23 November 2010

Si Pemalas Yang Tidak Sedar Dirinya Malas


Insya Allah, dalam post kali ini, suka untuk saya menulis tentang beberapa perkara yang berkaitan dengan gerak kerja Islam yang sering dipandang sebelah mata oleh beberapa pihak yang tidak memahami tentang Konsep Syumul dalam Islam.

Kisah

Satu kisah yang diceritakan oleh Dr Yusof al Qaradhawi di dalam bukunya, "Ainal Khalal" - Di manakah kesilapan - :

Satu hari seorang ustaz mengajar seperti biasa di sebuah masjid. Setelah selesai mengajar, seorang daripada hadirin bangun dan berkata "Sudah 30 tahun berlalu, sedangkan kamu masih lagi berkata-kata.. Apa yang kamu buat untuk kemenangan Islam? Ustaz tersebut menjawab : Sudah 30 tahun berlalu, sedangkan kamu hanya mendengar.. Apa yang kamu buat untuk kemenangan Islam?

Kisah di atas adalah salah satu contoh pengajaran bagi kita. Kadangkala kita begitu suka mempertikaikan gerak kerja orang lain, sedangkan kita hanya bergoyang kaki. Sibuk mengatakan itu tak kena, dan ini tak kena, sedangkan apa usaha kita untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut?

Di dalam kisah tersebut juga menerangkan 2 peranan yang perlu dimainkan :

1. Peranan Ulama

2. Peranan Masyarakat

Bahkan semua pihak perlu berperanan dalam mengislah umat. Antara yang lain, pimpinan juga terlibat sama dalam gerak kerja ini. Bukan hanya tahu menunding jari kepada orang lain, tetapi diri sendiri hanya tahu menggoyangkan kaki.

Apabila kita lihat sejarah PMRAM yang sudah berusia 80 tahun, pernahkah kita terfikir bahawa di sana terdapat ribuan manusia yang telah berjuang untuk menegakkan kesatuan Islam ini. Tiba-tiba datang seseorang yang tidak bersama PMRAM mengatakan "PMRAM perlu buat ini.. perlu ubah itu dan bla bla.."

Lalu golongan yang tahu berkata ini balik ke rumahnya, minum susu kemudian tidur. Keesokan harinya, dia merepek perkara yang sama.

Empat Perkara

Empat perkara yang ingin saya tekankan :

1. Memikirkan tentang Islam

Sebagai seorang yang bergelar umat Islam, kita perlulah berfikir untuk Islam. Gunakan beberapa minit untuk berfikir tentang umat manusia, berfikir tentang perancangan dalam membangunkan Islam dan lain-lain. Kita menghadapi masalah apabila umat Islam malas berfikir!

Mereka hanya tahu memikirkan tentang periuk nasi sendiri. Hanya tahu memikirkan kejayaan sendiri.. sambil berkata "tengok.. inilah hasil usaha aku" sedangkan hasil tersebut adalah anugerah Allah.

Lihat kisah ulama mazhab. Mereka memainkan peranan untuk menghidupkan golongan yang mampu berfikir tentang Islam. Mereka sendiri berfikir untuk Islam. Imam Syafie ketika bermalam di Rumah Imam Ahmad, berfikir pelbagai masalah sehinggakan wudhu Isya digunakan untuk subuh keesokannya. Kita bagaimana?

2. Bekerja untuk Islam

Tidak cukup dengan hanya berfikir untuk Islam, perlu juga bekerja untuk Islam. Ramai juga golongan yang hanya tahu berfikir, tetapi malas untuk bekerja. Tetapi lebih teruk sekiranya terdapat golongan yang malas berfikir, dan malas bekerja.

Ingat, ramai orang mampu berfikir, tetapi tidak ramai yang mahu bekerja walaupun dia mampu. Ada juga yang hanya tahu bekerja untuk periuk nasi sendiri.. sambil berkata : Lantaklah apa nak jadi.. asalkan aku bahagia.

Lihat pula sejarah ulama Hadis. Kita hanya tahu mereka ini bersungguh-sungguh dalam mendapatkan hadis. Hakikatnya, apa yang kita nak daripada sejarah kesungguhan mereka ialah "mereka bekerja untuk Islam". Hari ini, kita hanya tahu berkata : Saya nak jadi ulama Hadis.. lalu dia akan menuntut ilmu, tetapi tidak mahu bersama dengan gerakan Islam. Pelik, sedangkan ulama'-ulama hadis tersebut bekerja untuk Islam, bukan untuk periuk nasi mereka.

3. Berkorban untuk Islam

Tidak cukup dengan hanya berfikir dan bekerja untuk Islam.. Tingkatkan lagi dengan "berkorban untuk Islam". Ada juga yang sanggup berfikir dan bekerja untuk Islam, tetapi belum sanggup untuk berkorban.

Lalu golongan ini akan meninggalkan kerja tersebut (tidak istiqamah) apabila diancam atau menerima rintangan dalam gerak kerja tersebut. Lihat kisah Asy Syahid Abdullah Azzam, meninggal dunia dalam dunia jihadnya.

Beliau pernah berkata : "Kita tanpa jihad umpama ikan tanpa air.."

Ikan akan mati tanpa air, dan roh seorang muslim akan hilang sekiranya malas berjihad, tidak mahu berkorban untuk Islam.

4. Ithar untuk Islam

Ithar adalah melebihkan kepentingan orang lain berbanding kepentingan sendiri. Contohnya kita telah meletakkan bahawa masa tidur aku adalah 5 jam. Tetapi disebabkan kewajipan terhadap umat yang begitu besar, maka saya sanggup tidur 3 jam sahaja kerana 2 jam lagi adalah untuk Islam.

Cuba lihat sejarah salafussoleh, mereka bukan hanya tahu berzikir seorang diri, beruzlah, bahkan mereka mengeluarkan harta mereka untuk Islam. Asy Syahid Abdullah Azzam sanggup melepaskan kerja sebagai pensyarah yang bergaji 20 000 sebulan, semata-mata untuk berjihad. Kita bagaimana?

Sudahlah sukar berkorban, apatalah lagi ithar? Sanggupkah kita tak tidur malam untuk memberi ruang kepada orang lain untuk tidur? Ramai yang mampu berkata : Kita kena berkorban.. kita kena itu dan ini.. Kemudian orang yang berkata ini balik rumah, minum susu dan tidur.

Kesimpulan

Perkara yang perlu diingatkan kepada kita termasuk diri ini ialah empat perkara yang disebutkan. Mengabaikan salah satu daripada empat perkara tersebut menampakkan kerompangan dalam perjuangan. Seolah-olah ada yang tak kena sekiranya salah satu daripadanya terabai.

Berfikirlah untuk Islam, bekerjalah untuk Islam, berkorbanlah untuk Islam dan itharlah untuk Islam. Janganlah kita berfikir, bekerja, berkorban dan ithar untuk memecahbelahkan Islam, atau meruntuhkannya.

Tidak perlu berpaling tadah, cukuplah dengan hanya kita malas, sudah menyebabkan kita tergolong dalam golongan yang merosakkan Islam.

Di dalam buku "Ainal Khalal" karangan Dr Yusof al Qaradhawi menukilkan kalam dari Syeikh Jamaluddin al Afghani, beliau berkata :

"Kalaulah jutaan kamu ini adalah lalat yang menghinggapi telinga Inggeris, sudah pasti kamu akan merosakkan telinga-telinga mereka!"

Cukup dengan kita ini hanya kumpulan lalat yang bersatu, kita boleh menghalau penjajah dari negara kita. Lihatlah bagaimana Raja Namrud yang mati dengan hanya seekor nyamuk. Lihatlah bagaimana tentera bergajah Abrahah yang mati disebabkan serangan burung. Lihatlah bagaimana tentera Yakjuj dan Makjuj akan musnah disebabkan serangan wabak.

Cukup dengan kita memainkan peranan sebagai kumpulan lalat.. Kita hari ini bagaimana? Bilangan kita ramai, tetapi kita tidak bersatu..

1. Fikrah tidak satu.. masing-masing membawa agenda masing-masing sambil berkata : "Lantaklah Islam itu berpecah.. Lantaklah Islam itu tak menang.. asalkan kamu bersama kami.." Bukan kerana Allah.

2. Gerak kerja tidak satu.. Jemaah yang kedua sibuk dengan gerak kerja mereka.. "Lantaklah gerak kerja Islam tak selaras (disebabkan perpecahan).. Asalkan kamu bersama kami.. " Bukan kerana Allah.

Adakah matlamat kita "menyeru kepada kami"? Tidak.. Matlamat kita adalah menyeru kepada Allah. Itulah slogan PMRAM selama ini, "Satu Fikrah Satu Amal".

1 comments:

hijaudamai on December 5, 2010 at 3:06 AM said...

kredit untuk ustaz Mujahid...Kurnia Allah ustaz bisa lontarkan kalam ini...:)

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal