10 June 2010

Ciri-ciri Maslahat, Hapuskan Konflik Pemikiran - Presiden PMRAM


Oleh : Presiden PMRAM (link)

Assalamualaikum,

Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, pembawa rahmat bagi seluruh alam.

Mahasiswa dikenali sebagai seseorang yang akan memimpin negara di masa hadapan. Corak pembentukan negara di masa hadapan bergantung kepada cara berfikir mahasiswa kini.

Sekiranya cara berfikir (turuq tafkir) mahasiswa kini berlandaskan kehendak Islam dan syarak, maka pembawakan negara juga tidak akan tersasar daripada kehendak Islam. Tetapi sekiranya cara berfikir mahasiswa kini mengikut pemikiran musuh-musuh Islam atau cara berfikir mereka bercampur aduk maklumat, maka perkara inilah yang akan menimbulkan masalah pimpinan di masa hadapan.

Menyedari keadaan hakikat yang berlaku, PMRAM berusaha untuk membentuk pemikiran dan cara berfikir mahasiswa yang mengikut landasan syarak. Ucapan Dasar Presiden PMRAM 2010 membuktikan kesedaran dan kesungguhan PMRAM untuk melaksanakan perkara ini. Antara yang ditekankan ialah 'Penghayatan Ilmu Pencernaan Minda'.

PMRAM tidak mahu konflik pemikiran ini berlaku pada mahasiswa Islam terutamanya mereka yang menuntut ilmu di Bumi Mesir ini. Sekiranya perkara ini tidak dibendung, maka akan berlaku kepincangan pembawakan negara di masa hadapan dengan ilmu dan fatwa yang menyesatkan.

Islam mengajar umatnya untuk meraikan maslahat (kepentingan) dan menolak mudharat (keburukan). Inilah tujuan perlaksanaan syariat Islam yang sesuai dengan fitrah kejadian manusia dan seluruh alam. Mereka yang mengikut petunjuk Islam bermaksud mengikut fitrah kejadian alam ini.

Tetapi mereka yang melanggari atau melampaui syariat Allah SWT sebenarnya telah melawan fitrah kejadian diri sendiri.

Di awal tulisan ini, saya ingin menyebut kaedah yang telah disusun oleh Islam untuk mengambilkira sesuatu maslahat itu diiktibar syarak. Terkadang pimpinan mahasiswa atau masyarakat memberi alasan untuk meraikan maslahat padahal perkara tersebut tidak diiktibar syarak.

Perkara ini adalah hasil daripada cara berfikir yang salah dan terpesong daripada kehendak Islam dan syarak. Di sini, saya akan nyatakan secara ringkas bagi perkara yang dibincangkan.

Antara syarat-syarat untuk mengambilkira sesuatu maslahat itu diiktibar syarak ialah:-

1) Maslahat tersebut mestilah tidak bertembung dengan dalil nas daripada Al-Quran dan hadis serta ijmak para ulamak.

(Sekiranya maslahat tersebut bertembung dengan dalil nas atau ijmak para ulamak, maka maslahat tersebut hanyalah bersifat keraguan (wahamiyah). Hal ini kerana maslahat yang bersifat hakiki tidak akan bertembung sama sekali dengan nas qat'ie dan ijmak para ulamak.)

2) Maslahat tersebut mestilah bersifat hakiki bukannya bersifat keraguan (wahamiyah).

(Maksud hakiki di sini ialah realistik iaitu maslahat tersebut memang betul-betul berlaku. Berlainan pula dengan maslahat yang bersifat keraguan (wahamiyah). Maksud keraguan di sini ialah retorik iaitu belum pasti lagi sama ada ianya akan berlaku atau tidak.)

3) Maslahat tersebut mestilah berbentuk umum atau kebanyakan manusia. Bukannya berbentuk individu atau hanya sekelompok kecil manusia sahaja.

(Hal ini kerana maslahat yang diraikan tersebut akan menolak mudharat yang akan berlaku pada kebanyakan manusia. Maslahat yang berbentuk individu atau sekelompok kecil manusia adalah tidak diiktibar syarak kerana perkara tersebut akan memberikan kesan mudharat kepada kebanyakan manusia.)

******

ANTARA CONTOH KONFLIK PEMIKIRAN

Fatwa membenarkan pelacuran

Hukum bersekedudukan atau berzina antara pasangan yang masih belum berkahwin adalah haram di dalam Islam. Allah SWT secara jelas menyatakan hukum tersebut di dalam Al-Quran serta hadis Nabi Muhammad SAW. Para ulamak juga bersepakat mengatakan hukumnya adalah haram.

Justeru maslahat untuk mendapatkan sumber kewangan bagi menampung perbelanjaan hidup adalah tidak diiktibar syarak. Bahkan masih terdapat banyak lagi altenatif lain untuk mencari sumber kewangan.

Fatwa meluluskan lesen judi

Hukum berjudi adalah haram di sisi Islam. Bahkan haram tersebut adalah bersifat qat'ie. Semua ulamak bersepakat dengan hukum yang satu berdasarkan ayat Al-Quran serta hadis nabi Muhammad SAW. Bukan hanya Islam sahaja yang melarang, bahkan agama-agama lain pun turut melarang penganutnya berjudi.

Meluluskan lesen judi bermaksud menghalalkan pertaruhan. Justeru maslahat untuk mengetahui bilangan mereka yang bertaruh sempena Perlawanan Bola Sepak Dunia adalah tidak diiktibar syarak.

Jawatan adalah suatu amanah

Islam mengajar umatnya untuk menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan. Hal ini jelas dengan firman Allah SWT serta sabda Nabi Muhammad SAW. Bahkan hukumnya adalah wajib apatah lagi bagi seseorang yang memimpin sesebuah organisasi.

Justeru maslahat untuk meraikan keluarga (bersifat khusus) sehingga merosakkan amanah tanggungjawab terhadap ahli persatuan (bersifat umum) adalah tidak diiktibar syarat. Sepatutnya tugasan amanah diselesaikan sebelum memindahkan tugasan kepada orang yang akan memangku.

Wallahu'alam

SEMOGA BERTEMU DALAM HALAQAH ULAMAK

Shahrizan bin Mohd Hazime
Pejabat PMRAM, Masakin Othman,
Kaherah, Mesir.

Rujukan

1) Al-Qawaid Al-Fiqhiyah karangan Ustaz Dr. Abdul Aziz Muhammad Azzam.

2) Al-Asybah wa An-Nazair karangan Imam As-Sayuti

3) Al-Wajiz fi Usul Al-Fiqh karangan Ustaz Dr. Wahbah Zuhaili

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal