25 November 2009

Penghuni Syurga Kekal Selamanya, Adakah Mereka “Baqa”?

Baqa adalah sifat bagi Allah SWT. Setiap yang qadim itu baqa. Baqa ialah tiada kesudahan bagi kewujudannya. Tiada makhluk yang baqa atau tiada kesudahan bagi kewujudannya. Persoalan timbul apabila ada seseorang bertanya (berdasarkan artikel yang lepas), penghuni syurga kekal di dalam syurga, adakah mereka dianggap baqa?

Jawapannya “tidak”. Ini kerana terdapat perbezaan di antara “kekal” dan “tiada kesudahan bagi kewujudan”. Orang bertanya lagi, mereka yang duduk dalam syurga sampai bila? Sampai selama-lamanya itu, sampai bila?

Maka, bagi merungkaikan kepeningan ini, mari kita kembali kepada persoalan tentang masa (yang telah dijelaskan di dalam artikel lalu). Syurga atau neraka adalah sesuatu yang azali, iaitu dicipta sebelum terciptanya masa. Dan masa itu ialah putaran atau pergerakan cakerawala. Maka, syurga itu masih ada walaupun cakerawala sudah musnah ketika Hari Kiamat.

Ketika di dalam syurga atau neraka, persoalan masa sudah tidak timbul. Ini disebabkan tiada masa di syurga. Kenapa pula tiada masa? Ini kerana masa sudah pun musnah beserta kemusnahan alam ketika Hari Kiamat. Maka, di dalam syurga tiada lagi istilah tua dan muda, sepertimana yang telah disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW. Semuanya sama sahaja.

Bahkan umur kita hari ini adalah disebabkan ukuran kita sahaja. Dan umur ini sudah tidak dihitung lagi di syurga. Itulah sebabnya hidup di syurga tidak tua-tua. Dan tiada istilah tua atau muda di sana. Maka, tidak mungkin seseorang akan bertanya “sampai bila kita berada di Syurga?”. Ketika di dunia, kita akan bertanya soalan ini kerana kita masih terikat dengan umur yang semakin bertambah.

Atau dengan kata lain, persoalan “bila” sudah tidak terpakai lagi. Kerana ia adalah persoalan ketika wujudnya masa. Apabila sudah tiada masa, maka tiada lagi persoalan tentang “bila”.

Kembali kepada persoalan asal. Kita dapat menyimpulkan bahawa penghuni syurga atau syurga itu sendiri ada penghujungnya (bukan baqa). Ini kerana ia adalah makhluk. Sesuatu yang hadis (mempunyai permulaan bagi kewujudannya) tidak mungkin baqa’ (tiada kesudahannya). Sebaliknya syurga itu hanyalah sesuatu yang masih kekal walaupun masa sudah tamat perkiraannya, atau dengan kata lain, sudah tiada istilah masa ketika itu.

Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Kuliah Usuluddin, Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal