03 November 2010

Mahasiswa Tahun Akhir Mendengar Amanat Masyaikh Al-Azhar di Majlis Hi-Tea


Sumber : PMRAM.org

KAHERAH, 1 Nov – Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) buat julung kalinya telah berjaya melaksanakan satu majlis yang amat bermakna buat graduan-graduan Al-Azhar iaitu Majlis Hi-Tea bersama masyaikh Al-Azhar.

Bertempat di Dewan Kristal, City Mall dengan penyertaan seramai 189 orang graduan Al-Azhar dari Malaysia, Brunei dan Singapura.

Majlis tersebut selamat dijalankan dengan lancar seperti mana yang dirancang. Majlis yang gilang gemilang ini telah dihadiri oleh empat orang masyaikh Al-Azhar iaitu Dr ‘Umar Abdullah Kamil, Sheikh Al-‘Alim Al-‘Allamah Muhammad Ibrahim Abdul Baith Al-Kittani, Dr Jamal Farouk Jibril Mahmud, dan Dr Usamah As-Sayyid Mahmud Al-Azhari.

Bermula dengan bacaan ayat suci Al-Quran Al-Karim yang diperdengarkan oleh Saudara Muhammad Salman bin Muhammad Ali Rejab mahasiswa Maahad Qiraat Kampus Shoubra.

Majlis telah dimulakan dengan ucapan aluan oleh pengarah Program Majlis Pembacaan Kutub Sittah Siri Ke-II Saudara Muhammad Yusuf bin A. Kadir dan disusuli dengan ucapan aluan oleh Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime.

Di dalam ucapan presiden beliau memberitahu objektif utama diadakan seperti itu diadakan adalah untuk graduan-graduan Al-Azhar mendengar kalam-kalam mutiara dan nasihat daripada masyaikh Al-Azhar sebelum pulang ke tanah air untuk menabur bakti dan jasa kepada masyarakat.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan kalam amanat dan juga nasihat dari Dr ‘Umar Abdullah Kamil. Beliau menitik beratkan kepada semua graduan dan semua yang hadir agar menumpukan terhadap penguasaan bahasa arab terutamanya masyarakat yang bukan bercakap dengan bahasa arab.

Beliau menyarankan supaya belajar untuk mendalami ilmu bahasa arab ini dari pelbagai cara, antara cara yang disebutkan oleh beliau ialah perbanyakkan pembacaan kitab-kitab arab, surat-surat kabar, laman-laman web di ruang internet.

Beliau juga menyarankan untuk menguasai kemahiran mendengar, ini adalah kerana ia merupakan salah satu cara untuk mendapat ilmu.

Kemudian majlis telah diteruskan dengan ucapan masyaikh yang hadir. Bermula dengan ucapan oleh Dr Usamah As-Sayyid Mahmud Al-Azhari, kemudian disusuli dengan ucapan oleh Dr Jamal Farouk Jibril Mahmud.

Nasihat dan amanat dari masyaikh berakhir dengan ucapan oleh Sheikh Al-‘Alim Al-‘Allamah Muhammad Ibrahim Abdul Ba’ith Al-Kittani.

Majlis yang dinanti-nantikan oleh semua graduan iaitu sesi penyampaian sijil dan cenderahati kepada graduan-graduan yang menyertai majlis pada malam itu.

Dimulai dengan penyampaian kepada mahasiswa-mahasiswa kemudian disusuli dengan mahasiswi-mahasiswi dan akhir sekali penyampaian kepada mahasiswa dan mahasiswi cemerlang.

Mahasiswa yang menerima anugerah mahasiswa cemerlang ialah Saudara Abdul Hadi bin Abdul Rahman dari Negeri Perak, manakala mahasiswi pula disandang oleh Saudari Rabiatul Hazirah binti Ramli Mahasiswa dari Negeri Kedah.

Kemudian majlis menjemput sekali lagi Sheikh Al-‘Alim Al-‘Allamah Muhammad Ibrahim Abdul Ba’ith Al-Kittani untuk membacakan doa.

Sebelum menamatkan majlis para hadirin dihidangkan dengan jamuan makan malam sambil dihiburkan dengan persembahan nasyid oleh kumpulan nasyid PMRAM iaitu Kumpulan Al-Wadi.

0 comments:

Post a Comment

Artikel Popular

Dairy

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal