sudah pasti kamu akan ditimpa azab disebabkan berita bohong tersebut. Sesungguhnya Allah Maha Penyantun, lagi Maha Penyayang (Surah an Nur : 11 - 20)

Pengajaran Daripada Peristiwa Hadis Ifki

Lihatlah beberapa peringatan yang telah Allah berikan, daripada kisah ini, supaya kita berjaga-jaga apabila difitnah. Berdasarkan firman Allah SWT sebelum ini, dapat dipetik beberapa pengajaran.

1. Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong itu, adalah dari kalangan kamu juga. Mereka yang menyebarkan fitnah, adalah dari kalangan orang Islam, tetapi mereka ini munafik. Maka, Allah SWT mengingatkan kita supaya berhati-hati dengan bahaya golongan munafik, yang merosakkan kesatuan Islam dari dalam.

2. Janganlah kamu sangka berita bohong itu membawa keburukan kepada kamu. Setiap fitnah yang dilemparkan kepada kita, adalah ujian daripada Allah SWT. Di sana sudah pasti terdapat hikmahnya yang besar. Maka, Allah mengingatkan kita supaya bersabar dengan ujian ini.

3. Dan siapa di antara mereka yang mengambil peranan terbesar dalam menyebarkan berita tersebut, akan menerima azab yang besar. Allah mengingatkan kita supaya tidak terlibat sama dalam menyebarkan fitnah.

4. Mengapakah ketika kamu mendengar berita bohong tersebut, orang beriman tidak bersangka baik terhadap diri mereka? Kita perlu bersangka baik terhadap sesama kita, yang beriman kepada Allah SWT. Maka, Allah memperingatkan kita supaya bersangka baik sesama kita apabila mendengar sesuatu yang tidak dapat dipastikan kebenarannya.

5. Dan mengapakah mereka tidak katakan bahawa ini adalah berita palsu yang jelas nyata? Allah memperingatkan kepada kita, supaya tidak tergesa-gesa mempercayai sesuatu berita, tanpa menyelidiknya terlebih dahulu. Mengapa terus mempercayainya sedangkan kita tidak tahu kebenarannya? Kenapa tidak menafikannya?

6. Mengapakah mereka yang membuat berita bohong itu, tidak mendatangkan empat orang saksi terhadap berita tersebut? Syariat telah menetapkan sebanyak empat orang saksi untuk tuduhan zina. Maka, Allah memperingatkan kita supaya tidak cepat menghukumkan zina kepada seseorang. Sebaliknya, sesiapa yang gagal mendatangkan empat orang saksi tersebut, mereka akan dihukum qazaf.

7. (ingatlah) sewaktu kamu mendengar berita bohong tersebut dari mulut ke mulut, dan kamu pula katakan dengan mulutmu tentang sesuatu yang kamu tidak tahu sedikit pun, bahkan kamu menganggapnya sebagai satu perkara remeh, padahal ia besar di sisi Allah. Allah memperingatkan kita supaya tidak menyebarkan sesuatu yang tidak dapat kita pastikan kebenarannya. Bahkan kita jangan menyangka bahawa menyebarkannya adalah satu perkara yang remeh. Hakikatnya ia cukup memberi kesan.

8. Dan mengapakah kamu tidak katakan ketika mendengar berita bohong tersebut, bahawa sangat tidak wajar kita memperkatakannya, Maha Suci Engkau (wahai Allah), ini adalah dusta yang besar. Allah memperingatkan kita supaya kita menegur dan bertegas terhadap sesiapa yang menyebarkan sesuatu yang mereka tidak dapat pastikan kebenarannya. Kita perlu memberi amaran kepada mereka yang berbuat demikian.

9. Allah memperingatkan kamu agar tidak kembali seperti ini, sekiranya kamu ini beriman. Allah memperingatkan kita supaya tidak mengulangi perbuatan ini. Iaitu janganlah kita cepat mempercayai sesuatu berita, dan menyebarkannya tanpa kita ketahui kebenarannya.

10. Kalaulah bukan disebabkan kurniaan Allah serta rahmatNya bagi kamu, sudah pasti kamu akan ditimpa azab disebabkan berita bohong tersebut. Allah memperingatkan kita supaya sentiasa bersyukur kepada Allah kerana memelihara kita selama ini daripada fitnah dan sebagainya. Maka, hendaklah kita meminta kepada Allah SWT supaya dihindarkan diri daripada perkara terkutuk ini.

Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Kuliah Usuluddin, Akidah dan Falsafah
Universiti Al Azhar

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal