07 November 2010

PMRAM Tidak Memerlukan Pimpinan Yang Tidak Sanggup Ditarbiyah - Presiden


PMRAM.org

KAHERAH 3 Nov - Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime menegaskan bahawa PMRAM memerlukan pemimpin yang mahu mentarbiyah masyarakat dan mereka sedia ditarbiyah.

Sehubungan itu, beliau selaku pengisi slot 'Fiqh Al-Aulawiyat Buat Pimpinan Mahasiswa/i' dalam Konvensyen PMRAM 2010 tidak mahu pimimpin PMRAM Cawangan hanya ingin mentarbiyah masyarakat manakala diri mereka tidak sanggup ditarbiyah.

Katanya, pimpinan yang tidak sanggup diri mereka ditarbiyah bakal menghasilkan masyarakat yang pincang dan natijah yang tidak sempurna.

Justeru tambahnya, PMRAM begitu serius mengubah sikap dan mentaliti pimpinan di semua peringkat sebelum mengubah sistem pengurusan ke arah lebih baik. Beliau menyebutkan kaedah tersebut berdasarkan sirah perjalanan dakwah Baginda Rasulullah SAW di Mekad dan Madinah.

"Nabi Muhammad SAW mengubah minda dan sikap masyarakat jahiliyah selama 13 tahun di Mekah kemudian barulah baginda mengubah sistem melalui syariat Allah SWT. PMRAM mengambil kaedah ini sebagai panduan keutamaan dalam melaksanakan sesebuah agenda". Ujar beliau ketika pembentangan slot Fiqh Al-Aulawiyat.

Ini, katanya kerana PMRAM mensasarkan 3 matlamat utama dalam Konvensyen PMRAM kali ini iaitu SIKAP, SEDAR dan SISTEM.

Beliau menjelaskan, kalaulah sikap dan mentaliti pimpinan tidak berubah maka percayalah bahawa sehebat mana pun sistem yang dicipta pasti tidak akan terlaksana.

Beliau menambah, pimpinan PMRAM Pusat mahupun Cawangan hendaklah sentiasa ditarbiyah bagi meneruskan perjuangan Islam bagi meruntuhkan jahiliyah, Oleh itu, setiap pimpinan perlu mengikuti muzakarah berkelompok serta manhaj yang telah ditetapkan.

Sesungguhnya fikrah dan kefahaman yang jelas di kalangan pimpinan bakal mengembalikan jati diri dan integriti dalam jiwa umat Islam.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal