12 February 2010

Kalimah Allah : Berapa Ramaikah Pula Yang Perjuangkan Agama Allah?


Setelah berlaku beberapa tempoh, isu kalimah Allah yang diperjuangkan oleh ramai orang, di sini sedikit pandangan daripada saya berkenaan dengannya. Bukanlah hati ini berniat untuk menafikan mahkamah, atau memandang serong kepada sesiapa, tetapi sekadar lontaran pandangan yang mungkin memberi manfaat kepada semua orang.

1. Kalimah Allah tidak boleh dipermainkan. Ia jelas menunjukkan penghinaan terhadap Islam. Mereka yang menghina Islam adalah orang yang sepatutnya ditentang, kerana mereka telah menolak ketinggian Islam seperti mana sabda Baginda SAW :

Islam itu paling tinggi, dan tiada lagi yang lebih tinggi darinya

( Imam Baihaqi, Sunan al Baihaqi al Kubra, cet. Maktabah Darul Baz 1994 M, tahqiq Muhammad Abdul Qadir Atho, bah. 6 ms 205, no. 11935 )

2. Setiap umat Islam perlu mengetahui bahawa Islam bukan hanya memperjuangkan kalimah Allah semata-mata, bahkan memperjuangkan Islam kesemuanya. Ini kerana Islam itu merangkumi semua aspek kehidupan, dan bukan hanya ibadat semata-mata. Allah SWT berfirman :

Maksudnya : Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (Surah al An’am : 162)

Syeikh Sya’rawi menafsirkan ayat ini bahawa kita tahu bahawa “kalimah Allah” itu bermaksud sebagai Allah yang sebenar, iaitu wajib wujud. Tetapi, kita juga perlu tahu bahawa “Hidup” juga merupakan nama dan sifat Allah SWT kerana Allah itu hidup selama-lamanya. ( Syeikh Sya’rawi, Tafsir Sya’rawi, terbitan Maktabah Syamilah, Surah al An’am, ayat 162 )

3. Dapat difahami daripada kata-kata Syeikh Sya’rawi bahawa kita mengenal Allah SWT bukan dengan “mengetahui” namanya sahaja, tetapi merangkumi semua aspek kehidupan. Contohnya kita mengenal sifat Allah yang Maha Bijaksana, tetapi kita jarang memperjuangkan “hudud”, apabila manusia hari ini menghina bahawa undang-undang jenis ini tidak sesuai untuk dilaksanakan. Bukankah mereka jelas menghina kebijaksanaan Allah?

Sesudah itu, patutkah mereka berpandukan lagi kepada undang-undang Jahiliyah? Siapakah yang lebih baik undang-undangnya berbanding undang-undang Allah, bagi mereka yang yakin? (Surah al Ma’idah : 50)

4. Hari ini kita melihat bahawa golongan yang menafikan kebenaran penggunaan kalimah Allah bagi masyarakat bukan Islam, dengan berhujah bahawa ia akan menimbulkan kekeliruan di kalangan generasi mendatang. Walhal, Islam itu sendiri telah lama dikelirukan oleh golongan sekular tanpa sebarang penentangan. Antaranya :

a. Hudud dipermainkan dan diperleceh, dengan menganggapnya sebagai undang-undang kejam. Maka, masyarakat bukan Islam, dan anak-anak muda terkeliru dengan Islam yang sebenar. Sedangkan hudud adalah undang-undang untuk meninggikan manusia, bukan untuk menzalimi. ( Dr Mustafa al Khin, Dr Mustafa Bugho, Dr Ali asy Syarbaji, al Fiqhul Manhaji, cet. ke 8, 2007, Darul Qalam, jil. 3 ms 415 )

b. Islam telah dipersembahkan sebagai agama yang hanya tahu beribadat sahaja. Mereka membina politik yang jelas bercanggah dengan Islam sehingga menyebabkan orang terkeliru, dengan mengatakan bahawa Islam itu bukan politik. Ini juga satu bentuk kekeliruan yang sudah lama dijalankan oleh golongan sekular. Sedangkan Islam itu juga merangkumi politik. (Hassan al Banna, Nazhorot Fi Risalah at Ta’lim, cet. Darut Tauzik Wan Nasyr al Islamiah, ms 48)

c. Mereka tidak menghalang umat Islam daripada beribadat, tetapi membina kelab malam, maksiat, keseronokan, dan sebagainya, bertujuan untuk menjauhkan umat Islam dari beribadat. Lihatlah kesan-kesannya yang terjadi pada anak-anak kita? Inilah kekeliruan hasil perjuangan sekular selama ini. ( an Nadwah al Alamiah Lisy Syabab al Islami, al Mausu’ah al Muyassarah Lil Adyan Wal Mazahibi Wal Ahzab al Mu’asarah, cet. Darun Nadwah al Alamiah, jilid 2, ms 131 )

5. Persoalan ringkas daripada saya, “kenapakah kita sedaya upaya memperjuangkan penggunaan Kalimah Allah, sedangkan kita tidak memperjuangkan undang-undang Allah?”

a. Penggunaan Kalimah Allah adalah khilaf ulama’, sedangkan hudud itu telah disepakati kewajipannya, bukanlah khilaf lagi. ( Sila lihat Surah Luqman, ayat 25 dan Abdul Hamid asy Syarwani, Hawasyi asy Syarwani Ala Tuhafil Muhtaj bi Syarhil Minhaj, cet. Darul Fikr, bah. 4, ms 230 )

b. Kita sepatutnya lebih memperjuangkan yang lebih jelas. Pelaksanaan hudud yang jelas diwajibkan jarang diperjuangkan. Firman Allah SWT

Maksudnya : dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang kafir (Surah al Ma’idah : 44)

Di dalam ayat 45 menyebut dengan perkataan “zalim”, dan ayat 47 menyebut dengan perkataan “fasiq”. Jelas menunjukkan bahawa undang-undang Allah ini adalah satu kewajipan yang wajib dilaksanakan.

c. Hakikatnya, perjuangan menentang sekular dan menegakkan undang-undang Allah lebih utama. Generasi kita lebih terkeliru dengan Islam, hasil dari tangan-tangan sekular, sedangkan kita hanya nampak usaha-usaha golongan bukan Islam. Ingat, Islam lebih terancam dengan Sekularisme berbanding Kristianisasi. Ini kerana Sekularisme membuka pintu untuk Kristianisasi, Nasionalisme dan banyak lagi.

Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Kuliah Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal