16 November 2009

Memahami Konsep Syahadah Dan Tuntutannya - Pembentangan Saya Di Mansurah











14 November lalu, saya telah dijemput untuk membentangkan kertas kerja yang bertajuk Konsep Syahadah dan Tuntutannya, di Dewan Perwakilan Mahasiswa Mansurah. Program Kolokium Ilmuan ini telah diketuai oleh Dr Izzat sebagai pengarah program, dan adhoc-adhoc yang kebanyakannya terdiri dari kalangan “orang kahwin”.. Tahniah saya ucapkan.

Justeru, di dalam artikel kali ini, saya akan menyiarkan ringkasan yang berguna, yang telah dipersembahkan ketika pembentangan di Mansurah tersebut. Ia adalah ringkasan daripada kertas kerja tersebut.. semoga bermanfaat.

Kandungan Kertas Kerja

- Pendahuluan
- Pengertian Kalimah Syahadah
- Erti Ilah
- Tauhid Uluhiyyah dan Rububiyyah
- Tugasan Para Rasul
- 8 Tuntutan Syahadah

1. Pendahuluan

- Syahadah bermakna ilmu makrifat dan keterangan

Iaitu mengetahui tentang perkara-pekara yang wajib diketahui, contohnya seperti mengetahui keTuhanan Allah SWT, dan keRasulan Nabi Muhammad SAW. Tetapi, masih tidak cukup sekiranya kita hanya mengetahui sahaja tanpa mengikuti atau berpegang dengan kepercayaan ini semata-mata. Oleh itu kita perlu berikrar dan berpegang dengannya.

- Ia juga mengandungi makna ikrar kepatuhan dan pegangan

Sepertimana yang disebutkan syadahah juga bermaksud ikrar kepatuhan dan pegangan terhadap perkara-perkara yang disebutkan sebelum ini. Orang yang tidak mengetahui siapakah tuhannya, atau tidak tahu siapakah utusan tuhannya, maka ia tidak dianggap beriman. Manakala mereka yang sudah mengetahui tentang kedua-dua perkara tersebut, tetapi masih tidak mahu berpegang dengan keTuhanan Allah dan keRasulan Nabi Muhammad SAW, maka ia juga tidak dikira beriman.

2. Pengertian Kalimah Syahadah

- Bahagian Pertama : Mengiktiraf bahawa segala bentuk perhambaan tidak layak melainkan untuk Allah sahaja


Hari ini, bentuk kekafiran yang “tidak disengajakan” atau disengajakan berlaku disebabkan manusia bertuhankan duit, pangkat, perempuan dan sebagainya. Bagi fahaman Atheis, mereka bertuhankan kepada deria semata-mata. Sesuatu yang tidak dapat dicapai oleh pancaindera, dianggap tidak wujud. Oleh itu mereka menolak kewujudan Allah SWT. Mereka ini digelar sebagai “kafir mulhid”.

“Kafir musyrik” pula ialah mereka yang mengetahui kewujudan Allah sebagai Pencipta, Tuhan, Pentadbir dan sebagainya. Tetapi mereka menyembah bukan hanya pada Allah sahaja, bahkan mereka menyembah patung-patung, menyembah laut, pokok, matahari dan sebagainya. Ini kerana mereka mendakwa laut itulah yang memberi rezeki, matahari itulah yang memberi kehidupan dan sebagainya.

Kafir musyrik di zaman ini ialah mereka yang menjadi hamba bagi wang, sedangkan mereka tahu bahawa Allah itu sahajalah yang layak disembah. Disebabkan wang, tergadai ibadah kepada Allah. Sanggup menerima sogokan wang untuk “menolak” kebenaran Islam. Bahkan, mereka juga berpegang bahawa wang itu adalah segala-galanya. Takda wang, tak boleh hidup.. kata mereka.

- Bahagian Kedua : Pengabdian itu mestilah dilakukan berlandaskan ajaran Rasulullah SAW

Bahagian kedua yang perlu dipegang oleh kita melalui ikrar kita dalam syahadah ialah pengabdian kepada Allah itu hendaklah berlandaskan ajaran Rasulullah SAW. Memuja kubur dengan tujuan mendapatkan rezeki adalah haram dan boleh jatuh akidah. Satu ketika dahulu pernah sekumpulan ajaran sesat yang mendirikan solat (seperti biasa) dengan membelakangi kiblat.

Walaupun solat itu cukup sempurna seperti ajaran Nabi SAW, tetapi membelakangi kiblat dalam solat, bukanlah ajaran Baginda SAW. Sekiranya diniatkan menghina Islam, maka boleh jatuh kafir. Kahar Ahmad (mengaku sebagai rasul melayu), mengajar pengikut-pengikutnya mendirikan solat hanya 2 waktu sahaja sepertimana ajaran Nabi Ibrahim AS. Ini juga bentuk kesesatan yang jelas.

Hari ini, politik tidak lagi mengikut ajaran Rasulullah SAW. Pengabdian kepada Allah SWT dalam segenap sudut, termasuk cara berpolitik. Islam juga mengajar tentang politik. Tetapi apabila ia dilakukan tidak berlandaskan ajaran Rasulullah SAW, maka ia jelas tertolak. Rasuah adalah haram, sekiranya kita berpegang bahawa ia adalah halal, boleh menyebabkan jatuh kafir, nauzubiLlah.

Mereka yang mengucap syahadah, tetapi melanggar etika berpolitik dalam Islam, maka syahadahnya hanya pada lidah. Sedangkan syahadah itu menuntut kita berpegang dengan hati, dan melaksanakannya dengan anggota. Mereka yang melanggar etika berpolitik dalam Islam, dikira berdosa (belum dikatakan kafir) selagi mana tidak “berpegang” bahawa politik Islam adalah salah, dan cara Baginda SAW berpolitik tersilap.

3. Erti Ilah

- Bermaksud “yang disembah”
- Tidak kira yang disembah itu benar atau tidak


Penggunaan perkataan “Ilah” di dalam al Quran membawa banyak maksud. Hasil daripadanya, ia bermaksud “yang disembah, samada yang disembah itu adalah benar, atau sesat”. Di dalam Surah al Jathiyah ayat 23, terdapat sesetengah manusia yang menjadikan hawa nafsu mereka sebagai tuhan atau ilah. Iaitu mereka berpegang dengan nafsunya sehingga menolak Allah SWT.

Oleh itu, di sana terdapat banyak golongan-golongan yang sesat, yang mencipta tuhan-tuhan mereka. Mereka juga turut menggelarnya sebagai “ilah”. Kesimpulannya, golongan-golongan sesat ini menganggap “ilah” tersebut mengikut klasifikasi di bawah..

- Ilah
: Sebagai matlamat pengabdian
: Sebagai tempat perlindungan
: Sebagai tempat kecintaan
: Sebagai tempat rezeki
: Sebagai tempat perundangan


4. Tauhid Uluhiyyah dan Rububiyyah

- Tauhid Rububiyyah ialah Iqrar (pengakuan) bahawa Allah SWT Dialah yang melakukan segala sesuatu secara mutlak, mencipta makhluk, mentadbir dan mengubahsuai sesuatu, mempermudah, menambah, mengurang, menghidupkan, mematikan dan perbuatan-perbuatan lain. Tiada sesuatu yang bersekutu denganNya dalam perbuatanNya

- Tauhid Uluhiyyah ialah Iktiqad yang mantap bahawa Allah SWT, Dialah Tuhan yang sebenarnya (Hak) tiada Tuhan yang selain daripada-Nya dan mengesakan-Nya dalam beribadat kepada-Nya tanpa menyekutukan-Nya


Di sana terdapat segolongan manusia (bukan Islam) yang mengimani hanya salah satu keimanan ini sahaja. Mereka mempercayai bahawa Allah itulah yang mentadbir alam ini, tetapi mereka tidak menyembahnya, atau mereka menyembah patung-patung sebagai tuhan mereka. Mereka berpegang dengan “rububiyyah”, tetapi mereka menolak “uluhiyyah” Allah SWT.

5. Tugasan Para Rasul

- Menanamkan pegangan Islam dalam hidup semua manusia
- Mengajak mereka yang sudah menerima Islam, supaya membentuk hidup mereka mengikut corak Islam
- Menubuhkan Daulah Islamiah


Para Rasul diutuskan untuk menanamkan pegangan Islam di dalam semua manusia, dan mengajak mereka supaya mencorakkan kehidupan mereka dengan cara Islam. Para Rasul bukan hanya mendidik semata-mata, kemudian membiarkan umat Islam dengan pembawaan masing-masing.

Beberapa kesilapan kita hari ini, kita melaksanakan yang pertama, tetapi mengabaikan yang kedua. Segelintir di kalangan kita berkata “saya ni, luar je nampak macam ni, tapi belajar agama ..” atau “saya ni, nampak je merokok, tengok cerita bukan-bukan, tapi saya tak masyi (lancar) satu quran..”. Ini hanya sekadar contoh sahaja. Orang makan cili terasa pedasnya. Buat malu je..

Adakah kita hanya berpegang dengan Islam hanya pada hati semata-mata? Ada juga yang mengatakan bahawa “saya ni tanak pakai kopiah, saja tak nak tunjuk alim..” Fikir-fikirlah sendiri. Di manakah corak Islam yang ingin dipamerkan supaya Islam itu terserlah. Ingat, Islam bukan hanya pada hati semata-mata.. “Saya ni, nampak je tudung tak pakai, tapi hati saya baik.. Allah tak tengok luaran, tapi tengok hati..” ini adalah ayat seorang perempuan yang tidak memahami Islam, bahkan berbaur penghinaan terhadap Islam.

Antara tugasan Para Rasul yang dilaksanakan ialah menegakkan Negara Islam (Daulah Islamiah). Inilah peranan yang sering diabaikan oleh mereka yang mengaku sebagai pewaris bagi Nabi dan Rasul. Sebelum ini, saya pernah menerima kritikan. Orang yang mengkritik tersebut, menghujum PAS di Malaysia, dengan mengemukakan dalil yang silap, dan salah.

Dia mengatakan bahawa kenapa PAS beriya-iya merebut kuasa, sedangkan Para Nabi dan Rasul tidak pernah mengajar sedemikian... Juga persoalan yang sama, yang ditimbulkan ketika pembentangan di Kolokium Ilmuan ini... Iaitu penjelasan tentang maksud “merebut kuasa” di dalam Kertas Kerja Konsep Syahadah dan Tuntutannya, dalam mukasurah 14. Jawapannya? Insya Allah, artikel yang menjelaskan tentang ini akan disiarkan dalam blog ini, insya Allah.

6. 8 Tuntutan Syahadah

Setelah kita mengucap syahadah, maka kita dituntut untuk melaksanakan 8 perkara ini..

- Menjadikan Allah SWT sebagai Tuhan dengan mengesakanNya
- Menjadikan Allah SWT sebagai matlamat pengabdian
- Menjadikan Allah SWT sebagai tempat perlindungan
- Menjadikan Allah sebagai tumpuan kecintaan
- Menjadikan Allah sebagai punca penggantungan hidup dan rezeki
- Menjadikan Allah sebagai sumber perundangan yang mutlak
- Menjadikan Rasulullah SAW sebagai pimpinan contoh
- Menuntut supaya kita menjadikan hidup sebagai perjuangan dan jihad


Jangan sekali-kali “membanyakkan” tuhan, dengan beriman dengan kekuasaan duit, pangkat dan sebagainya. Untuk apakah kita beribadah? Untuk apakah kita melaksanakan dan menegakkan Islam.. ? Kesemuanya kerana Allah kerana Ia adalah matlamat pengabdian kita. Kepada siapakah perlu kita minta pertolongan dan pengharapan? Kepada Allah, kerana Ia adalah tempat perlindungan.

Kita dituntut supaya meletakkan cinta kepada Allah dan Rasul melebihi yang lain. Adakah kita ingin mengikut telunjuk taukey yang menyuruh kita meninggalkan solat kerana mengganggu waktu kerja? Tidak sekali-kali. Kepada siapakah perlu kita minta rezeki? Laut? Pokok? Matahari? Atau bos kita? Tidak. Kita minta kepada Allah SWT sebagai Tuhan yang memberikan rezeki.

Undang-undang siapa kita nak ikut? Undang-undang Allah.. kalau nak pertikai, ingatlah.. Dari dulu lagi manusia mempertikaikan al Quran. Di zaman Nabi SAW, manusia mempertikaikan ayat-ayat Allah, akhirnya mereka sendiri tidak mampu menandinginya. Hari ini, manusia comfirm tidak mampu untuk menandingi undang-undang Allah.

Siapakah yang perlu kita contohi? Rasulullah SAW. Bukanlah artis-artis yang berstyle tak tentu pasal. Manusia lebih suka mencontohi artis, pelakon, model dan sebagainya. Apa yang bagusnya mereka itu? Khatan pun tidak! Untuk apa kita hidup? Kita hidup untuk memperjuangkan Islam. Kalau hidup hanya untuk tidur, lebih baik mati sahaja. Tapi, HARAM bunuh diri... Janganlah “membunuh diri” anda dengan tidur yang menyebabkan diri anda ada macam takda.. WaLlahua’lam.

Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Usuluddin Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal