25 November 2010

2 Ahli KPIPM Kemalangan Siang Tadi

Kaherah,25 November – Dua anak Perak dilaporkan telah mengalami kemalangan jalan raya. Mereka yang datang dari Hayyu Sabie’ melalui susur atas menuju ke Masjid Azhar untuk mengikuti kelas pengajian. Mangsa adalah saudara Mohd Aliff Hadi bin Mohd Radzi,kuliah Usuluddin,tahun 1 Kaherah dan saudara Talha bin Muhammad,kuliah Syariah Islamiah,tahun 2 Kaherah.

Kedua-dua mangsa yang menaiki sebuah motosikal telah melanggar but belakang sebuah kereta warga tempatan kerana gagal mengelak kenderaan yang berhenti secara mengejut tersebut. Segalanya berpunca dari kemalangan kecil berlaku oleh kenderaan hadapan yang menyebabkan kenderaan ketiga tersebut berhenti mengejut.

“Mereka cuba mengelak ke bahagian kiri namun gagal lalu merempuh kereta hadapan”. Lapor seorang saksi kepada wartawan yang berada di tempat kejadian.

Saudara Mohd Aliff Hadi yang menunggang mengalami sakit di dada akibat terhentak ke hadapan. Manakala saudara Talha bengkak kaki kanan akibat terhentak bersama motosikal yang dibonceng.

Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Ta’min Sihhi bagi menjalani rawatan. Setelah pemeriksaan dijalankan mendapati kaki kanan saudara Talha disahkan patah dan perlu menjalani pembedahan.

Sejurus itu,saudara Talha dipindahkan ke Hospital Raba’ah bagi menjalani pembedahan. Pembedahan dilakukan pada jam 5.00 petang tadi dan selamat selesai pada jam 7.15 malam. Kini saudara Talha masih ditahan di wad bagi menjalani beberapa rawatan lanjut. Sementara saudara Aliff Hadi dibenarkan pulang setelah menjalani beberapa pemeriksaan.

Wakil PMRAM dan KPIPM turut hadir bagi menziarahi mangsa kemalangan. PMRAM dan KPIPM mengingatkan kepada semua ahli supaya lebih berhati-hati apabila berada di jalan raya.

0 comments:

Post a Comment

 

Ibnu Ir Fadzil Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal