25 December 2009

Membezakan Mukjizat Daripada Penipuan

Secara umumnya mukjizat dikurniakan oleh Allah SWT kepada nabi-nabi untuk membuktikan kenabian mereka. Mukjizat jugalah yang membezakan di antara nabi dan bukan nabi, tukang sihir, Dajal Laknatullah dan sebagainya.

Makna Mukjizat

أَمْرٌ خَارِقٌ لِلْعَادَةِ ، مَقْرُونٌ بِالتَّحَدِّي ، الَّذِى هُوَ دَعْوَى الرِّسَالَةِ أَوْ النُّبُوَّةِ ، مَعَ عَدَمِ الْمُعَارَضَةِ
Satu kemampuan yang bercanggah dengan adat kebiasaan, seiring dengan penentangan terhadapnya, yang dilakukan oleh mereka yang mengaku kenabian, dan ia tidak mampu untuk ditandingi atau ditolak

Mukjizat ialah satu bentuk kemampuan yang tidak boleh dilakukan oleh manusia biasa. Ia juga seiring dengan penentangan terhadapnya, kerana ia berbeza dengan karamah, irhas dan sebagainya. Ini kerana kedua-dua ini tidak disebabkan penentangan terhadapnya, yang akan dijelaskan kemudian insya Allah. Mukjizat digunakan ketika terdapat penentangan kepada Baginda SAW atau bentuk-bentuk yang hampir sama dengannya.

Selain itu, ia dikurniakan kepada sesiapa yang dikurniakan kenabian, untuk mereka membuktikan kenabian tersebut. Hakikatnya inilah tujuan dikurniakan mukjizat. Iaitu untuk membuktikan kenabian seseorang. Tetapi ia berbeza dengan sihir yang dilakukan oleh seseorang yang tidak mendakwa kenabian. Insya Allah akan diperincikan kemudian.

Makna yang terakhir ialah “tidak mampu ditandingi atau ditolak”. Sekiranya kemampuan tersebut dapat ditandingi atau ditolak, ia tidak dinamakan mukjizat, sebaliknya ia dinamakan sebagai “kelebihan” yang diberikan kepada seseorang. Ini juga akan dijelaskan kemudian, insya Allah.

Syarat-syarat Dikatakan Sebagai Mukjizat

Syeikh Sa’aduddin at Taftazani menyatakan di dalam karangannya, Syarhul Maqasid, bahawa beliau telah meletakkan 7 syarat, sesuatu kemampuan itu dikatakan sebagai mukjizat.

1. Dilakukan kerana Allah

Sesuatu kekuatan atau kemampuan yang dikatakan sebagai mukjizat, hendaklah kerana Allah SWT. Sekiranya terdapat seseorang yang mengatakan bahawa, “Dengan kuasa pokok ini, aku dapat menghidupkan orang mati”. Maka, ia jelas bertentangan dengan syarat yang pertama ini.

2. Bercanggah dengan adat kebiasaan

Sememangnya, kemampuan mukjizat ini tidak dapat dilakukan oleh manusia biasa. Contohnya seperti membelah bulan, yang tidak mungkin dapat dilakukan oleh sesiapa. Tetapi, sekiranya seseorang itu dapat berenang mengelilingi dunia, ia tidak dikatakan sebagai mukjizat, kerana tidak bercanggah dengan kemampuan manusia biasa.

3. Tidak dapat ditentang, atau ditandingi

Mukjizat juga tidak dapat ditandingi. Sekiranya seseorang itu berusaha mencipta sebuah kitab untuk menandingi al Quran, maka ia hanyalah dakwaan semata-mata. Tiada siapa yang dapat mencipta atau menulis kitab yang dapat menandingi al Quran. Mereka dapat berusaha, tetapi tidak mampu menandingi.

4. Dilakukan oleh mereka yang mendakwa kenabian

Selain itu, mukjizat juga dilakukan oleh mereka yang mendakwa kenabian. Sekiranya terdapat seseorang yang mendakwa kenabian kemudian memperdayakan manusia dengan sihir, maka ia juga tidak dikatakan mukjizat. Insya Allah, ia akan dijelaskan di dalam bahagian “keraguan”.

5. Selari dengan dakwaan

Yang dimaksudkan di sini ialah, Nabi Musa mengatakan bahawa dia dapat membelah laut. Maka, apabila tongkatnya dilemparkan ke laut, maka laut pun terbelah sepertimana yang dikatakan. Maka, tidaklah dikatakan mukjizat sekiranya apabila tongkat tersebut dilemparkan ke laut, ia menjadi ular, dan laut tidak pula terbelah sepertimana yang didakwa.

6. Tidak menafikan kenabian

Tidak menafikan kenabian ini ialah seperti sesuatu kemampuan yang boleh menjatuhkan martabat kenabian. Contohnya seseorang itu mengaku bahawa “pokok ini akan mengesahkan bahawa aku ini seorang nabi”. Tetapi apabila pokok tersebut berkata, ia menafikan kenabiannya. Maka, berkata-kata dengan pokok seperti ini tidak dianggap mukjizat.

7. Seiring dengan dakwaan

Yang dimaksudkan di sini ialah “sekaligus”. Contohnya apabila seseorang itu menunjukkan mukjizatnya, dia berkata “Wahai laut terbelahlah engkau menjadi dua”. Tetapi laut tersebut tidak terbelah, dan dia memberitahu, laut akan terbelah pada esok hari. Maka, ia tidak dikatakan sebagai mukjizat.

Muhammad Mujahid bin Mohamad Fadzil
Kuliah Usuluddin
Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal