28 February 2010

Dajjal Laknatullah - Siri 1


* Artikel ini dipetik daripada buku yang bertajuk "KIAMAT" karangan saya. Tetapi masih dalam proses penerbitan. Doakan supaya ia dapat diterbitkan. Buku ini telah saya tulis semenjak 5 tahun dahulu, dan masih lagi belum dapat disiapkan.

PENDAHULUAN

Dajal Laknatullah adalah seorang manusia (bukan jin) yang telah dibangkitkan oleh Allah SWT di akhir zaman. Kebangkitannya memainkan peranan besar di dalam menyesatkan manusia yang ada di dunia. Fitnah dan ujian yang dibawa olehnya membahayakan sesiapa sahaja, melainkan dengan keimanan yang sebenar-benarnya kepada Allah SWT. Dajal Laknatullah yang muncul di akhir zaman ini telah disebut di dalam al Quran dan Hadis sebagai persediaan kepada manusia hari ini untuk menghadapi sebarang fitnahnya.

Nabi SAW sendiri banyak menyebut tentang sifat-sifat Dajal Laknatullah supaya diambil pengajaran kepada manusia hari ini supaya tidak terpedaya dengan fitnah yang dibawa olehnya. Lihatlah beberapa sifatnya supaya kita mengenali siapakah Dajal yang dilaknat oleh Allah SWT.

Di dalam tajuk ini, dapat dibahagikan kepada beberapa perincian utama, antaranya ialah :

a. Tanda-tanda kemunculan Dajjal
b. Sifat-sifat Dajjal
c. Perjalanan Dajjal di seluruh dunia
d. Tempoh Serangan Dajjal
e. Dan sebagainya.

Nabi SAW sudah memperingatkan kepada kita bahawa Dajjal itu sendiri akan muncul apabila manusia sudah mulai lupa dengan kemunculan Dajjal. Selain itu, manusia juga semakin tidak mempercayai kemunculan makhluk ini, bahkan mengatakannya sebagai cerita dongeng.

عَنْ عُمَرَ بنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ، وَهُوَ يَقُولُ: إِنَّهُ سَيَخْرُجُ بَعْدَكُمْ قَوْمٌ يُكَذِّبُونَ بِالرَّجْمِ، وَيُكَذِّبُونَ بِالدَّجَّالِ، وَيُكَذِّبُونَ بِالْحَوضِ، وَيُكَذِّبُونَ بِعَذَابِ القَبْرِ،

Saidina Umar al Khattab berkata : “Sesungguhnya akan muncul generasi selepas kamu, yang menafikan hukum rejam, menafikan kemunculan Dajjal, menafikan perkara ghaib dan menafikan kewujudan azab kubur..

( Abdul Razak, Musannif Abdul Razak, Bab “Sesiapa yang keluar muncul dari api” tajuk ke 11, ms 412 )

Perkara ini akan dijelaskan lagi di dalam tanda-tanda kemunculan Dajjal Laknatullah. Maka, perlulah kita ambil perhatian tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan peristiwa kemunculan Dajjal Laknatullah, supaya kita dapat berjaga-jaga dan mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan kemunculannya.

TANDA-TANDA KEMUNCULAN DAJJAL

Di sana terdapat puluhan hadis Nabi SAW yang menceritakan beberapa tanda kemunculan makhluk perosak ini. Adakah dunia hari ini sudah boleh dikatakan bahawa Dajjal itu sudah muncul? Maka, perhatikan beberapa hadis yang berkaitan.

Pertama : Dajjal sudah wujud semenjak zaman Baginda SAW

عَنْ عَمْرَانَ بْنِ حَصِيْنٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا؛ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لَقَدْ أَكَلَ الطَّعَامَ وَمَشَى فِي الأَسْوَاقِ (يَعْنِي: الدَّجَّالُ )

Daripada Amran bin Hasin, beliau berkata bahawa Nabi SAW bersabda : Sesungguhnya ia sedang menikmati makanan dan berada di pasar-pasar (iaitu Dajjal) (Musnah Imam Ahmad : 19142)

Selain itu, seorang hamba Allah yang bernama Tamim ad Dariy pernah menemui Dajjal ketika beliau berlayar di tengah lautan, dan terdampar di sebuah pulau. Kisah ini akan diceritakan di dalam bab akan datang, yang menceritakan tentang pertemuan tersebut, insya Allah.

Kedua : Dajjal mula muncul ketika manusia melupai tentang kisah kemunculannya

عَنْ الصَعْبِ بْنِ جَثَّامَةٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: لاَ يَخْرُجُ الدَّجَّالُ حَتَّى يُذْهِلُ النَّاسُ عَنْ ذِكْرِهِ، وَحَتَّى تَتْرُكِ الأَئِمَّةُ ذِكْرَهُ عَلَى الْمَنَابِرِ

Daripada Sa’bi bin Jassamah RA, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : Dajjal tidak akan muncul sehinggalah manusia terlupa tentang kemunculannya, dan para khatib terlupa menyebutnya di dalam khutbah (Kanzul Ummal : 38817)

Ketiga : Dajjal muncul ketika manusia jauh daripada Islam

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا: أَنَّهُ قَالَ فِي الدَّجَّالِ : تَكُونُ آيَةُ خُرُوجِهِ تَرَكَهُمْ الأَمْرَ بِالْمَعْرُوفِ وَالنَّهْيَ عَنِ الْمُنْكَرِ، وَتَهَاوَنَ بِالدِّمَاءِ، وَضَيَّعُوا الْحُكْمَ، وَأَكَلُوا الرِّبَا، وَشَيَّدُوا البِنَاءَ، وَشَرَبُوا الْخُمُورَ، وَاتَّخَذُوا القَيَانَ، وَلَبِسُوا الْحَرِيْرَ، وَأَظْهَرُوا بَزَّةَ آلِ فِرْعَونَ، وَنَقَضُوا العَهْدَ، وَتَفَقَّهُوا لِغَيْرِ الدِّيْنَ، وَزَيِّنُوا الْمَسَاجِدَ، وَخَرَبُوا القُلُوبَ، وَقَطَعُوا الأَرْحَامَ، وَكَثُرَتْ القُرَّاءُ، وَقَلَّتْ الفُقَهَاءُ، وَعَطَلَتْ الْحُدُودُ، وَتَشَبَّهَ الرِّجَالُ بِالنِّسَاءِ وَالنِّسَاءُ بِالرِّجَالِ، وَتَكَافَأَتْ الرِّجَالُ بِالرِّجَالِ، وَالنِّسَاءُ بِالنِّسَاءِ، بَعَثَ اللهُ عَلَيْهِمُ الدَّجَّالَ، ...

Ibnu Abbas RA berkata tentang Dajjal : Akan terjadi tanda-tanda kemunculannya, iaitu manusia tidak lagi menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, berlakunya pembunuhan, manusia tidak lagi menghormati undang-undang, mereka memakan harta riba, berlumba-lumba membuat binaan, mereka meminum arak, mereka leka berhibur dengan muzik-muzik, orang-orang lelaki memakai sutera, mereka memperagakan penampilan firaun, manusia semakin suka melanggar perjanjian, mereka mendalami sesuatu ilmu bukan untuk agama, mereka menghiasi masjid (masjid tidak berfungsi), mereka merosakkan hati-hati, memutuskan hubungan kekeluargaan, bertambahnya orang yang hanya membaca semata-mata, berkurangnya orang-orang yang faqih, terabainya hukum hudud, terdapat penyerupaan di antara lelaki dan perempuan, berlakunya hubungan sejenis,... ketika inilah munculnya Dajjal

Keempat : Dajjal muncul ketika berlakunya kebuluran

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ البَاهِلِيّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ؛ قَالَ: خَطَبْنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَكَانَ أَكْثَرُ خُطْبَتِهِ حَدِيثًا حَدَّثْنَاهُ عَنْ الدَّجَّالِ وَحَذَّرْنَاهُ.... فَذَكَرَ الْحَدِيْثَ بِطَوْلِهِ، وَفِي آخِرِهِ : وَإِنَّ قَبْلَ خُرُوجِ الدَّجَّالِ ثَلاَثُ سَنَوَاتٍ شِدَادٍ، يُصِيْبُ النَّاسَ فِيْهَا جَوْعٌ شَدِيْدٌ، يَأْمُرُ اللهُ السَّمَاءَ فِي السَّنَةِ الأُوْلَى أَنْ تَحْبِسَ ثُلُثَ مَطْرِهَا وَيَأْمُرُ الأَرْضَ أَنْ تَحْبِسَ ثُلُثَ نَبَاتِهَا، ثُمَّ يَأْمُرُ السَّمَاءَ فِي السَّنَةِ الثَّانِيَةِ فَتَحْبِسَ ثُلُثَيِ مَطْرِهَا وَيَأْمُرُ الأَرْضَ فَتَحْبِسَ ثُلُثَيِ نَبَاتِهَا، ثُمَّ يَأْمُرُ السَّمَاءَ فِي السَّنَةِ الثَّالِثَةِ فَتَحْبِسَ مَطْرِهَا كُلَّهُ ، فَلاَ تُقْطَرُ قَطْرَةً، وَيَأْمُرُ الأَرْضَ فَتَحْبِسَ نَبَاتِهَا كُلَّهُ فَلاَ تُنْبِتُ خَضْرَاءً، فَلاَ تَبْقَى ذَاتَ ظِلْفٍ إِلاَّ هَلَكَتْ، إِلاَّ مَا شَاءَ اللهُ

Daripada Abi Umamah al Bahili RA, beliau berkata :Rasulullah SAW berucap di hadapan kami. Kebanyakan ucapannya menyebut tentang Dajjal, dan meminta kami berjaga-jaga... Lalu Baginda SAW menyebut dengan panjang lebar.. di akhir ucapannya : Sesungguhnya sebelum kemunculan Dajjal, berlakunya keperitan selama 3 tahun. Manusia mengalami krisis kebuluran yang teruk. Allah memerintahkan kepada langit pada tahun pertama, supaya mengurangkan kadar hujan sebanyak satu pertiga, dan menyuruh bumi supaya mengurangkan hasilnya sebanyak satu pertiga. Kemudian, Allah memerintahkan langit pada tahun kedua pula untuk mengurangkan kadar hujan sebanyak dua pertiga pula, dan bumi diperintahkan supaya mengurangkan hasilnya sebanyak dua pertiga. Kemudian, Allah memerintahkan langit pada tahun ketiga supaya tidak menurunkan hujan langsung, maka tiadalah hujan walaupun setitik, dan bumi diperintahkan supaya tidak mengeluarkan hasilnya langsung, maka tidak tumbuhlah sebarang tumbuhan. Setelah itu, tiada lagi haiwan yang hidup, melainkan beberapa ekor yang dikehendakiNya (an Nihayah Kathir : 1/44)

Kelima : Dajjal muncul apabila umat Islam saling mengkafirkan umat Islam yang lain

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا ؛ قَالَ: « كُنَّا قُعُودًا عِنْدَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَذَكَرَ الفِتَنَ، ... وَفِيْهِ .. ثُمَّ فِتْنَةُ الدُّهَيْمَاءِ ، لاَ تَدَعَ أَحَدًا مِنْ هَذِهِ الأُمَّةِ ؛ إِلاَّ لَطَمَتْهُ لُطْمَةً، فَإِذَا قِيْلَ : انْقَضَّتْ ؛ تَمَادَتْ ، يُصْبِحُ الرَّجُلُ فِيْهَا مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا، حَتَّى يُصِيْرُ النَّاسُ إِلَى فُسْطَاطِيْنَ : فُسْطَاطٌ إِيْمَانٌ لاَ نِفَاقَ فِيْهِ ، وَفُسْطَاطٌ نِفَاقٌ لاَ إِيْمَانَ فِيْهِ ، فَإِذَا كَانَ ذَلِكُمْ ؛ فَانْتَظِرُوا الدَّجَّالَ مِنْ يَوْمِهِ أَوْ غَدِهِ

Daripada Abdullah bin Umar RA, beliau berkata : Satu hari, kami duduk bersama-sama Rasulullah SAW, lalu Baginda SAW menceritakan tentang fitnah akhir zaman ... antara yang disebutkan ialah.. Kemudian akan terjadinya fitnah bawah tanah yang tidak melepaskan seorang pun, melainkan mereka yang bernasib baik. Apabila fitnah tersebut cuba disekat, ia tetap berterusan, sehingga seorang yang beriman pada waktu pagi hari, menjadi kafir pada waktu petangnya. Ia berlanjutan sehinggalah manusia bertemu dengan dua golongan, lalu menghukum bahawa golongan ini semuanya beriman, dan golongan satu lagi dihukumkan dengan kafir kesemuanya. Maka, apabila berlaku peristiwa seperti ini, tunggulah ketibaan Dajjal, samada pada hari tersebut, atau pada keesokannya. (Sunan Abi Daud : 3704)

Keenam : Kemunculannya Selepas Pembebasan Istanbul

قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : الْمَلْحَمَةُ الكُبْرَى، وَفَتْحُ القَسْطَنْطِينِيَّةِ، وَخُرُوجُ الدَّجَّالِ فِي سَبْعَةِ أَشْهُرٍ

Nabi SAW bersabda : Berlakunya peperangan yang besar, pembebasan Istanbul dan kemunculan Dajjal, kesemuanya berlaku dalam tempoh 7 bulan berturut-turut (Musnad Imam Ahmad : 21304)

Di dalam Hadis yang lain, mengatakan bahawa perbezaan di antara Peperangan Besar dan Pembebasan Istanbul selama 6 tahun, dan kemunculan Dajjal pada tahun ke 7 (Kanzul Ummal, nombor 38754, Hadis Riwayat Abu Umamah al Bahili ). Tetapi di dalam hadis ini menyebut “bulan”, bukannya tahun. WaLlahua’lam

Ikuti sambungan akan datang...

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal