22 February 2010

Perkahwinan “Pelik” Di IPTA

Pendahuluan

1. Berita yang disiarkan di dalam Utusan Malaysia tentang pernikahan pelik yang berlaku di IPTA. Berita tersebut bertarikh 21 Februari.

2. Diberitakan bahawa saksi, pengantin, tetamu, dan tok kadi, semuanya terdiri daripada rakan sekuliah. ( sila klik )

3. Daripada berita ini, hanya satu soalan sahaja yang masih menjadi kekeliruan. Iaitu “bolehkah berkahwin tanpa wali?” Maka, artikel di sini tidak akan meleret ke perbahasan yang tidak diperlukan. Ia terus memfokuskan kepada masalah sebenar.

Bolehkah Perkahwinan Tanpa Wali?

1. Wali diwajibkan kepada perempuan “dara”, yang belum berkahwin. Manakala perempuan janda atau pernah berkahwin, maka tidak perlu kepada wali. ( Sila lihat hadis Riwayat Imam Muslim, Shahih Muslim, cet Darul Jil dan Darul Afaq al Jadidah bah. 4, ms 141, hadis no. 3542 )

2. Wali adalah salah satu syarat sah perkahwinan mengikut Jumhur, kecuali Mazhab Hanafi. Mazhab Hanafi meletakkan “wali” tersebut hanya sebagai “galakan” dan bukan “kewajipan” dalam perkahwinan. ( Dr Wahbah az Zuhaili, Fiqhul Islami Wa Adillatuhu, cet. 10, 1428, jilid 9, ms 6573 )

3. Jumhur meletakkan bahawa perkahwinan “pelik” di IPTA tersebut tidak sah, sekiranya orang yang menjadi “tok kadi” tersebut tidak mendapat keizinan daripada wali si perempuan, bahkan wali tersebut tidak tahu menahu langsung hal ini. ( Dr Wahbah az Zuhaili, al Wajiz Fi Fiqhil Islami, cet. ke 8, 1427, Darul Fikr, jilid 3, ms 42 )

4. Mazhab Hanafi mengatakan bahawa perkahwinan tersebut sah, sekiranya cukup syarat-syarat perkahwinan seperti mahar, saksi dan sebagainya. Tetapi “tok kadi” tersebut juga mestilah cukup syarat-syaratnya. ( Dr Wahbah az Zuhaili, Fiqhul Islami Wa Adillatuhu, cet. 10, 1428, jilid 9, ms 6573 )

5. Maka, dari aspek sah atau tidak, ia terdapat perbezaan pandangan ulama’ Mazhab. Cuma, dari sudut haram, ia tetap haram disebabkan melanggar peraturan, atau undang-undang yang ditetapkan. Perkahwinan sah (mengikut Mazhab Hanafi), tetapi haram kerana bercanggah dengan peraturan, dan undang-undang. Ini kerana terdapat “maslahah” dalam menggariskan undang-undang perkahwinan tersebut.

6. Apabila melihat kepada kes-kes yang berlaku, undang-undang sesuai untuk dilaksanakan memandangkan berlakunya kes-kes. Antaranya, seseorang yang berkahwin di Siam, tanpa pengetahuan keluarga. Setelah 7 bulan mengandung, si suami tidak mengaku isterinya. Ini disebabkan tiada sebarang bukti atau akuan untuk mengesahkan perkahwinan mereka.

7. Apabila melihat kepada “maqasid” perkahwinan, perkahwinan ialah bertujuan menjaga hak, tanggungjawab, maruah, keturunan, hubungan antara dua keluarga dan sebagainya. Tetapi apabila perkahwinan tersebut umpama menganiaya beberapa pihak, lebih baik tidak berkahwin. Contohnya hidup berumah tangga dalam keadaan ketakutan disebabkan perkahwinan tidak diketahui oleh pihak keluarga.

8. Bahkan, perkahwinan secara senyap seperti ini lebih mengundang masalah yang lebih besar. Contohnya dalam mendaftarkan perkahwinan di pihak jabatan agama, surat akuan perkahwinan, fitnah yang berlaku di kalangan masyarakat dan banyak lagi. Maka, perkahwinan seperti yang terjadi di IPTA yang dimaksudkan, ditegah sama sekali berdasarkan undang-undang.

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah,
Universiti al Azhar

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal